Saban hari kita melihat isu pencemaran alam sekitar sering timbul olah-olah tidak menunjukkan noktah akhir. Penguatkuasaan undang-undang yang longgar serta hukuman yang tidak setimpal antara isu yang lazim dibangkitkan. Hakikatnya, walaupun banyak tindakan yang telah di ambil, pelbagai kesalahan pencemaran alam sekitar masih banyak berlaku. Justeru itu usaha memastikan kelestarian alam sekitar harus pergi lebih jauh dari sekadar penguatkuasaan undang-undang
Permasalahan utama kembali kepada pembinaan budaya dan pandangan alam yang betul. Ini kerana apabila seseorang merosakkan alam sekitar sama ada dengan cara membuang sampah di jalan raya, melepaskan sisa toksik ke dalam sungai, menebang hutan secara rakus atau membakar bahan buangan secara terbuka, kesemua perkara ini dilakukan dengan pengaruh pandangan alam dan budaya yang ada pada seseorang.
Sebagai contoh, seorang Muslim yang benar-benar faham agamanya akan menanam banyak pohon di sekitar rumahnya dengan kepercayaan bahawa selain mengindahkan halaman rumahnya, pohon-pohon ini adalah sebahagian dari makhluk ciptaan Allah yang menurut al-Quran sentiasa tunduk dan bertasbih memuji Penciptanya.
Sementara seorang orang asli dari suku Temiar di pinggir hutan Pahang pula tidak akan merosakkan sungai yang ada di tepi hutan kediamannya lantaran bimbang akan menimbulkan kemarahan Ruh yang dipercaya memelihara hutan tersebut.
Seorang dari kelompok Shaman di hutan Amazon pula tidak akan mudah menebang pokok di hutan kerana ingin memelihara hubungannya yang harmoni dengan Semangat dan Kuasa yang ada dalam setiap unsur alam yang ada di sekelilingnya.
Demikan juga seorang ateis yang hidup di sekitar tasik Lucerne yang indah di Switzerland tidak akan membuang sisa makanannya ke dalam tasik kerana ia tidak mahu merosakkan ekosistem yang memberi ketenangan kepada kehidupan dunianya.
Jelas bahawa pandangan alam dan budaya, walaupun berbeza, masih mampu membawa kepada tindakan dan amalan baik yang sama. Malah mereka yang tidak berpegang kepada sistem kepercayaan kosmologi berasaskan ketuhanan pun masih menekankan kelestarian alam sekitar berasaskan keperluan pragmatik mereka untuk hidup secara sihat dan sejahtera di dunia ini. Ini terbukti apabila negara-negara yang menduduki senarai tertinggi negara terbersih di dunia adalah negara-negara berasaskan kerangka falsafah sekular seperti Denmark, Jerman, Switzerland, Luxemberg dan United Kindom.
Dari segi strategi, perkara inilah yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemerintah terutama dalam usaha mendidik setiap kelompok masyarakat bagi bersama-sama memelihara hubungan mereka dengan alam sekitar.
Apa yang harus dilakukan ialah mengembalikan setiap individu kepada kefahaman sebenar terhadap pandangan alam melalui sistem kepercayaan masing-masing. Ia boleh dilakukan dengan memperkasa kurikulum pendidikan melalui penekanan kembali unsur-unsur alam dalam pengajian agama dan etika. Juga melalui kempen yang berterusan di pelbagai bentuk media dengan memetik pelbagai pengajaran yang datang dari pandangan alam agama dan budaya.
Dalam konteks pandangan alam Islam perkara-perakara asas yang ditekankan semula anara lain adalah seperti berikut: Pertama, hakikat bahawa alam sekitar bukan milik kita manusia secara mutlak. Ia adalah amanah dari Tuhan untuk dipelihara dipastikan kelestariannya. Dia atas kertas pembungkus barang yang mesra alam sekitar ada tertera ayat “We do not inherit the earth from our ancestors, but we borrow it from the future generations.” Perkataan ini indah dalam menegaskan bahawa alam ini adalah pinjaman dari generasi akan datang, namun yang lebih penting ialah penegasan bahawa alam ini bukan milik mana-mana generasi akan tetapi adalah amanah yang diberikan Tuhan kepada manusia menerusi tugas kekhalifahannya. Sebagai amanah, ia bukan sahaja perlu dipelihara dengan baik malah akan dipersoalkan setiap inci alam yang berada di bawah kekuasaan manusia.
Kedua, alam ini dijadikan Tuhan dengan kemuliaan dan keistimewaan. Menurut al-Quran alam ini juga seperti manusia dan tunduk bertasbih kepada Tuhan. “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada di dlamnya sentiasa mengucapkan tasbuh kepada Allah. Tiada satu pun melainkan bertasbih memujiNya akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka.” (Surah al-Isra;:44) Justeru ia harus dihormati dan diletakkan di tempatnya yang betul. Ia juga dijadikan dalam satu keseimbangan (al-mizan) berdasarkan kebijaksanaan Tuhan. Tuhan juga mengingatkan agar jangan sekali-kali dirosakkan keseimbangan yang telah dicipta oleh Allah.
Ketiga, alam sekitar adalah tanda-tanda dari kebesaran Penciptanya. Perkataan alam dalam Bahasa Arab membawa makna ‘alamat’ yang menunjukkan kebesaran Penciptanya. Pepatah Arab menyatakan bahawa “Kejadian sekeliling adalah makna-makna yang berdiri dalam bentuk gambar, Sesiapa yang memahaminya, mereka adalah dari golongan yang bijak.” Ia juga disebut sebagai ayat-ayat Tuhan yang dilihat (manzurah) berbanding al-Qur’an sebagai ayat-ayat yang dibaca (maqru’ah). Justeru mereka yang merosakkan alam pada hakikatnya telah merosakkan ayat-ayat Tuhan dan menghalang manusia untuk membaca, dan mendapatkan makna dan kebijaksanaan dari ayat-ayat tersebut.
Tiga teras kepercayaan berkaitan alam di atas sudah cukup untuk menjadikan seseorang tidak akan bertindak merosakkan alam sekitarnya. Yang penting, pandangan alam yang telah baik terbina harus disejahterakan dari pengaruh pragmatik sekular yang cebderung melihatnya sebagai ‘benda’ yang boleh dipergunakan mengikut keinginan dan ‘hawa nafsu’ manusia. Apabila pandangan sebegini disokong oleh sifat tamak haloba manusia, maka yang akan menanti adalah kerosakan yang tidak berkesudahaan akibat tangan-tangan ganas manusia.