“Kebebasan bersuara dan beragama bukanlah kebebasan yang mutlak dan perlu dihadkan jika perlu.” Demikian disuarakan “pakar bebas” yang dilantik PBB Oktober tahun lalu untuk mempertahankan hak-hak LGBT, Vitit Muntarbhorn. Dengan kata-kata lain, apabila berlaku pertembungan antara hak golongan homoseksual dengan kebebasan beragama, maka kebebasan beragama yang dimiliki seseorang atau sesebuah masyarakat perlu dihadkan. Hal ini semata-mata, menurut Muntarbhorn disebabkan kebebasan beragama tidak mutlak sifatnya dan harus “tunduk” pada hak-hak homoseksual.
Berbicara tentang sifat mutlak, hakikatnya tiada suatu apa pun yang demikian keadaannya kecuali Allah S.W.T. Terdapat ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskan misalnya kekuasaan Allah S.W.T. yang mutlak. Antaranya termasuklah, “…Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan-Nya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah 2 : 20) Sebaliknya bagi manusia, mereka memiliki kekangan, sekatan, dan batasan tertentu termasuk dalam soal hak atau kebebasan. Secara fitrahnya, manusia diciptakan Allah dengan kecenderungan untuk menurut ajaran tauhid (Surah al-Rum, ayat 30). Hal ini disebabkan ajaran tauhid sesuai dengan akal manusia bagi membimbing mereka kepada pemikiran dan perlakuan yang benar.
Fitrah itulah juga yang menjadi faktor yang mengekang mereka daripada membuat pilihan atau melakukan tindakan yang bertentangan dengan perintah Maha Pencipta. Setiap perintah dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. semata-mata bertujuan memelihara maslahah manusia dan mengelakkan mereka daripada ditimpa kemudaratan. Justeru, al-Qur’an menegaskan agar semua batasan (hudud) atau peraturan yang ditetapkan Allah S.W.T. tidak sama sekali dilanggar, “Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan kezaliman terhadap dirinya.” (Surah al-Talaq 65 : 1) Demikianlah kita dapat melihat bagaimana agama memainkan peranan yang besar lagi utama dalam kehidupan seorang Muslim. Agama merupakan cerminan bagi ketundukan terhadap kekuasaan Allah yang mutlak. Selain itu, agama yang berasaskan tanzilan wahyu yang benar itu berperanan membimbing insan untuk mengetahui hakikat dirinya, matlamat kehidupan, dan nasib akhirnya.
Sebaliknya bagi masyarakat barat, Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mutlak, hidayah, dan petunjuk agama dinafikan. Krisis penolakan agama (antaranya dengan perisytiharan “God is Dead”) dan institusinya seperti gereja oleh golongan tertentu seperti ahli falsafah, saintis, ahli teologi, sasterawan dapat dilihat berlaku antara abad ke-17 hingga 19. Justeru, masyarakat barat tidak dibimbing untuk mengenalkan mereka kepada batasan dan sekatan. Apa yang tinggal bagi mereka hanyalah hawa nafsu yang dituruti dengan sewenang-wenangnya. Justeru timbullah desakan oleh pemikir serta pendukung fahaman liberalisme agar manusia diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang diingini meskipun keji dan buruk pada pandangan orang lain. Selain itu, berasaskan fahaman sekular pula, nilai-nilai tradisi masyarakat barat termasuk prinsip moral, menjadi relatif, tidak kekal atau pasti malah berubah-ubah. Begitu juga seterusnya dengan fahaman humanisme sekular yang menolak supernaturalisme dan menekankan maruah individu. Lantas, fahaman ini menegaskan kebebasan individu semaksimum mungkin dan memberikan hak serta peranan kepada manusia untuk memberikan makna selain membentuk sendiri kehidupan mereka tanpa rujukan kepada mana-mana sumber. Apatah lagi agama! Maka, tidak mengejutkan jika kita mendengar kewujudan “hak” untuk membunuh diri (“Suicide Tourism:Travelling for the Right to Die”) disebabkan ketidakmampuan menderitai sesuatu penyakit, perkahwinan sesama mahram berasaskan “kerelaan” dan “cinta” antara sesama pasangan terbabit, dan perkahwinan sesama jenis serta pembentukan “keluarga” atas nama persamaan, sebagaimana dinikmati oleh anggota masyarakat yang lain.
Jelas sekali penegasan Muntarbhorn bahawa kebebasan beragama tidak bersifat mutlak dan perlu memberikan keutamaan kepada hak-hak homoseksual bersandarkan fahaman liberalisme serta humanisme tajaan barat. Malah kelihatannya, hak-hak homoseksual begitu diutamakan dan dipuja sehingga dituntut agar hak-hak lain, termasuk beragama dikorbankan. Turut mengecewakan kerana Muntarbhorn yang berasal dari Thailand mengetepikan begitu sahaja pendirian negara-negara anggota untuk tidak memasukkan hak-hak LGBT dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada 17 & 18 November 2012. Sebagaimana diungkap oleh Danny Lee, Pengarah Pembangunan Masyarakat, Sekretariat ASEAN, “Pengisytiharan tersebut adalah dengan sendirinya merupakan mercu tanda. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk bersetuju tentang sesuatu perkara dengan mengambil kira 10 buah negara yang memiliki perlembagaan yang berbeza-beza. Di negara-negara ASEAN, kebebasan sepenuhnya tidak mungkin dapat dinikmati kerana terdapat begitu banyak agama dan perbezaan etnik.”
Kemunafikan dan dwistandard pihak barat begitu jelas. Mereka berbicara dan menuntut agar kebebasan manusia sentiasa dipertahankan. Namun pada pada yang sama, mereka tidak memberikan kebebasan kepada pihak lain untuk menjalani kehidupan berasaskan nilai agama, adat resam, peraturan, dan pilihan sendiri. Malah mereka memaksakan pandangan alam mereka kepada seluruh dunia. Hal inilah yang diberikan peringatan oleh al-Qur’an bahawa golongan Yahudi dan Nasrani hanya akan reda, bersetuju, dan suka sekiranya umat Islam menurut agama (millah) mereka yang telah terpesong itu (Surah al-Baqarah 2 : 120).
Dengan peringatan yang diberikan ini, umat Islam tidak harus sama sekali menerima dan mengamalkan fahaman, pemikiran, dan gaya hidup pihak barat secara membuta-tuli, demi semata-mata meraih “restu” mereka. Umat Islam juga perlu sedar bahawa agama Islam tidak menentang kebebasan. Namun, kebebasan yang dimiliki manusia memiliki batasannya sebagaimana ditetapkan Allah S.W.T. melalui syari`at-Nya. Hanya dengan mematuhi syari`at inilah kebahagiaan sejati yang begitu didambakan manusia dapat dikecapi, bukan sahaja di dunia yang fana ini bahkan juga kehidupan sesudahnya yang kekal abadi.