Mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup seperti makan minum, tempat tinggal dan pakaian adalah satu tuntutan kepada manusia. Allah berfirman dalam Surah Mukminun ayat 51 yang bermaksud, “Wahai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”. Justeru, seseorang yang berkemampuan itu tidak boleh hanya duduk mengharap ihsan dan belas daripada orang lain untuk memenuhi keperluan hidupnya. Hal demikian kerana memenuhi keperluan asas itu adalah sebahagian daripada tuntutan maqasid syariah bagi memelihara pensyariatan agama dan manusia.
Dalam konteks hari ini, mencari rezeki sinonim dengan prinsip mempunyai pekerjaan sama ada pekerjaan itu bersifat sepenuh mana, separuh masa mahupun pekerjaan sampingan. Ada pekerjaan yang bersifat aktif seperti dalam sektor perkhidmatan, pasif seperti pelabur hartanah, dan berbahaya seperti pencuci tingkap bangunan. Manakala pekerjaan yang memerlukan fokus yang tinggi seperti pakar bedah dan berdasarkan minat dan hobi seperti tukang masak juga diperlukan manusia. Variasi pekerjaan ini adalah rahmat daripada Allah bagi memenuhi setiap kehendak dan keperluan unik manusia yang berbeza-beza.
Bekerja juga sebenarnya mengangkat maruah manusia dan maruah agamanya. Hal demikian kerana mencari rezeki melambangkan kesungguhan individu untuk mengubah nasib diri dan keluarganya. Islam melarang kita meminta-minta tanpa sebab kerana perbuatan itu boleh membawa manusia ke dalam lembah yang hina sebagaimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Tabiat suka meminta-minta menjadi kebiasaan seseorang daripada kamu (umat) sehingga ia menemui Allah di akhirat sedangkan mukanya tidak mempunyai daging (hina)”.
Islam tidak membezakan manusia menerusi pekerjaan mereka. Bekerja sebagai pegawai perubatan misalnya tidak menjadikan kita lebih mulia daripada bekerja sebagai pembantu kedai makan di sisi Allah. Yang membezakan manusia untuk mendapat tempat kemuliaan di sisi Allah adalah nilai taqwa mereka (al-Hujurat: 13). Dengan ketaqwaan ini membawa individu untuk melakukan pekerjaan mereka dengan jujur, ikhlas dan memberi manfaat kepada yang lain.
Perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial tentang siapa yang lebih mulia menerusi pekerjaan bukanlah satu perbincangan yang berilmiah. Perbincangan seperti kononnya menjadi suri rumah adalah lebih mulia daripada wanita berkerjaya, ataupun seorang pendidik lebih besar pengorbanannya daripada seorang kerani tidak akan membawa kita ke mana-mana. Lebih parah apabila perbincangan maya tersebut berbaur emosi yang keterlaluan, keji-mengeji, riak dan takbur yang hanya menyemarakkan kebencian sesama kita.
Di manakah nilai kemuliaan seorang manusia itu jika bersikap memandang rendah kepada diri dan pekerjaan orang lain? Di manakah kebaikan manusia itu jika berasa dirinya lebih mulia dan memberi manfaat berbanding orang lain? Sedar ataupun tidak, kesemua sifat ini merupakan titik-titik hitam yang mula bersarang dalam hati dan jiwa kita.
Hakikatnya, setiap orang bekerja dengan ketetapan niat yang berbeza. Ada yang bekerja untuk mengejar cita-cita dan impian. Ada yang bekerja kerana mahu membela nasib keluarga. Ada yang berniat untuk melaksanakan tanggungjawab mencari nafkah keluarga. Tidak kurang juga yang berniat untuk menyempurnakan fardhu kifayah sesama manusia dan ada juga yang berniat semata-mata kerana Allah tanpa mengharap sebarang balasan. Apa jua niat dan matlamat kita dalam pekerjaan, selagi mana tidak bertentangan syarak adalah perbuatan yang baik.
Walau apa jua pekerjaan kita, Islam menuntut manusia untuk berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan. Dengan ilmu, manusia boleh memberi nilai tambah dalam pekerjaan mereka menerusi perkembangan teknologi, penemuan kaedah baharu, peningkatan tahap perkhidmatan dan lain-lain. Bahkan Allah juga mengurniakan darjat yang lebih tinggi kepada orang-orang yang berilmu (al-Mujadilah: 11).
Ilmu dalam konteks pekerjaan semasa bukanlah terikat kepada institusi pendidikan semata-mata. Pekerjaan yang berteraskan kemahiran misalnya perlu kepada latihan dan persijilan tertentu bagi meningkatkan keupayaan mereka. Begitu juga dengan pekerjaan yang pengetahuannya boleh didapati secara terus daripada pembacaan, pergaulan dengan individu yang telah berjaya dan juga pengalaman.
Justeru, berlapang dadalah dengan pekerjaan yang kita, anak dan pasangan miliki pada hari ini. Hal demikian kerana sifat pekerjaan itu adalah jambatan kepada rezeki dan mengangkat maruah kita sebagai manusia selagi mana tidak bertentangan syarak. Selain daripada bersikap jujur, ikhlas dan merendah diri, sentiasalah berusaha untuk memberi nilai tambah dalam pekerjaan menerusi ilmu yang baik, kreativiti dan usaha tanpa jemu. Semoga dengannya kita menjadi manusia yang bermanfaat dan menyumbang kepada kekuatan Islam.