Pada 21 Mac lalu rakyat negara ini telah menjalankan tanggungjawab mereka yang amat penting iaitu menentukan pihak yang akan memerintah bagi tempoh lima tahun akan datang. Dalam negara demokrasi seperti Malaysia parti siasah yang mendapat kepercayaan majoriti rakyat akan memerintah negara.
Pada 22 Mac pula Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengangkat sumpah di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk mengetuai jemaah menteri.
Seminggu selepas peristiwa tersebut, tanggal 30 Mac kesemua jemaah menteri pula mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong didahului oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri. Perkara ke-43 Perlembagaan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong melantik suatu jemaah menteri.
Inilah kali pertama bagi saya menyaksikan peristiwa yang penting ini di Balairung Seri, Istana Negara. Di masa yang lepas hanya melihat melalui peti televisyen sahaja. Pada hari mengangkat sumpah jawatan dan taat setia, tiada ucapan oleh Perdana Menteri pada hari tersebut. Beliau hanya menyaksikan anggota-anggota Kabinet yang mengangkat sumpah.
Bagi menteri dan timbalan menteri yang beragama Islam, mereka dikehendaki melafazkan sumpah dengan nama Allah sebanyak tiga kali, tidak bagi mereka yang bukan beragama Islam. Bersumpah atau qasam dengan nama Allah amat berat tanggungjawabnya. Saya berasa seram apabila mendengar mereka melafazkan qasam tersebut.
Pemimpin dalam Islam ialah ulil amri. Ini terkandung dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa, ayat 59 yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada ulil amri dari kalangan kamu.
Ayat tersebut menggambarkan betapa pentingnya kewujudan institusi pemerintahan untuk membolehkan manusia mentadbir dan mengurus kehidupan mereka di dunia. Tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah adalah amanat besar kerana mereka diberikan tugas memakmurkan dunia dengan cara yang bijaksana, adil dan saksama.
Dalam sejarah pemerintahan Islam, jawatan ketua negara diberi pelbagai gelaran seperti khalifah, imam, amirul mukminin dan sultan. Di negara kita gelaran sultan adalah untuk raja yang memerintah negeri. Bagaimanapun negara Islam bebas memilih gelaran-gelaran untuk jawatan ketua negara mereka.
Bagi negara kita Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara bagi Persekutuan dan ini diperuntukkan dalam Perkara 32 Perlembagaan. Pada baginda juga terletak kuasa pemerintahan Persekutuan dan Perdana Menteri adalah ketua eksekutif negara.
Dalam al-Quran dan sunah terdapat banyak prinsip berkaitan dengan pemerintahan dan kepimpinan, antaranya ayat dalam surah al-Nisa yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya.
Ayat tersebut menyarankan, antaranya supaya menyerahkan amanah kepada orang yang ada autoriti. Mereka berhak menerimanya bagi mengurus dan mentadbir dengan adil, bijaksana dan saksama.
Kita perlu memberi ketaatan dan kesetiaan kepada ulil amri iaitu orang yang diberi kuasa oleh rakyat. Dalam sebuah hadis ada menyatakan bahawa ketaatan hendaklah diberikan sama ada dalam perkara yang kita suka atau tidak selagi tidak dalam perkara maksiat. Kita tidak perlu patuhi jika disuruh melakukan perkara mungkar.
Ketua negara tidak dapat menjalankan semua tugas dan tanggungjawab tanpa kerjasama dengan jemaah menteri. Baginda perlu menyerahkan beberapa tugas pentadbiran kepada mereka. Dalam zaman Khalifah Umar pentadbiran telah dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti eksekutif dan kehakiman. Beberapa pegawai dilantik bagi tujuan tersebut.
Kepimpinan Islam berbeza dengan pengertian Barat yang hanya menjurus kepada urusan duniawi dan manusiawi semata-mata. Keadaan ini berlaku kerana Barat memisahkan urusan agama dengan politik. Sedangkan kedua-dua aspek ini, iaitu agama dan politik memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah pemerintahan dan memberi kesan ke dalam kehidupan rakyat.
Adalah menjadi tanggungjawab rakyat, apabila mereka telah melantik pemimpin/kerajaan, mereka harus taat kepada ulil amri. Pemerintahan yang sah sewajarlah disokong oleh seluruh rakyat dan membantu kerajaan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Gesaan Perdana Menteri supaya rakyat bekerjasama dengan pemimpin adalah suatu yang bertepatan dengan kehendak Islam.