SEJARAH hidup junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sebenar-benarnya adalah contoh kepada seluruh umat manusia. Ini jelas menerusi firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat sekalian alam”. (Surah Al-Anbiya’ ayat 107).
Rasulullah memberikan contoh dalam segenap aspek kehidupan. Baginda adalah contoh paling hebat sebagai pemimpin negara, hakim, imam, peniaga, suami, ayah, panglima perang dan diplomat.
Satu aspek yang mungkin tidak banyak dibicarakan ialah kehebatan dan keunggulan peribadi Nabi Muhammad sebagai seorang diplomat. Baginda memberikan banyak contoh ikutan mengenai cara untuk mengadakan hubungan diplomasi dengan bangsa (kabilah), agama dan negara lain.
Nabi Muhammad tegas dalam memelihara perhubungan politik menerusi dasar luar dan hubungan antarabangsa yang dipegangnya. Contohnya menerusi amalan memberi penghormatan tertinggi kepada perwakilan dan utusan kabilah serta kerajaan luar yang datang ke Madinah.
Antaranya dari Abyssinia, Byzantium dan Mesir. Rasulullah sendiri yang menjaga dan melayani mereka ketika kunjungan mereka hingga sahabat mendesak untuk turut membantu menjaga tetamu negara itu.
Rasulullah menegaskan bahawa utusan itu adalah tetamunya dan dengan itu, Baginda yang memikul tanggungjawab untuk memastikan segala keperluan mereka dipenuhi.
Layanan mesra kepada tetamu dengan tidak mengabaikan keperluan mereka menunjukkan tinggi kepentingan yang diletakkan Nabi Muhammad kepada aspek asas diplomasi dalam mewujudkan kepercayaan dan keyakinan pihak luar kepada kerajaan Islam yang didirikan Baginda.
Keyakinan itu penting dalam mewujudkan keamanan dan kestabilan kerajaan. Baginda menyedari perlu ada hubungan baik dengan kabilah Arah yang belum memeluk Islam ketika itu.
Justeru, Baginda mengambil inisiatif mengadakan perjanjian persahabatan dengan kabilah yang tinggal berhampiran seperti Banu Damrah, Banu Ghifar, Banu Mudlij, Banu Abd Ibn Adiy, Juhannah, Muzainah, Ashjaia dan Amir bin Ikramah.
Baginda turut mengikat perjanjian persahabatan dengan kabilah Arab di timur laut (kawasan Najd), timur (Yammah, Oman, Hadramaut dan Bahrain), selatan (Yaman) dan utara (Jarbah, Azrah, Aylah, Qada’aha dan Dumat al-Jandal).
Rasulullah turut mengutus surat kepada pemimpin kerajaan yang memerintah kerajaan sekitar Semenanjung Hijjaz. Setiap surat dibawa oleh seorang sahabat yang bertindak sebagai duta khas Baginda.
Semua surat itu dimulakan dengan kalimah ‘Bismillah’, diikuti dengan frasa ‘daripada Nabi Muhammad Rasulullah’ dan disusuli pula dengan nama penerima surat itu.
Kandungan surat yang diutuskan ringkas tetapi padat dengan maksud mengajak pemimpin berkenaan memeluk Islam. Di bahagian bawah surat dicop dengan nama Nabi Muhammad Rasulullah.
Dua surat diutuskan kepada Raja Negus al-Asham bin Jabar yang memerintah Kerajaan Abyssinia dengan surat pertama dibawa anak saudaranya iaitu Ja’far, manakala surat kedua dibawa oleh ‘Amr bin Umaiyah al-Damri.
Sepucuk surat dikirimkan kepada Maharaja Heraclius yang memerintah kerajaan Rom yang mana duta yang diutus ialah Wahiyyah bin Kalbi. Satu lagi surat dihantar oleh Hatib bin Abi Balta’a kepada pemerintah Mesir iaitu Muqauqis manakala satu oleh Ala’ bin Hadhrami kepada pemerintah Bahrain iaitu al-Munzir bin Sawi.
Pemimpin lain yang menerima surat ialah Raja Khusroe yang memerintah Parsi, dua beradik yang memerintah Oman iaitu Jayfar dan Abbad bin Julandi, Houza bin Ali yang memerintah Yamamah, Munzir bin Harith bin Abi Shimr yang memerintah Damsyik serta Marwa bin Amr Khaza’i yang menjadi gabenor Rom di Syam.
Baginda menerima pelbagai maklum balas daripada pemerintah yang menerima surat. Ada yang senang hati menerima mesej memeluk Islam seperti Raja Negus al-Asham bin Abjar, Jayfar dan Abbad bin Julandi, Al-Munzir bin Sawi, Houza bin Ali serta Marwa bin Amr Khaza’i.
Ada juga yang tidak memeluk Islam tetapi melayan duta Rasulullah dengan hormat dan diberikan hadiah misalnya Muqauqis serta ada yang menolak surat Rasulullah dengan marah tetapi melayan duta dengan baik serta menghantarnya pulang dengan selamat.
Namun, ada juga yang bukan saja menolak surat Rasulullah dan melayan duta baginda dengan buruk, malah mengupah orang untuk menangkap Baginda seperti yang dilakukan oleh Khusroe.
Walau apa pun maklum balas yang diterima Nabi Muhammad sama ada positif, dingin atau negatif, Baginda tetap berusaha secara diplomatik untuk menyebarkan ajaran Islam dan pada waktu sama mewujudkan kestabilan di Semenanjung Hijjaz.
Kewujudan pelbagai kuasa di satu tempat yang terkenal dengan kemelut politik dan konflik peperangan menyebabkan Baginda perlu menggunakan satu kaedah atau pendekatan yang berhikmah dalam membolehkan usaha dakwah Islamiah itu dikembangkan.
Dengan menggunakan pendekatan menghantar surat dan duta khas, ia menunjukkan kebijaksanaan Baginda dalam membaca suasana semasa dan bertindak mengikut kesesuaian pada ketika itu yang memerlukan kepada manhaj diplomasi yang begitu tinggi.
Kebijaksanaan politik Nabi Muhammad membolehkan wujudnya keamanan dan keselamatan di seluruh Semenanjung Hijjaz dalam tempoh kurang 10 tahun. Walaupun ada yang tidak menerima ajaran Islam sebagai pegangan hidup seperti kaum Yahudi dan Nasrani di Syria dan Yaman, hakikatnya mereka turut mengikat perjanjian dengan kerajaan Islam yang dipimpin oleh Baginda.
Mereka turut bersetuju membayar jizyah sebagai jaminan kepada keselamatan nyawa dan harta benda mereka daripada sebarang bentuk pencerobohan. Perhitungan politik yang dibuat baginda membolehkan seluruh Semenanjung Hijjaz disatukan walaupun sebelum itu semenanjung itu berpecah belah mengikut kabilah dan puak masing-masing.
Nabi Muhammad mewujudkan satu struktur pemerintahan yang teratur lengkap dengan peraturan dan undang-undang yang mengubah kedudukan sosio politik dan ekonomi kabilah serta puak yang mendiami Semenanjung Hijjaz.
Menerusi sistem pentadbiran yang diamalkan Nabi Muhammad yang banyak menekankan soal diplomasi, baginda berjaya menggantikan keadaan kucar kacir dengan sistematik.
Persengketaan antara kabilah berjaya ditamatkan dan terbentuklah perpaduan sesama mereka tanpa mengenal latar belakang kaum dan keturunan. Perebutan kuasa dan wilayah digantikan dengan ikatan ukhuwah yang menjamin keamanan.
Pembunuhan yang berlaku dihenti dan diganti dengan hormat-menghormati. Perbezaan antara kelas dan keturunan dihapuskan. Semua itu dilaksanakan Nabi Muhammad menerusi perjanjian.
Namun perjanjian paling besar yang dibuat ialah perjanjian menerusi kalimah syahadah yang berpaksikan kepada ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT.