Memahami krisis sebenar umat Islam hari ini adalah persoalan penting untuk dicermati oleh setiap individu Muslim yang berfikir. Ini kerana ia akan menentukan tindakan kita berdasarkan apa yang kita fahami akan menyumbang ke arah penyelesaian krisis umat Islam hari ini.
Antara persoalan yang sering bermain dalam fikiran umat Islam terpelajar hari ini ialah: “Adakah Islam itu sesuai untuk zaman aneka-rupa yang sedang kita tempuh ini?”
Ini menandakan suatu keraguan perihal kebenaran Islam sebagai Agama yang ditanzilkan Tuhan (a truly revealed religion) atau perihal kerelevanan ajaran Islam dan para leluhur Islam dalam menyumbang kepada permasalahan umat Islam hari ini.
Untuk benar-benar memahami krisis umat Islam hari ini, kita harus meninjau perjalanan sejarah umat Islam dan mengkaji hakikat berikut: dalam jangka masa 150 tahun selepas kemunculan Agama Islam di persada dunia, umat Islam telah menewaskan bangsa Rum (Romans), dan membina peradaban di Afrika, Sepanyol, Itali, negeri-negeri Balkan, India, Cina, serta Alam Melayu.
Dan penguasan hal-ehwal dunia oleh umat Islam yang bertahan lebih seribu tahun itu sekaligus menyebabkan bangsa-bangsa Barat dikuasai oleh umat Islam buat pertama kalinya dalam sejarah manusia.
Pengalaman sejarah ini merupakan suatu kejutan buat bangsa-bangsa Barat. Umat Islam telah mencabar hegemoni atau pengaruh mereka di dunia. Umat Islam juga telah memperbetulkan hasil pemikiran agung mereka dan pegangan agama mereka.
Keunggulan umat Islam pada saat itu merupakan suatu kejutan kepada kesedaran (consciousness) orang-orang Barat. Apabila umat Islam muncul di persada dunia, bukan sahaja mereka telah mencabar Barat secara ketenteraan, politik, dan ekonomi, tetapi lebih asasi lagi ialah secara ilmiah dan pandangan hidup.
Walaubagaimanapun cara berfikir umat Islam mula berpusat ke arah cara-gaya Barat selepas umat Islam hilang genggamannya di persada dunia perlahan demi perlahan bermula abad ke-17.
Selepas hilangnya penguasaan di medan ketenteraan, ekonomi, dan politik dunia Islam, medan ilmu pengetahuan dan pendidikan juga mula di ambil alih oleh tamadun yang telah menjadi dominan pada hari ini iaitu tamadun (dan pandangan hidup) Barat.
Walaupun tamadun Barat telah banyak menyumbang kearah maslahat insan dalam pelbagai bidang khususnya sains dan teknologi, namun ianya diiringi oleh suatu pandangan hidup atau cara melihat-berfikir yang dibentuk oleh proses sekularisasi—dimana alam tabii dikosongkan makna ruhaninya dan peranan agama secara amnya dipencilkan dalam kehidupan amali.
Dengan peralihan tumpuan ini pemikiran dan ketamadunan ini, ia juga memberi kesan kepada cara berfikir dan tumpuan bangsa-bangsa Muslim di dunia.
Kita harus insaf bahawa hatta ahli pemikir dan saintis Barat pun bila meminjam dan memutuskan kita dari tradisi keilmuan kita, telah melakukan proses penyesuaian dan pensekularan bagi sekalian ilmu yang disuntik masuk dalam tamadunnya pada waktu zaman pertengahan.
Ilmu sains tabii termasuk kaedah pengkajian saintifik (scientific method) yang dikembangkan oleh alim ulama kita dahulu telah dikosongkan dari akidah Islamiah serta diberi pula asas falsafi yang dikembangkan oleh tamadun barat sendiri sehingga melahirkan zaman moden yang sekular ini.
Harus diingati perumpamaan yang didatangkan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali tentang ilmu yang dibawa oleh pandangan hidup asing itu adalah ibarat ubat ubatan yang tak dikenali asal usulnya. Oleh setengah pihak ditolak habis habisan maka segala hasil yang baik tak dapatlah dimanfaatkan, setengah pihak yang lain pulak menerima keseluruhannya maka penawarnya dan racunnya ditelan sekali dua-duanya!
Perubahan cara berfikir umat Islam perihal erti-erti asasi kewujudan ini (seperti erti ilmu, ‘alam, adil, dan lain-lain) sedang menyumbang kepada keruntuhan adab dalam pelbagai tindakan umat Islam sekaligus menyebabkan seorang Muslim itu menjadi hampa, sengsara, malah menjadi penyebab kefasadan dan kemusnahan masyarakat Islam hari ini tanpa disedari.
Dan inilah hakikatnya sedang terjadi kepada umat Islam hari ini yang perlu ditanggani oleh pelbagai pihak dengan tertib dipimpini oleh pemikir-sarjana Muslim yang berwibawa dan yang mengerti perihal krisis ini. Kita harus merenungi firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi (104-105):
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan
orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? Merekalah orang-orang yang
kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu
gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang
timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.”
Justeru umat Islam hari ini harus faham bahawa krisis sebenar mereka pada abad ke-20 dan 21 ini ialah bukan pada medan ‘amali semata-mata yakni ketenteraan, politik, ekonomi atau teknologi, tetapi pada medan ‘ilmi (pandangan hidup atau cara melihat-berfikir seseorang mengenai erti kehidupan, erti insan, erti keadilan, erti kebahagiaan, dan lain-lain faham asasi yang membentuk cara berfikir manusia).
Inilah sebabnya mengapa individu seperti Ibrahim Kalin, seorang penasihat Presiden Turkey, Tayyip Erdogan, menulis makalah bertajuk “Crisis in the Muslim World” (6 Julai 2015, www.dailysabah.com), dimana beliau menyimpulkan bahawa agenda paling penting untuk negara-negara Islam ialah revolusi akal-budi (revolution of the mind).
Pada 8 Julai 2019 juga, Shaykh Hamza Yusuf, seorang alim yang berpengaruh di dunia Barat, mengakui kebenaran analisa krisis umat Islam masakini ini yang diutarakan buat pertama kalinya oleh sarjana kita sendiri, Yang Mulia Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya agungnya, Islam and Secularism (1978).
Kita juga harus insaf bahawa penyelesaian kepada krisis ini perlu bertumpukan kepada pengembalian erti ‘pendidikan’ yang menyeluruh yang sudah terangkum dalam pengertian ‘ta’dīb’. Ianya bertujuan untuk mendidik diri ruhani agar jiwa tidak lagi berlegar-legar antara nafs al-amarrah dan nafs al-lawwamah, tetapi menuju dan sampai ke tahap nafs al-mutma’inah—seperti yang dianjurkan oleh Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak beriman seseorang di antara kalian sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran yang aku bawa.”
Jikalau aspek ini dipinggirkan, maka institusi pendidikan kita akan hanya melahirkan pemimpin yang memiliki ijazah kertas tetapi akhlak dan perwatakannya buruk. Ini jelas sedang dialami oleh sistem pendidikan Barat moden, hatta di universiti-universiti terulung mereka seperti yang dikritik oleh ilmuwan-ilmuwan mereka sendiri seperti bekas profesor di Yale University, William Deresiewics dalam buku beliau Excellent Sheep: Miseducation of the American Elite dan Excellence without a Soul: How a Great University Forgot Education oleh Harry R. Lewis, bekas profesor di Harvard University.