Perkataan cinta atau kasih sayang dalam bahasa Arab disebut dengan beberapa kalimah seperti mana yang sering ditemui dalam al-Quran atau hadis seperti kalimah: hub, mahabbah, wudd (atau mawaddah), dan juga rahmah. Kalimah-kalimah ini walaupun jika diterjemahkan, ia membawa makna yang hampir sama iaitu cinta atau kasih sayang, namun ia digunakan biasanya dalam konteks yang berbeza-beza dan mempunyai martabat tertentu atau merujuk kepada kekuatan cinta yang berlainan. Menariknya dalam dalam al-Quran, kita tidak akan temui ungkapan yang digunakan bagi menunjukkan berlawanan dengan kalimah cinta iaitu secara khususnya kalimah benci. Contohnya, seperti ungkapan “Aku (Allah) membenci…” atau “Kami (Allah) membenci sesuatu / seseorang…” sama sekali tidak akan kita temui dalam al-Quran. Walaupun pada hakikatnya Allah SWT tidak menyukai dan membenci sesuatu tindakan atau perilaku seseorang, namun ungkapan benci tidak digunakan oleh Allah SWT, sebaliknya Allah mengguna ungkapan “Allah tidak menyukai” seperti mana banyak ditemui ayat-ayat yang berbunyi “Inna Allaha la yuhibbu…” yang membawa maksud, “Sesungguhnya Allah tidak menyukai/ mencintai…” Begitulah indahnya tingginya kasih dan sayang Allah SWT kepada makhluk-Nya hingga kalimah benci langsung Allah SWT tidak gunakan untuk merujuk kepada sifat diri-Nya di dalam al-Quran walaupun terhadap manusia tidak mentaati-Nya atau melakukan maksiat dan penderhakaan kepada-Nya yang sepatutnya Dia marah.
Kalimah rahmah atau masyarakat Melayu sering menyebut sebagai rahmat biasanya merujuk kepada cinta atau kasih sayang yang paling umum dan ia biasanya melata kepada semua makhluk sama ada manusia mahupun binatang. Penulis tidak bermaksud untuk membahaskan satu persatu perkataan bahasa Arab yang makna setiap kalimah-kalimah yang membawa maksud cinta ini. Cuma sekadar untuk menunjukkan beberapa kalimah yang membawa maksud itu dalam perbendaharaan kata bahasa Arab dan ia sekaligus melambangkan betapa Allah SWT itu amat menyayangi makhluknya dan Islam itu adalah agama kasih sayang. Inilah sifat fitrah tabii manusia iaitu mempunyai perasaan cinta. Seorang lelaki mempunyai perasaan cinta kepada perempuan dan begitulah sebaliknya. Ibubapa pula mencintai anak-anak dan anak-anak mencintai ibubapa.
Adapun kecintaan yang paling tinggi dan agung sekali dalam Islam sudah pastilah kecintaan kepada Allah SWT. Namun kecintaan kepada Allah tidak dapat tidak hendaklah dengan melalui mengikuti perintah Rasul-Nya SAW sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31, mafhumnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu cintakan Allah maka ikutilah aku (Rasulullah SAW), nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Seterusnya perintah agar mencintai baginda SAW sepertimana yang disebut dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. yang mafhumnya: Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, dan bapanya dan sekalian manusia keseluruhannya.
Allah juga menjadikan sifat fitrah manusia untuk saling berkasih sayang antara pasangan masing-masing lelaki dan perempuan seperti firman Allah dalam Surah al-Rum, ayat 21 yang mafhumnya, Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
Dalam pelbagai rupa bentuk cinta itu, ada satu lagi cinta iaitu cinta kepada tanahair atau disebut sebagai hubbul watan. Dalam kalangan segelintir ulama mereka menganggap kecintaan kepada negara itu hanyalah sifat tabiat manusia semata-mata, sepertimana kecintaan-kecintaan kepada hal-hal lain yang bersifat duniawi dan bukannya sebahagian daripada tuntutan agama. Tetapi majoriti ulama sama ada silam mahupun kontemporari, mereka menganggap sebaliknya iaitu ia merupakan anjuran ajaran Islam berdasarkan pengalaman Nabi SAW dan para sahabat r.a., walaupun di sana tiada dalil khusus yang menuntut agar seseorang itu hendaklah mencintai tanahair.
Dalam kalangan masyarakat Arab ada kata-kata masyhur yang berbunyi “Hubbul wathan minal iman” (Mencintai tanah air adalah sebahagian daripada iman), sehingga ada yang mendakwa kata-kata ini adalah daripada baginda SAW. Namun setelah diselidiki dan diperhalusi secara teliti, ramai ulama hadis berpandangan sebaliknya iaitu ia bukanlah daripada sabda baginda SAW. Ibnu Hajar al-Asqalani, ulama yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari dengan kitabnya Fathul Bari menyebut bahawa walaupun kata-kata ini tidak ditemukan sumbernya daripada hadis baginda SAW, namun dari segi maknanya, ia sahih kerana ia diamalkan oleh baginda SAW ketika hayatnya. Imam as-Sakhawi dan al-Ajluni juga berpandangan yang sama hubbul wathan minal iman walaupun belum ditemukan sumber hadisnya, namun mencintai tanah air telah diamalkan oleh para sahabat r.a. dan Rasulullah SAW
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari, Rasulullah SAW pernah berdoa mafhumnya, “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Mekah, atau melebihi cinta kami pada Mekah.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Diriwayatkan juga bahawa apabila Rasulullah pulang ke Madinah dari sesuatu perjalanan atau permusafiran, baginda SAW akan mempercepat perjalanannya menuju Madinah, kerana kecintaan dan kerinduan baginda SAW terhadap tanah airnya dan ingin sampai cepat ke Madinah.
Banyak juga dalil lain yang menunjukkan kepada kita bahawa mencintai tanahair amat digalakkan dalam ajaran Islam. Hal ini dapat dilihat daripada sebuah hadis ketika Nabi SAW diperintahkan berhijrah ke Madinah dan meninggalkan Mekah, baginda SAW menoleh ke Mekah seraya bersabda yang mafhumnya, “Demi Allah engkau (yakni Mekah) adalah sebaik-baik tanah, dan tanah yang paling dicintai Allah SWT. Seandainya aku tidak diusir keluar dari engkau, nescaya aku tidak akan keluar.”
Walaupun ada sesetengah minoriti ulama melihat hadis-hadis ini hanyalah merujuk kepada kelebihan bumi Mekah (fadl al-Makkah) dan bumi Madinah semata-mata dan bukannya daripada aspek tuntutan kecintaan kepada tanahair, tetapi majoriti ulama masih berpandangan bahawa ia masih boleh diqiyaskan kepada tempat-tempat lain yang menjadi tanahair seseorang kerana berdasarkan amalan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat r.a. yang jelas menunjukkan bahawa mencintai negara itu merupakan sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia dan sangat dianjurkan dalam Islam.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.