Iqra’ yang membawa maksud bacalah merupakan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW. Bertitik tolak dari saat itulah, pengembangan ilmu bermula. Wahyu yang mengajak umat manusia agar terus meneroka ilmu melalui pembacaan, pemahaman kemudian mengamalkannya dan seterusnya menyebarkan ilmu agar setiap hati sentiasa mengakui akan kebesaran Allah. Al Quran perlu dirujuk sebagai sumber yang sarat dengan informasi dengan keterangan yang menjelaskan tentang fenomena alamiah yang akan mencetuskan pengembaraan ilmiah moden seterusnya.
Fungsi al Quran sebagai kitab rujukan segala bentuk ilmu telah dimaklumi oleh setiap manusia. Justeru, pengambilan iktibar dari al Quran seharusnya terus disemarakkan sejajar dengan perkembangan tradisi ilmu. Terdapat ayat- ayat khusus di dalam al Quran yang menggambarkan tentang penciptaan alam sarwajagat, keagungan Allah mengatur dan mentadbir sistem bintang dan planet, kejadian manusia dan makhluk lain yang berada di atas muka bumi ini dan pelbagai lagi penciptaan Allah yang kini baru diterokai oleh manusia. Walaupun banyak penemuan demi penemuan baru diterokai manusia dalam bidang sains khususnya namun sebenarnya ia telah pun dinyatakan dalam firmanNya.
Namun begitu, sama ada sedar atau tidak, adakah ilmu- ilmu yang baru diterokai manusia itu telah menjejaki dasarnya iaitu berkembang kepada semua golongan dan lapisan masyarakat? Adakah masyarakat mampu memahami perkembangan ilmu tersebut? Satu persoalan yang perlu dijawab jika ilmu hanya berlegar- legar di ruang fikiran golongan tertentu sahaja dan tidak sampai kepada masyarakat amnya. Ini bermakna tradisi ilmu belum dapat dikembang dan disemarakkan lagi di kalangan seluruh anggota masyarakat. Justeru bagaimana untuk mengoptimumkan sesuatu ilmu itu agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua orang dan bukan hanya tertumpu pada golongan intelektual dan penyelidik sahaja dan seterusnya tradisi ilmu terus dapat disemarakkan?
Bidang sains kadangkala mempunyai satu stigma masyarakat bahawa ia terlalu sukar dan tidak mudah untuk difahami oleh orang yang bukan berkecimpung dalam bidang sains. Justeru, bagi menyemarakkan perkembangan ilmu tersebut agar ia terus menyelinap di segenap masyarakat dan mereka mampu menghargai ilmu yang diterokai itu, sains perlu dimasyarakatkan. Dalam erti kata lain, usaha penyampaian ilmu dan pembudayaan sains perlu diberi nafas baru agar ia tidak hanya menjadi sekadar penemuan yang langsung tidak memberi manfaat bagi masyarakat yang tidak mengenali apa itu sains dalam kehidupan mereka. Biarpun masyarakat sering dimomokkan bahawa sains memudahkan kehidupan namun tiada apa- apa makna jika mereka sendiri tidak mengetahui sesuatu ilmu dapat diaplikasikan dan dijadikan teras dalam kehidupan mereka. Mungkin dapat kita lihat, hasil daripada kajian sesetengah golongan saintis, cendekiawan dan para teknologis, akan hanya tinggal kajian jika ia tidak digarapkan dalam bentuk yang boleh disampaikan kepada masyarakat dan seterusnya masyarakat dapat memahami akan perkembangan ilmu tersebut dan akhirnya memberi manfaat kepada kehidupan manusia sejagat.
Bagaimana untuk memasyarakatkan sains agar pembudayaan ilmu terus dipupuk dalam masyarakat? Jawapannya adalah tidak lain dan tidak bukan melalui penulisan dan pembacaan. Kalau tiada penulisan, apakah yang boleh dijadikan bahan bacaan? Ia merupakan unsur penting yang dapat memastikan perkembangan ilmu semasa terus disemarakkan. Justeru, usaha memasyarakatkan sains adalah melalui penulisan atau karya- karya sains yang dapat difahami dengan mudah sehingga ke lapisan masyarakat yang bawah. Karya saintifik bukan hanya untuk mereka yang berada dalam ruang lingkup sains tetapi ia boleh disampaikan dalam bentuk yang disenangi dan nilai- nilainya mudah terserap dalam jiwa setiap manusia. Namun, yang menjadi kekangannya ialah sikap sesetengah penulis yang lebih suka menghasilkan karya atau artikel untuk golongan yang khusus sahaja akan menyebabkan kurang memberi impak pada khalayak yang lebih luas. Maka ilmu belum dapat dikembangluas dan disemarakkan lagi dalam ertikata yang sebenarnya. Jadi, situasi ini menyebabkan kurangnya bahan bacaan berbentuk sains dalam masyarakat kita. Begitu juga dengan isu yang berunsurkan motif keuntungan. Ramai di antara penerbit yang cenderung untuk menerbitkan buku- buku teks atau buku panduan kerana keuntungan yang tinggi dengan sedikit pelaburan. Tetapi kesannya tidak ke mana kerana ia hanya bermatlamatkan tidak lebih daripada untuk lulus peperiksaan atau mencapai kejayaan dalam sesetengah keadaan. Tetapi bagaimana untuk mempertingkatkan ilmu dan menyemarakkan tradisi ilmu? Disinilah wujudnya kelompangan dalam masyarakat kita. Masyarakat tidak minat membaca atau mencari ilmu kerana tiada bahan bacaan khusus berbentuk ilmiah tetapi santai kerana kekurangan karya- karya yang ditulis dan diterbitkan berunsurkan sedemikian. Sedangkan dengan mencari ilmu melalui pembacaanlah menyebabkan sesuatu bangsa dan negara itu maju seperti yang dapat dicontohi iaitu China, Jepun dan korea.
Oleh itu, strategi yang berkesan perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut seperti mewujudkan hubungan yang bijak antara penulis, penerbit dan juga pemasaran. Jaringan kerja dan perkongsian pintar antara pusat penyelidikan, institusi dan agensi kerajaan serta penerbit juga perlu ditingkatkan dalam kegiatan penulisan, penterjemahan dan penerbitan. Melalui kerjasama inilah, kepakaran, sumber kewangan, masa dan usaha dapat digemblengkan dengan lebih berkesan dalam menghasilkan penerbitan atau karya ilmiah yang memikat hati masyarakat untuk membudayakan ilmu. Tidak kurang juga perlu dijanakan juga usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan semua pihak seperti pemimpin, teknokrat, sarjana profesional dan masyarakat umum bahawa penguasaan, penghayatan dan penyebaran ilmu serta menggunakan ilmu adalah teras bagi kelangsungan dan kemajuan sesuatu bangsa dan negara. Dengan itu juga, mungkin pemikiran baru semakin bercambah di dalam masyarakat melalui usaha mengadakan forum, seminar dan aktiviti masyarakat lain berasaskan budaya ilmu. Begitu juga dengan usaha memindahkan teknologi melalui latihan dan pendidikan serta menterjemahkan karya ilmu dari bahasa asing, menerbitkan dan menyebarluaskannya kepada khalayak tempatan akan memperkayakan pemikiran dan pengalaman serta menyediakan banyak pilihan bahan bacaan kepada masyarakat.
Karya saintifik diadaptasikan menjadi karya umum yang mudah difahami oleh masyarakat mampu mengubah pemikiran ramai bahawa sains itu dekat dengan kehidupan kita. Jadi, sedikit sebanyak usaha sebegini mampu memasyarakatkan sains dalam ertikata yang paling mudah dilaksanakan oleh pengkaji- pengkaji sains agar ilmu terus dapat disemarakkan bukannya bersifat jumud dan tidak dinamik. Walaupun ia memerlukan sedikit usaha daripada golongan tersebut dalam memasyarakatkan ilmu sains, namun ia dianggap sebagai satu cabaran dalam menyampaikan ilmu Allah kepada orang ramai dengan hanya mengeksploitasi sumber yang ada selaras dengan tuntutan agama untuk dijadikan santapan minda masyarakat awam. Oleh itu, kerjasama yang padu dari semua pihak diperlukan agar tradisi ilmu terus disemarakkan dengan gemilang sepertimana gagasan tamadun Islam dahulu yang ramai melahirkan tokoh- tokoh ilmuwan Islam yang unggul di mata dunia.