Seluruh dunia sedang mencari jalan bagaimana mengatasi masalah ekonomi yang sedang dihadapi. Berbagai langkah diambil bermula dari pakej rangsangan dan cetusan fikrah menerajui hala baru. Sejauh manakah dunia akan berhadapan dengan kemungkinan krisis ekonomi lagi di masa akan datang? Persoalan ini perlu dilihat dari sejauh mana penambahbaikan dibuat terhadap punca-punca kemerosotan aturan kewangan yang pernah dialami dan perkara-perkara yang berkemungkinan.
Ada yang berpandangan bahawa kemerosotan ekonomi dunia berlaku mengikut putarannya walaupun berbagai langkah telah diambil. Yang pasti, semua punca-punca kemerosotan adalah disebabkan pengabaian kepada keadilan dan kesaksamaan. Dunia pernah mengalami berbagai krisis seperti krisis sumber, tenaga, makanan dan kewangan. Selain dari faktor-faktor bencana alam, manusialah yang perlu dipertanggungjawabkan atas sebarang kerosakan yang berlaku. Kegagalan aturan kewangan yang lalu adalah disebabkan rapuhnya asas kepelbagaian bentuk aqad dan kegagalan menguruskan fungsi ekonomi dan aset. Ramai yang masih menganggap bahawa urusniaga jual beli dan amalan riba tiada bezanya dan mengamalkannya juga tidak memberi apa-apa mudarat. Perkara ini perlu diberikan perhatian terutamanya institusi yang terlibat dengan kewangan.
Urusan perbankan pada lazimnya melibatkan urusan pinjaman dengan kadar faedah sama ada dari pendeposit atau orang yang dibiayai. Bank berperanan mendapatkan deposit dengan kadar faedah yang lebih rendah dan menawarkan pembiayaan dengan kadar pulangan faedah yang lebih tinggi. Bank juga boleh memberi pinjaman berkali ganda melebihi purata taburan aset yang dimiliki dalam menjayakan fungsi sebagai pemberi pinjaman dan pembiayaan kewangan. Peranan bank sebagai orang tengah yang mengaut faedah perlu dilihat semula dari sudut sumbangan ekonominya.
Sebagai contoh dalam pasaran modal yang berbentuk kredit. Sekiranya kontrak yang melibatkan urusan hutang atau jualbeli hutang, beberapa asas penting dalam ketentuan hakmilik, nilai pertukaran dan jenis hutang tersebut perlu diberi perhatian. Tidak semuanya boleh diniagakan. Asas sebenar dalam muamalah perlu didirikan seperti yang telah ditetapkan bukannya hanya meniru bulat-bulat kontrak biasa dan mengenakan nama baru yang akhirnya memberi kesan ketidakstabilan ekonomi dalam jangkamasa tertentu.
Keutuhan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada kegiatan ekonomi sebenar dan ketelusan agihan muamalahnya, bukan disandarkan kepada berapa canggih rekabentuk, gambaran graf atau angka yang dibentuk. Dalam faham ekonomi, akibat dari lebihan dan kekurangan sumber modal, berbagai bentuk aqad dan pendekatan digunakan untuk menampung permintaan dan penawaran ini sehingga peranan ekonomi sebenar menjadi kabur. Apatah lagi bila persoalan risiko yang sebenarnya dihadapi oleh pengusaha ditenggelamkan dengan mewujudkan beberapa lapisan pendekatan yang berasingan.
Apa yang ditekankan dalam muamalah kewangan sekarang dilihat cenderung kepada bagaimana menyusun lapisan-lapisan kontrak bagi menjayakan urusniaga dengan mencampuradukkan antara urusan berasaskan riba dan perniagaan. Keadaan ini telah mewujudkan pasaran derivative yang membimbangkan. Menurut laporan Bank for International Settlement (BIS) kadar pasaran derivative yang belum terlangsai melibatkan US592 Trillion iaitu melebihi 10 kali ganda Keluaran Negara Kasar dunia. Ini bermakna kegiatan ekonomi sebenar lazimnya telah dijuruterakan berkali ganda. Dengan pengiktirafan pendekatan kewangan Islami di mata dunia, sudah tiba masanya isu ini diberi perhatian kerana aturan kewangan Islami jelas memberi asas yang lebih kukuh ke atas kontrak yang adil dan saksama.
Apa yang negara maju mengikut acuan Wawasan 2020 perlukan ialah sebuah aturan perbankan yang berupaya menjadi salah satu wakil kegiatan ekonomi dan berani mengambil risiko. Sudah sampai masanya bank memikirkan skim menjadikan pendeposit sebagai rakan kongsi yang menyuntik modal untuk bank terus memainkan peranannya merangsang ekonomi negara serta mengutamakan usaha-usaha pembangunan ekonomi dengan terlibat secara langsung dalam menyumbangkan modal kepada perusahaan yang berdaya maju. Usaha merangsang pasaran tempatan ini perlu dijadikan sebagai perkara utama berbanding usaha mengawalselia pergerakan nilai pelaburan di dalam pasaran derivative mereka untuk mengurus risiko. Dalam masa yang sama, pendeposit akan menikmati keuntungan dari pelaburannya manakala negara juga dapat menikmati kerancakan ekonomi.
Mungkin sudah tiba masanya untuk menghentikan usaha mewujudkan kontrak yang berbentuk burble dengan menghapuskan urusniaga saham yang berbentuk jangkaan pendapatan. Akibat dari salahtafsir ancaman dengan menganggapnya peluang, banyak pihak berlumba-lumba untuk mencipta saham dari jangkaan pendapatan dan banyak juga yang menyalahgunakan. Apabila sampai ke tahap yang tepu, tanggapan tersebut tidak berlaku kerana kegiatan ekonomi sebenar tidak dapat menampungnya menyebabkan seluruh aturan menjadi lumpuh dan menjejaskan bukan sahaja pasaran yang disengajakan tetapi kegiatan ekonomi sebenar juga terkena tempiasnya.
Bentuk kontrak muamalah sekarang didapati masih berkecenderungan mengambil faham pinjaman dengan kadar faedah walaupun muamalahnya dinamai dengan nama yang kononnya jualbeli atau perkongsian Islami. Ciri-ciri kontrak tidak diikuti sepenuhnya dan terhenti sekadar memberi kebaikan kepada institusi semata-mata. Dalam jangka panjang, kontrak ini akan memberi kesan terhadap risiko kerugian pihak yang bermuamalah terutama pelanggan bank. Sebagai contoh, kontrak musyarakah mutanakisah yang bersesuaian dalam pemilikan hartanah pada hakikatnya memindahkan hampir keseluruhan risiko kepada pelanggan bank sekiranya sesuatu risiko berlaku.
Wang samada dalam bentuk elektronik atau kertas bukanlah produk ekonomi tetapi alat perantara untuk menjayakan ekonomi. Begitu juga dengan anggaran pendapatan atau instrument-instrumen hutang yang pelbagai. Semua ini tidak boleh diniagakan dengan kadar keuntungan tertentu apatah lagi dilipatgandakan tanpa tinjauan tentang sumbangan dari sudut ekonomi. Sekiranya pertukaran ke atas nilai wang perlu dibuat, prinsip syariah perlu ditetapi iaitu hendaklah pertukaran tersebut setanding nilainya dan dilakukan dalam jangkawaktu semasa, serta tidak tertakluk kepada sesuatu yang tidak pasti. Ketidakpastian pasaran pula tidak boleh dimanipulasikan dengan mewujudkan kontrak-kontrak lain bagi mengaburinya.
Walau bagaimana canggihpun kontrak yang digubal, aspek sumbangan dari sudut ekonomi sebenar perlu diambilkira. Bank sebenarnya mempunyai peranan yang besar bagi merangsang semula ekonomi negara. Pengwujudan skim perkongsian bersama pendeposit berupaya memberi nafas baru kepada aturan kewangan supaya dapat melepaskan diri dari amalan yang ditegah di samping membuka pasaran modal bagi pembangunan tempatan dan antarabangsa.