DALAM tulisan saya dua minggu lalu, saya menyatakan bahawa pembangunan pendidikan Islam di negara kita telah berjalan dengan lancar dan sistematik.
Jika dilihat kepada angka pelajar di institusi pendidikan agama di segala peringkat maka bilangannya telah meningkat ke angka ratusan ribu.
Bilangan pelajar agama yang agak besar ini memberikan gambaran yang jelas bagaimana para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak sekarang amat prihatin dengan pendidikan agama dan sekali gus meletakkan harapan agar pendidikan agama akan dapat memberikan kekuatan kepada anak-anak mereka dalam menghadapi cabaran dan persaingan dalam masyarakat moden dan global ini.
Dengan harapan yang tinggi inilah maka para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama.
Aliran ini menyebabkan sejak akhir-akhir ini permintaan untuk ke institusi agama telah meningkat berkali ganda melebihi bilangan tempat yang dapat disediakan.
Saya rasa bahawa semangat dan niat untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak dengan berwadahkan ajaran agama adalah satu hasrat suci dan murni untuk kebaikan generasi kita yang akan datang.
Oleh itu dalam mencapai objektif dan harapan yang dicita-citakan itu, maka sistem pendidikan agama dan pentadbiran serta perjalanannya yang merangkumi kurikulum, latihan tenaga pengajar, buku teks, dan sebagainya haruslah juga diperbaiki dan dipertingkatkan dengan bersungguh-sungguh dari semasa ke semasa.
Satu perkara lain yang harus disedari dalam konteks ini bahawa pelaksanaan pendidikan di negara kita dewasa ini adalah menekankan tentang k-ekonomi, dan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bidang profesionalisme yang lain.
Hal ini sebenarnya tidak menyimpang daripada konsep ilmu dan pendidikan yang dianjurkan oleh Islam, iaitu menyepadukan ilmu wahyu dan ilmu yang dihasilkan oleh akal manusia, atau ilmu dunia dan ilmu akhirat.
Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN) mempunyai tujuan yang amat baik, iaitu untuk mencapai objektif pendidikan Islam yang dimaksudkan itu, iaitu melahirkan manusia terpelajar yang sepadu keilmuannya, berkeperibadian unggul, berhiaskan nilai moral dan akhlak yang baik, dan cemerlang dalam kedua-dua aspek intelektualisme, dunia dan akhirat.
Berdasarkan hal itulah maka bidang pendidikan yang seharusnya diterokai oleh pelajar-pelajar Islam perlu diperluaskan agar melepasi sempadan-sempadan pendidikan kerohanian dan keagamaan yang difahami selama ini dalam konteks pendidikan agama, atau pendidikan Islam.
Sistem pendidikan yang merangkumi kurikulum, kaedah mengajar dan penyediaan buku teks serta tenaga pengajar mestilah dirangka dan direalisasikan berdasarkan konsep dan falsafah pendidikan Islam yang dimaksudkan itu.
Saya melihat bahawa di peringkat tinggi, falsafah dan konsep pendidikan Islam ini telah diterjemah dan dipraktikkan mulai tahun 1983 ketika Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditubuhkan.
Sistem ini seharusnya diteruskan dengan berhati-hati agar ia dapat benar-benar menepati objektif dan konsepnya yang sebenar dalam melahirkan intelektual yang berhikmah dan cemerlang dalam ilmu pengetahuan dan keperibadiannya.
Bagaimanapun sistem ini seharusnya lebih banyak diturunkan ke peringkat yang lebih rendah iaitu ke sekolah-sekolah menengah bawah dan atas dengan beberapa peningkatan dan pengubahsuaian yang perlu.
Kita mestilah sedar sekiranya konsep dan sistem pendidikan Islam dilaksanakan secara silap, maka kita akan hanya mengeluarkan manusia yang tertutup minda dan pemikirannya, dan akan melahirkan individu yang lebih bersifat idealis terpisah daripada realiti masyarakat dan keadaan di sekelilingnya.
Aliran ini sebenarnya telah banyak melanda masyarakat Islam di negara-negara Islam sejak beberapa ketika, dan akibatnya telah dapat kita lihat bahawa umat Islam dalam masyarakat pada hari ini banyak sekali dilanda berbagai-bagai krisis tamadun dan pemikiran, di samping berada dalam kemunduran dan ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan semasa.
Adalah diharapkan bahawa pendidikan Islam di negara kita akan dapat mengatasi masalah kelemahan para pelajar Islam dalam bidang sains dan teknologi, dan bidang profesional yang lain.
Hal ini perlu disedari, kerana angka para pelajar agama telah semakin bertambah dari tahun ke tahun. Bilangan yang banyak ini sepatutnya akan dapat memenuhi tujuan dasar kerajaan untuk menambah bilangan pelajar Melayu dalam bidang profesional.
Statistik ahli profesional yang berdaftar mengikut kumpulan etnik yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada tahun 1997 menunjukkan peratusan yang masih rendah di kalangan etnik Melayu dalam bidang perakaunan, arkitek, doktor perubatan, juruukur, peguam dan sebagainya.
Akauntan Melayu pada tahun 1977 berjumlah 1,766 berbanding Cina yang berjumlah 8,721, arkitek Melayu 419 dan Cina 1,026, jurutera Melayu 11,481, Cina 17,441, demikian juga dalam bidang yang lain, peratusan Melayu masih rendah berbanding etnik Cina.
Sungguhpun selepas tahun 1997 mungkin peratusan ini telah berubah sedikit, namun saya percaya perangkaannya masih kecil. Sebab itulah telah saya sebutkan bahawa pelajar-pelajar di sekolah agama seharusnya dapat memberi sumbangan untuk mengatasi kelemahan ini dan merapatkan jurang perbezaan yang amat ketara itu.
Satu cara bagi mengatasi hal ini pada pandangan saya ialah mencorakkan pendidikan Islam dan agama ke arah bidang yang lebih holistik dan sepadu, iaitu membuka saluran sains dan teknologi yang lebih luas dalam bidang pendidikan agama, agar kualiti pelajar agama yang cemerlang dan baik itu akan dapat dieksploitasi dengan kadar yang minimum.
Hal ini memerlukan anjakan paradigma dan perubahan cara berfikir dan tanggapan orang Islam sendiri tentang konsep dan falsafah pendidikan Islam itu.
Kalau masih digambarkan bahawa pendidikan Islam itu hanya dalam bentuk pendidikan sembahyang, puasa dan zakat serta haji, atau asas teologi sahaja, maka amat sukar bagi umat Islam membangun dengan kuat dan mencabar segala aliran baru dalam zaman globalisasi yang terlalu banyak memasukkan unsur-unsur antiagama dan ketuhanan ini.