Ketika ini, Forum Keamanan Sejagat Perdana 2005 sedang berlangsung di PWTC. Mungkin, inilah kali pertama forum sebesar ini diadakan di Malaysia bagi membincangkan soal keamanan dunia. Tujuan penganjuran forum ini sungguh jelas, iaitu untuk berbincang tentang keamanan dan mengutuk kekerasan serta peperangan.
Bukan calang-calang tokoh yang dijemput untuk memberikan pandangan tentang keamanan dan peperangan. Selain tokoh-tokoh dari luar negara, YAB Perdana Menteri Malaysia beserta Timbalannya akan turut sama memberikan ucapan berkaitan tema tersebut.
Apabila pertama kali membaca tentang forum ini, penulis terdiam seketika dan tertanya-tanya, adakah rakyat dalam sebuah negara yang merdeka serta aman seperti Malaysia dapat benar-benar menyelami erti keamanan dan seterusnya membenci peperangan?
Persoalan ini timbul kerana Malaysia sudah lama aman, iaitu bebas merdeka. Malahan, keamanan itu pula diperoleh tanpa melalui proses peperangan yang panjang dan menyiksakan.
Bagi mereka yang lahir ketika negara dibelenggu penjajahan, keamanan negara sangat besar ertinya. Mereka berupaya menyelami perasaan dan kesukaran yang dihadapi ketika negara tidak aman. Misalnya, ketika melawan penjajah British, atau semasa peristiwa kemasukan Jepun ke tanahair.
Lain pula halnya dengan generasi muda kini. Tentu sahaja mereka sukar membayangkan keadaan negara yang tidak aman akibat peperangan atau pertentangan melawan penjajahan. Ini kerana mereka sudah lama diselubungi kesenangan. Maka, kesusahan akibat peperangan mungkin tidak pernah mereka fikirkan. Oleh itu, bagaimanakah mereka boleh sebenar-benarnya membenci peperangan?
Apabila melihat gambar atau cerita tentang penderitaan masyarakat di Palestin, Afghanistan, Iraq mahupun di beberapa negara di benua Afrika, pasti ramai yang berasa sedih, marah, takut dan berharap perkara itu tidak berlaku di Malaysia. Namun, berapa lamakah perasaan itu dapat dikekalkan? Lazimnya, apabila kembali sibuk dengan perjalanan hidup seharian, perasaan itu hilang bagai debu ditiup angin.
Oleh kerana inilah, bekas Perdana Menteri di dalam satu temuramah, melihat akan perlunya meningkatkan kesedaran umum tentang perang dan makna keamanan. Peningkatan kesedaran di kalangan majoriti rakyat sesebuah negara akan mampu menolak pemimpin yang gila perang dan seterusnya menjadikan keamanan sebagai agenda utama negara itu.
Jadi, apakah yang perlu kita sedar tentang peperangan dan keamanan ini? Pertama, peperangan boleh berlaku walaupun dalam sebuah negara yang bebas merdeka. Ini kerana, dalam dunia kini, sesebuah negara boleh diserang dengan seribu satu alasan yang sebahagian besarnya direka-reka. Lihat sahaja keadaan di Iraq. Negara ini diserang oleh Amerika Syarikat serta sekutunya, dengan alasan memiliki senjata pemusnah nuklear besar-besaran yang boleh meusnahkan dunia. Walau bagaimanapun sehingga kini, tiada satu bukti pun berjaya ditemui di Iraq bagi mengukuhkan tuduhan tersebut.
Sebaliknya, Amerika Syarikat sendiri telah membangunkan senjata pemusnah nuklear secara besar-besaran yang boleh memusnahkan dunia. Renungkanlah peristiwa pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima, lihatlah keadaan Afghanistan dan Iraq kini serta bayangkanlah apa yang bakal terjadi sekiranya kezaliman Amerika Syarikat diteruskan di Bilad-al-Sham (Syria) dan Iran.
Jadi ingatlah, jika Malaysia dianggap boleh mengancam kedudukan negara “kuasa besar” dunia, maka pelbagai alasan boleh dicipta untuk menundukkan kita. Oleh itu sebenarnya, keamanan yang dinikmati sesebuah negara sekarang bukanlah milik mutlak negara tersebut.
Kedua pula, peperangan bukanlah satu kaedah yang mulia untuk mencapai keamanan. Dalam keadaan dunia kini, kita telah melihat bahawa peperangan dianggap sebagai satu kaedah yang boleh digunakan untuk mencapai keamanan. Selama ini kita percaya kepada idea “capailah keamanan demi mengelak peperangan”. Namun kini perkara sebaliknya berlaku. Ini bermakna, pegangan kebanyakan pemimpin gila perang kini adalah “berperanglah dahulu, baru anda akan aman”.
Hal ini boleh dibuktikan dengan melihat negara Afghanistan. Negara ini diserang dengan alasan pemerintahan Taliban menyokong pergerakan al-Qaeda yang dipersalahkan di atas peristiwa 11 September 2001. Dalam masa yang sama, kita dimomokkan dengan berita bahawa kerajaan Taliban menindas dan menyeksa rakyat Afghanistan hingga mereka hidup menderita. Hakikatnya, walaupun selepas kejatuhan kerajaan Taliban, negara itu tidak juga aman malah terpaksa bergantung kepada negara-negara kuasa besar dalam percaturan urusan kerajaan barunya.
Berdasarkan penjelasan di atas, peperangan bukanlah jaminan kepada keamanan. Oleh itu, janganlah kita terpedaya dengan hasutan bahawa peperangan perlu demi mencapai keamanan. Walau apa jua alasan yang diberi, perkataan �peperangan� perlu dipadamkan dalam senarai kaedah mencapai keamanan.
Akhir sekali, peperangan mencipta lebih banyak masalah yang bakal diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Ini merujuk kepada kesan peperangan dan kerapkali kita melihat kesan peperangan dari segi jumlah nyawa yang terkorban. Sekali lagi, mantan Perdana Menteri menegaskan bahawa; “angka-angka kematian dalam perang bukan hanya sekadar nombor” kerana “mangsa perang sebenarnya mempunyai keluarga, masa depan dan cita-cita…”. Di samping itu, bukan hanya nyawa manusia tetapi makhluk bernyawa dan tidak bernyawa yang lain turut musnah kerana peperangan.
Oleh itu, kita perlu sentiasa ingat bahawa apabila satu nyawa terkorban dalam peperangan maka sebenarnya kehidupan beberapa nyawa lain turut terumbang-ambing tanpa kepastian. Misalnya, bapa yang terkorban meninggalkan isteri, anak-anak, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain dalam kesusahan dan kesedihan. Malah kadang kala mereka terbiar dalam kemiskinan dan kebuluran yang akhirnya meragut nyawa.
Alhamdulillah, di Malaysia keadaan ini jarang berlaku kerana keamanan yang kita kecapi kini masih menjamin kelangsungan hidup rakyatnya. Namun, bolehkah kita berpuashati dengan keadaan ini? Jawapannya, tidak sama sekali, kerana keamanan ini boleh diambil pada bila-bila masa jika kita terus membiarkan diri dalam arus kelalaian.
Kebencian kepada peperangan mesti ditanam dalam diri dan jangan biarkan keamanan negara ditentukan oleh “tangan-tangan” yang rakus dan mementingkan diri semata-mata. Hal ini bukan mudah dicapai jika kita tidak mempunyai kekuatan menangkis kerakusan itu. Kekuatan dalam pelbagai bidang ilmu dan kebijaksanaan mengurus diri dan negara perlu dibangunkan jika hendak memastikan keamanan terus menjadi milik kita.
Ambillah iktibar daripada kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balkis. Ratu yang pada awalnya diancam dengan peperangan kerana menolak keimanan kepada Allah s.w.t. akhirnya tunduk jua kerana kagum dengan akhlak Nabi Sulaiman a.s. yang tinggi dan terpuji. Dalam kisah ini juga, peperangan yang pada mulanya dirancang akhirnya dapat dielakkan. Dengan itu, umat Islam mesti menunjukkan kekuatannya yang sebenar iaitu kekuatan dalam menguasai pelbagai bidang ilmu. Dalam situasi dunia kini, kekuatan umat Islam tidak boleh disandarkan kepada senjata semata-mata tetapi yang lebih penting kekuatan akalnya. Ini juga bermaksud kita tidak boleh semata-mata menuding jari kepada orang lain jika maruah dan keamanan negara tergadai kerana kelemahan diri (atau rakyat) juga boleh meruntuhkan benteng kekuatan.