Tibanya bulan Syaaban menandakan bahawa Ramadan akan menjelang tidak lama lagi. Pada bulan ini, umat Islam digalakkan untuk membanyakkan puasa sunat bagi mempersiapkan diri menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan meraih ganjaran pahala sebanyak-banyaknya.
Amalan puasa sunat pada bulan Syaaban dan sebelum ini bulan Rejab adalah penting untuk melatih diri sebelum menjalani ibadah puasa selama sebulan pada bulan Ramadan. Persediaan ini diperlukan supaya puasa Ramadan dapat dilaksanakan dengan penuh ketaatan dan keselesaan dari segi fizikal serta mental.
Di samping anjuran berpuasa, Islam juga telah mengajarkan umatnya untuk sentiasa membersihkan hati dan menyucikan niat dalam melakukan ibadah. Hal ini kerana setiap amalan dimulai dengan niat dan hanya amalan yang berdasarkan niat yang tulus untuk mendapatkan reda Allah yang akan diterima di sisiNya. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud: “Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia menyekutukan sesiapa pun dalam ibadah kepada Tuhannya.”
Ibadah merupakan manifestasi perhambaan kepada Maha Pencipta dan juga tanda ketakwaan dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Oleh sebab itu, ibadah tidak seharusnya dicemari oleh rasa riyak, ujub, sum’ah dan sebagainya.
Rasulullah SAW suka berpuasa lebih-lebih lagi pada bulan Syaaban. Terdapat banyak hadis yang menyebut tentang perkara ini, antaranya pertanyaan Usamah bin Zayd RA kepada Baginda SAW, maksudnya: “Saya tidak lihat kamu berpuasa pada bulan yang lain sepertimana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Nabi SAW menjawab: Syaaban itu ialah bulan yang sentiasa manusia lupakan, bulan itu antara bulan Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut ialah bulan yang dibentangkan amalan kepada Allah dan saya suka jika amalan saya dibentangkan dalam keadaan saya berpuasa.”
Amalan puasa sunat pada bulan Syaaban bukan sahaja bagus dari segi spiritual tetapi juga baik untuk kesihatan fizikal dan mental. Contohnya, ketika berpuasa, sistem penghadaman dapat berehat daripada melakukan aktiviti mencerna makanan yang seterusnya membantu untuk mengembalikan fungsi organ dan sistem di dalam tubuh ke tahap yang optimum atau disebut sebagai homeostasis.
Amalan berpuasa telah menjadi satu kaedah terapeutik bagi mencegah penyakit kronik dan penyakit radang. Masalah seperti obesiti, hipertensi, diabetes, penyakit jantung dan sebagainya dapat dihindari dengan mengamalkan gaya pemakanan dan gaya hidup yang sihat.
Tabiat pemakanan yang sihat seperti pengambilan makanan yang seimbang dan mengandungi zat-zat makanan seperti diperlukan oleh tubuh, mengelakkan pengambilan gula dan garam berlebihan, mengurangkan pengambilan makanan ringan atau junk food, makan bersederhanaantara lain sebenarnya merupakan tabiat makan yang halal lagi baik (halalan tayiban).
Melazimi berpuasa pada bulan Syaaban juga sebenarnya melatih kita mengurangkan makan kerana hanya makan ketika bersahur dan iftar. Apabila kurang makan, badan kita menjadi lebih ringan untuk melaksanakan ibadah sama ada pada waktu siang ataupun malam. Oleh itu, kita seharusnya mengambil peluang pada bulan ini untuk membiasakan diri bersolat malam. Kebiasaan yang dimulakan sejak bulan Rejab dan diteruskan pada bulan Syaaban pastinya akan membuahkan istiqamah untuk menjalankan ibadah pada bulan Ramadan dan bulan-bulan lain seterusnya.
Kita juga perlu kekal aktif dan bertenaga dengan sentiasa bersenam atau bersukan. Jika di tempat kerja, kita boleh membanyakkan untuk bergerak dengan berjalan kaki, menaiki dan menuruni tangga. Pada hujung minggu atau cuti sekolah pula, kita boleh beriadah bersama keluarga. Bersenam bukan sahaja boleh menyihatkan badan tetapi juga bagus untuk kesihatan mental dan psikologi. Apabila minda sihat dan tubuh badan cergas, produktiviti diri juga meningkat sekaligus menyumbang kepada kehidupan yang bahagia dan sejahtera.
Aktiviti yang dilakukan secara berterusan akan menjadi satu tabiat yang mengubah tingkah laku. Manusia adalah makhluk yang mempunyai tabiat dan tabiat boleh dibentuk apabila melakukannya secara konsisten. Oleh sebab itu, tabiat yang baik perlu dibentuk dalam bulan Syaaban ini dengan mengamalkan gaya pemakanan sihat melalui ibadah puasa sunat dan aktiviti senaman melalui ibadah solat misalnya.
Pada bulan yang diangkat amalan ini juga, kita sepatutnya bermuhasabah diri dengan berusaha menjadi Muslim yang baik dengan mengamalkan sepuluh muwasafat tarbiyah seperti yang dikemukakan oleh Hassan al-Banna, iaitu memiliki aqidah yang sejahtera, akhlak yang mantap, sangat menjaga masa, ibadah yang benar, tersusun dalam urusan, sihat tubuh badan, mampu berdikari, melawan hawa nafsu, bermanfaat kepada orang lain, dan luas pengetahuan.
Perubahan kecil dari segi perbuatan, percakapan, perasaan tetapi dilakukan secara berterusan umpama kesan riak air (ripple effect) yang akan mempengaruhi manusia lain di sekeliling kita. Sebagai seorang Muslim, kita diajar untuk berakhlak baik kepada semua makhluk termasuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Akhlak adalah cerminan hati, justeru hati perlu dihidupkan dengan iman dan takwa.
Sehubungan itu, bulan Syaaban ini patut dimanfaatkan untuk pembentukan tabiat yang sihat sama ada dari segi luaran mahupun dalaman.