Umat Islam seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam tiga hari sahaja lagi. Selepas diuji selama sebulan dalam bulan Ramadhan, sambutan hari kebesaran itu memang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.
Hari Raya Aidilfitri kerap kali juga disebut sebagai hari kemenangan umat Islam. Kemenangan di sini membawa maksud kemenangan melawan nafsu, membersihkan diri daripada dosa atau dengan kata lain kembali menjadi insan yang benar-benar beriman.
Hal ini bersesuaian sekali dengan makna perkataan fitri daripada perkataan fitrah yang bermaksud sifat semulajadi manusia yang suci daripada segala dosa. Oleh itu, hari raya Aidilfitri adalah hari Muslim kembali kepada fitrah asal mereka iaitu beriman kepada Allah s.w.t. Ini bermaksud selepas berjaya berpuasa selama 30 hari, Muslim dan Muslimah dijangkakan menjadi lebih baik dan bermutu dari segala segi. Namun adakah jangkaan ini benar?
Tidak dapat dinafikan bahawa pada 1 Syawal, sebahagian umat Islam masih lagi dalam “mood” bulan Ramadhan iaitu menjaga ibadat, menjaga pertuturan dan tingkah laku dan masih mengekalkan perilaku ‘baik’nya. Namun, sebahagian umat Islam yang lainnya pula berbeza tingkah laku mereka.
Pada hari raya itulah, tingkah laku mulia yang dipertahankan pada bulan Ramadhan, tiba-tiba berubah. Ramai yang kembali melalaikan ibadat, tidak menjaga tutur kata dan tingkah laku, makan selagi selera ada, mulai kembali panas baran dan sebagainya. Inikah makna kemenangan yang telah dicapai selepas sebulan dilatih dan diuji dengan pelbagai dugaan? Oleh itu, sambutan hari kemenangan umat Islam itu perlu dilihat semula agar tidak menyimpang daripada maknanya yang sebenar.
Seperkara lagi berkaitan dengan persediaan menyambut hari kebesaran Islam itu. Kebanyakan daripada kita telah membuat persediaan yang begitu rapi agar sambutan Hari Raya Aidilfitri sempurna. Ada yang menyediakan pelbagai jenis kuih muih, menghias rumah dengan langsir atau sofa baru, mengecat rumah, malah ada juga yang menukar kereta baru dan sebagainya. Pendek kata, ramai yang sanggup berhabis-habisan untuk menyambut perayaan itu.
Namun, sedarkah kita bahawa persediaan yang kita lakukan itu hanyalah untuk diri serta ahli keluarga terdekat sahaja. Tidakkah ini dikira mementingkan diri sendiri dan bertentangan dengan pandangan hidup Islam yang mementingkan kesejahteraan ummah. Mungkin ada yang berkata bahawa dirinya sudah menunaikan zakat fitrah yang pada hujungnya akan disalurkan kepada rakan-rakan Muslim yang tidak berkemampuan. Namun adakah nilai sebanyak RM4.70 (nilai zakat fitrah di Kuala Lumpur) yang dihulur itu dirasakan cukup membantu saudara-saudara Islam yang lain?
Apa yang cuba penulis katakan di sini adalah, sambutan hari raya Aidilfitri nanti akan lebih bermakna kepada kita umat Islam jika seluruh umat Islam di dunia atau setidak-tidaknya di Malaysia dapat menyambutnya dengan meriah tanpa ada yang dipinggirkan.
Hari kemenangan umat Islam itu tidak bermakna jika masih ramai Muslim yang begitu payah mendapatkan makanan walaupun sesuap nasi sehari. Keindahan hari kemenangan itu menjadi pudar bila masih begitu ramai umat Islam hidup dalam ketakutan akibat peperangan. Hari kemenangan itu juga tidak begitu bererti jika ramai orang Islam yang mati di jalanraya sempena musim perayaan ini dan akhir sekali, hari raya Aidilfitri akan hilang serinya jika kita bakal menyambutnya dengan suasana langit berjerebu.
Oleh itu, kita perlu melihat semula makna sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal kita raikan. Kita mahukan sambutan Aidilfitri itu meriah bagi diri kita, keluarga kita dan juga seluruh umat Islam. Dalam kemeriahan itu janganlah pula kita lupa memikirkan saudara Islam lain yang mungkin kesusahan di saat itu.
Jika berkemampuan bantulah sedaya mungkin misalnya menghulurkan sedekah mengiringi zakat yang telah dibayar. Bukan itu sahaja, doakan umat Islam yang tersepit dikancah peperangan agar mereka dapat keluar daripada kemelut itu. Berhati-hatilah di jalan raya demi keselamatan diri, keluarga dan juga orang lain. Akhir sekali, jagalah kesihatan di musim jerebu ini. Agak sukar menyuruh orang lain berhenti membakar hutan mereka, namun dengan semangat Aidilfitri ini, moga-moga mereka akan berhenti melakukannya sampai bila-bila. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.