Pada era globalisasi, memang pekerjaan tidak lagi dilihat mengikut konteks tradisional seperti perlu bekerja di dalam pejabat, waktu kerja selama 8 jam dan lain-lain. Bagaimanapun, kesan penularan pandemik Covid-19 telah meluaskan lagi definisi pekerjaan apabila sebanyak mungkin jenis pekerjaan yang sesuai, dilakukan secara mudah alih. Ini berlaku apabila kita terpaksa mencari jalan untuk meneruskan pekerjaan dalam situasi kurang kebebasan.
Kini, apabila menghampiri setahun langkah-langkah pencegahan wabak Covid-19 dilakukan, kita perlu bersedia bahawa mungkin beginilah sebahagian besar pekerjaan akan dilakukan pada hari-hari mendatang walaupun selepas tamat era pandemik. Perkara ini bukanlah sesuatu yang buruk jika dilakukan dengan efisien. Bahkan ia boleh memberi nilai tambah dari segi hubungan sosial, mobiliti, kepantasan dan kepuasan bekerja. Sudah pasti, untuk mencapai perkara ini, individu perlu mempunyai nilai-nilai positif dalam melakukan pekerjaannya.
Hampir setahun ini juga, kedua-dua majikan dan pekerja ‘dipaksa’ untuk saling percaya dalam aspek melaksanakan tugasan. Dari sini, majikan dapat mengenal pasti pekerja yang jujur melakukan tugasan mereka dalam keadaan ‘mudah alih’. Manakala pekerja juga perlu percaya kepada usaha keras diri mereka untuk kekal produktif dalam keadaan terbaik dan termampu yang boleh agar pekerjaan dapat dikekalkan terutamanya dalam situasi pandemik.
Elemen kepercayaan dalam pekerjaan era pandemik ini penting kerana; pertama, pekerjaan berevolusi sebagaimana cara hidup manusia. Cara bekerja tradisional bagi sebahagian pekerjaan mungkin tidak lagi sesuai dalam keadaan tertentu. Kaedah bekerja yang baharu ialah cara terbaik untuk meneruskan kelangsungan.
Kedua, sekiranya keutamaan sesuatu pekerjaan itu adalah tentang hasil kerja berbanding jam bekerja, maka penilaian pekerjaan itu juga perlu berubah. Maka dalam keadaan pandemik ini, hasil kerja pekerjaan tersebut perlu dinilai dan ditekankan berbanding jam bekerja. Perubahan penilaian begini boleh mengurangkan tekanan pihak majikan untuk menyelia pekerja yang bekerja secara ‘mudah alih’ untuk kekal bekerja sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Bahkan, majikan mempunyai kelebihan untuk membuat keputusan strategik dalam konteks pekerja berkualiti berdasarkan output yang terhasil. Selain itu, penilaian begini juga boleh memberi inspirasi kepada pekerja untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan output.
Ketiga, elemen kepercayaan dalam pekerjaan ialah tunjang kepada kontrak pekerjaan. Pekerja diberi kepercayaan untuk melakukan tugasan dengan menggunakan sumber-sumber yang disediakan kepadanya. Manakala majikan diberi kepercayaan untuk memberi balasan (gaji) selepas tugasan dilakukan atau diserahkan pada tempoh tertentu berdasarkan persetujuan kontrak pekerjaan. Ketiadaan kepercayaan dalam pekerjaan menyukarkan tugasan untuk dilakukan. Akibatnya, matlamat pekerjaan tidak dapat dipenuhi dan pengeluaran oleh firma yang berkenaan berada di bawah tahap optimum, sekali gus merugikan mereka.
Sebenarnya, kita boleh membina elemen kepercayaan dalam pekerjaan era pandemik ini melalui beberapa cara. Pertama, kedua-dua majikan dan pekerja perlu mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memenuhi objektif pekerjaan. Setelah itu, barulah kedua-duanya bersedia untuk mempunyai pemikiran dan komunikasi yang terbuka, matang dan bertanggungjawab tentang bagaimana pekerjaan itu boleh dilakukan, dicapai dan dinilai dengan baik. Pemikiran yang ke hadapan mampu menjadikan firma berdaya saing dan maju untuk satu tempoh yang lama.
Kedua, kita perlu sentiasa mempunyai visi untuk membuat kebaikan terhadap orang lain. Dalam konteks pandemik misalnya, majikan telah memberi kepercayaan kepada pekerja untuk bekerja secara mudah alih. Oleh itu, pekerja tidak boleh melakukan penganiayaan dengan sengaja tidak melakukan tugasan sebagai balasan kepada kepercayaan majikan, begitu juga sebaliknya.
Dalam Islam, kita diingatkan untuk tidak menganiaya sesama Muslim dan orang lain serta bersedia untuk memberi kepercayaan kepada orang lain. Dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, “Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”
Ketiga, walaupun tiada pengalaman bekerja secara mudah alih sebelum era pandemik, kita perlu yakin bahawa setiap tugasan itu dapat dilaksanakan dengan baik. Kesukaran dalam menggunakan teknologi yang membantu tugasan dan cabaran berdepan dwi-tanggungjawab antara pekerjaan dengan keluarga juga sebenarnya ialah satu proses pembelajaran yang berterusan kepada kita.
Allah SWT berfirman dengan maksudnya, “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” (Ali ‘Imran: 139). Berdasarkan ayat ini, kita perlu ada keyakinan dan kepercayaan kepada diri dalam berusaha mendepani setiap cabaran. Sikap tekun dan sabar menjadikan diri kita lebih matang, kuat dan mendapat hasil yang baik di kemudian hari.
Sejarah telah mencatatkan manusia berjaya mengharungi beberapa wabak penyakit pada masa lalu dengan harga yang mahal; kehilangan nyawa akibat sakit yang dihadapi dan kemerosotan ekonomi akibat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Pada kali ini, kita juga berhadapan kesan yang sama, namun kita tidak boleh berputus asa.
Dalam konteks ekonomi, usaha untuk mengekalkan pekerjaan bermula dengan konsep kepercayaan. Sebagai majikan, berikan kepercayaan kepada pekerja untuk melaksanakan tugasan dalam suasana lebih kreatif. Manakala sebagai pekerja, mari penuhi kepercayaan majikan dengan melakukan tugasan dengan adil, amanah dan bersungguh-sungguh walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Semoga dengan kepercayaan ini, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan impak ke atas ekonomi dengan mengekalkan pekerjaan setelah beradaptasi dengan suasana kerja baharu.