Islam ialah agama yang sangat indah jika seluruh ajarannya diamal dan dijadikan cara hidup. Malangya, sebahagian besar masyarakat kita menganggap Islam itu hanyalah dalam urusan yang melibatkan perkahwinan, kematian, dan seumpamanya manakala tempat-tempatnya pula adalah seperti dalam masjid, di Mekah atau di Madinah dan begitulah seterusnya. Akibat salah faham ini, kecantikan Islam tidak terserlah walaupun ajaran Islam mencakupi segenap aspek kehidupan manusia daripada sekecil-kecil perkara seperti adab masuk ke bilik air, hinggalah kepada sebesar-besar memerintah sesebuah negara dan hubungan antarabangsa atau hubungan antara agama.
Antara perkara penting bagi menjamin tertegaknya keadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat ialah larangan Islam terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Umum mengetahui kesan dan akibat jika rasuah berleluasa dalam sesebuah masyarakat, nescaya pincanglah sistem keadilan dan keharmoniannya. Mereka yang berkuasa, para hakim dan penguat kuasa sewenenang-wenangnya membuat keputusan berdasarkan mizan keadilan yang saksama kerana berkepentingan.
Malangnya, kajian menunjukkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan umat Islam khususnya pemimpin-pemimpin Islam antara yang tertinggi di dunia. Berdasarkan laporan Corruption Perceptions Index 2019, tiada satu pun negara majoriti umat Islam yang menduduki senarai 20 negara paling bersih di dunia. Yang terbaik mampu dicapai ialah Brunei Darussalam yang menduduki tangga ke-30 manakala Malaysia sendiri menduduki tangga ke-51, lebih baik sedikit daripada tahun 2018, iaitu pada tangga ke-61. Di negara kita, rasuah berlaku dalam segenap organisasi. Pernah dikatakan sebuah agensi penguat kuasa di Malaysia yang kakitangannya ramai yang terlibat dengan rasuah, telah mengambil tindakan drastik dengan memilih hanya graduan lulusan pengajian Islam untuk mengisi perjawatan baharu. Namun ia tidak juga menyelesaikan masalah, bahkan dikatakan menjadi semakin teruk. Lulusan agama semata-mata tidak memadai, tetapi ia perlu kepada individu yang menjiwai dan menghayati nilai-nilai agama yang telah dipelajarinya itu.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita tentang berlakunya kemasukan daging import yang tidak jelas status halalnya, tetapi telah diberikan logo halal sehingga menimbulkan kegelisahan masyarakat. Perkara ini masih dalam siasatan, dan ada sebahagian yang terlibat sudah pun dibawa ke muka pengadilan. Namun yang ingin dinyatakan di sini ialah betapa lunturnya iman sebahagian daripada masyarakat kita apabila sanggup bersubahat dalam membekalkan makanan tidak halal untuk disuapkan ke dalam mulut umat Islam di negara ini. Betapa harapan dan amanah yang diberikan oleh umat Islam di negara kita ini dikhianati dengan begitu sahaja.
Begitu juga pembuangan sisa kekotoran ke dalam sungai-sungai sehingga menjejaskan sebahagian besar pengguna air di Lembah Klang yang kerap berlaku akhir-akhir ini. Kita tertanya-tanya apakah puncanya sikap tidak bertanggungjawab sedemikian? Cuba kita bandingkan dengan sikap yang ditunjukkan oleh masyarakat Jepun dalam menjaga sungai-sungai mereka sedangkan mereka bukan beragama Islam. Kedua, kita juga berasa hairan bagaimana syarikat-syarikat yang tidak mempunyai kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan boleh terus beroperasi di tepi-tepi sungai tanpa sebarang tindakan, adakah wujud rasuah di sana? Kejinya rasuah ini disebukan oleh Baginda SAW melalui sabdanya bermaksud: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313).
Melihat kepada berleluasanya rasuah dalam masyarakat kita pada hari ini dalam segenap aspek kehidupan bermasyarakat sehingga boleh menyebabkan tumbuhnya daging-daging kita daripada sumber yang haram, kerajaan sewajarnya melakukan pelbagai usaha dan kempen membendung gejala ini. Suatu ketika dahulu kita pernah mendengar kempen berbunyi “Bersih, Cekap dan Amanah”, dan mungkin perlu kempen-kempen seumpama itu dihidupkan kembali dan dirancakkan lagi.
Selain kempen-kempen kesedaran dan penghayatan integriti yang tinggi, kerajaan juga wajar menimbangkan untuk mengenakan hukuman yang lebih tinggi terhadap rasuah yang memberi impak yang besar kepada masyakarat seperti rasuah dalam logo halal terhadap daging halal, rasuah dalam pembuangan sisa ke dalam sungai-sungai dan berkaitan dengannya. Ini semua ialah perlakuan pengkhianat dan boleh dikategorikan sebagai kumpulan pemberontak (bughah) dan pihak berkuasa agama wajar turut membincangkan terhadap kesalahan-kesalahan sebegini untuk dimasukkan dalam pemberontakan. Mereka ini walaupun tidak sampai mengangkat senjata, berperang atau menggulingkan kerajaan, seperti yang telah ditetapkan oleh para ulama silam dalam kitab-kitab klasik, namun peperangan moden hari ini yang dilakukan adalah lebih halus melibatkan makanan yang haram yang dihalalkan, dan juga air bersih yang menjadi kotor dan tidak sesuai diminum lagi oleh jutaan pengguna. Ini juga satu bentuk peperangan dan sewajarnya hukuman lebih berat dikenakan agar menimbulkan kegerunan kepada masyarakat untuk melakukan kesalahan ini.