Saya tidak fikir Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menghadapi tugas berat dalam membenteras rasuah dalam keadaan ekonomi merosot sekarang ini dibandingkan dengan jangka waktu beberapa bulan dulu ketika ekonomi negara melambung begitu tinggi. Bagaimanapun, oleh kerana gejala rasuah merupakan penyakit sosial yang merayap disegenap lapisan dan peringkat rakyat pada setiap masa, maka BPR tentulah masih perlu bersedia mengawasi dan mengambil tindakan untuk meredakan wabak penyakit ini, meskipun agaknya kadar dan jumlah yang telibat pastilah tidak sebanyak dulu, kerana kadar rasuah juga tentulah mengikut turun naiknya ekonomi, mewah atau tidak mewahnya para penyogok rasuah itu sendiri.
Dalam keadaan ekonomi merosot ini, saya rasa masanya amat baik bagi BPR menyusun agenda baru bagi menangani gejala rasuah, bukan hanya dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan berat, juga dengan melancarkan proses pendidikan dan pengisian jiwa kepada orang awam, kerana orang lebih mudah menerima pangajaran dalam keadaan lemah dan terdesak, dan mempelajari kesilapan yang lalu dari pengalaman pahit yang dialaminya pada masa kini. Amalan rasuah juga mungkin secara tidak langsung atau secara langsung merupakan sebahagian dari penyumbang kepada krisis ekonomi kita.
Orang awam terlibat dengan rasuah sebagai penerima dan penyogok. Dalam keadaan mewah, banyak projek pembangunan yang mendatangkan keuntungan dan kemewahan yang berlipat ganda dilaksanakan. Maka dalam keadaan ini penerima dan penyogoknya sama-sama mendapat keuntungan yang besar hasil dari tolong menolong dan persefahaman di antara kedua belah pihak. Allah S. W . T menyeru manusia supaya bantu membantu dan tolong menolong untuk kebaikan dan ketakwaan, tetapi penerima dan penyogok rasuah senang bantu membantu untuk menegakkan kemungkaran dan permusuhan.
Dalam keadaan kelembapan ekonomi ini pun, tidak ada sesiapa yang dapat mempastikan bahawa rasuah tidak mungkin berlaku, kerana yang berbeza hanyalah dari segi jumlah dan golongan yang terlibat, namun kedua-dua faktor ini tetap wujud dalam mana-mana masyarakat dan keadaan sekalipun, kerana rasuah telah menjadi penyakit kronik yang dihidapi oleh seluruh dunia sejak dari dulu hinggalah ke zaman moden ini. Ketika Rasulullah S.A. W memberi amaran tentang orang yang menyogok dan menerima rasuah bahawa kedua-duanya akan dimasukkan ke dalam neraka, maka tentulah hal ini menggambarkan betapa seriusnya penyakit ini dan betapa beratnya kemusnahan yang dilakukannya dalam semua keadaan dan golongan masyarakat manusia.
Ketika menghadiri majlis yang diadakan oleh BPR bagi melancarkan arahan Perdana Menteri tentang pemantapan keutuhan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan,ada beberapa perkara yang amat menarik perhatian saya.
• Kenyataan Ketua Pengarah BPR bahawa sejak ditubuhkan, maka inilah kali pertama seorang Perdana Menteri melawat dan melancarkan programnya. Kenyataan ini pada saya membawa pengertian seribu bahasa tentang keperihatinan kerajaan dan pucuk pimpinan sekarang untuk menangani gejala rasuah, dan pihak BPR haruslah mengambil komitmen ini sebagai pendorong yang amat besar dalam menjalankan tanggungjawabnya.
• Kenyataan Perdana Menteri sendiri bahawa kemewahan lebih banyak mendorong perbuatan rasuah. Hal ini membayangkan betapa dalam masyarakat mewah, kita lebih memerlukan sifat jujur, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan lebih-lebih lagi mempunyai hati dan rohani yang bersih dan bertanggungjawab kepada Tuhan.
• Kenyataan bahawa gejala rasuah di negara kita belum melampaui peringkat kedua. Peringkat pertama rasuah biasanya berlaku dalam keadaan yang agak rahsia dan tersembunyi, tetapi ianya tetap dianggap keji dan mungkar. Keadaan di negara kita mungkin masih berada ditahap ini. Tetapi peringkat kedua rasuah yang seharusnya dibendung supaya ianya tidak berlaku di negara kita ialah amalan rasuah yang berlaku secara terbuka dan terang, malah menjadi satu cara hidup di semua peringkat sebagai satu amalan biasa yang boleh dilakukan tanpa sebarang perasaan segan silu lagi.
• Bagaimana pun, peringkat kedua ini pada pandangan saya masih mempunyai ruang-ruangnya yang tersembunyi. Kemungkinan sama ada ianya berlaku atau tidak berlaku di negara kita tidak dapat diakui atau dinafikan keseluruhannya, kerana ada ketika dan tahap-tahap yang tertentu mungkin ianya telah belaku di negara kita dalam keadaan yang “terbuka” tetapi terhad tahap “keterbukaannya” itu. Orang-orang yang terlibat dalam ruang yang terbuka ini pula terdiri dari “ahli-ahli” yang tertentu dan mode. operandinya itu yang mungkin dapat ditutup dan disembunyikan. Bagaimanapun seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, sebelum negara terjebak ke dalam perangkap rasuah peringkat kedua itu, maka usaha-usaha haruslah dilakukan untuk mengelakkannya.
Bagi saya, memerangi rasuah, samalah seperti memerangi segala macam penyakit masyarakat yang melibatkan aspek fizikal dan kerohanian. Kalau dalam memerangi penyakit fizikal, seseorang itu memerlukan disiplin dari segi kebersihan, pemakanan dan sebagainya, maka usaha memerangi rasuah Juga memerlukan produk manusia yang berdisiplin, berjiwa bersih dan memiliki nilai¬nilai kerohanian yang kukuh.
Biasanya orang mungkin tidak memberi rasuah atau menerimanya kerana takutkan tindakan keras undang-undang sekiranya ia tertangkap dan terbukti kesalahannya. Oleh itu orang-orang yang bercadang untuk memberi atau menerima rasuah seringkali akan merancang dengan rapi bagaimana mereka dapat melepaskan diri dari jerat undang-undang dan saban kali juga mereka berjaya melepaskan diri dari tindakan undang-undang.
Oleh itu, langkah bagi memperketatkan undang-undang dan penguatkuasaan, amatlah penting dalam mengatasi masalah rasuah. Tetapi langkah mendidik masyarakat dan memberi kesedaran tentang keburukan dan akibat amalan rasuah haruslah dilakukan secara serius dan menyeluruh secara berterusan.
Mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai moral dan etika yang berasaskan konsep ketuhanan amatlah penting dan berkesan untuk mewujudkan masyarakat yang bersih dari rasuah. Hati yang dididik dengan bersih berasaskan ajaran agama dan tanggungjawab kepada Tuhan, akan mempunyai daya ketahanan yang kuat dalam mengatasi apa sahaja cabaran dan tuntutan nafsu, termasuk nafsu kebendaan melalui rasuah.
Hal ini ditegaskan kerana terdapat ramai juga orang yang tidak takut kepada undang-undang manusia, kerana ada kalanya mereka boleh terlepas dari tindakannya, tetapi bagi orang-orang yang beriman, mereka takutkan undang¬undang Tuhan, kerana tidak ada sesiapa pun yang dapat melarikan diri dari balasan Tuhan. Malah balasan Tuhan boleh berlaku di dunia ini lagi tanpa perlu menunggu hingga ke hari akhirat.
Saya amat tertarik sekali dengan kenyataan Ketua Pengarah BPR di majlis tersebut bahawa majlis ini diadakan dalam bulan Ramadhan sebagai satu sempena baik bagi memperkukuhkan wawasan membanteras amalan rasuah melalui proses peningkatan nilai-nilai keagamaan dan kerohanian.
Malah amat menarik Juga jenaka Perdana Menteri sendiri yang mengatakan bahawa walau pun beliau berucap di restrum yang tidak “transperen” , tidak seperti restrum yang digunakan oleh Ketua Pengarah BPR, tetapi ini tidak bermakna bahawa beliau “tidak transperen”. Kenyataan ini amat bererti dan membawa mesej yang amat penting.
Akhirnya, peperangan menentang rasuah dengan undang-undang dan peraturan yang diperkukuhkan dengan begitu hebat ini tidaklah dianggap sebagai tersalah strategi, kerana ianya berlaku dalam zaman meleset dan serba kekurangan, malahan situasi ini diharapkan dapat memberi kesan yang baik dan keinsafan yang penuh syahdu, dan menimbulkan kesedaran bahawa dalam keadaan apa sekalipun, Tuhan dan agama tetap relevan dengan kehidupan moden ini.