Menyingkap perkembangan semasa, kita dapati betapa masalah gejala sosial memberi kesan terhadap pengaruh gaya hidup golongan remaja dan belia. Keadaan ini pastinya menggusarkan kita dengan pelbagai konsert hiburan dan parti liar bagai sudah sebati dengan jiwa remaja dan belia kini yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.
Hal ini sekaligus memberi cabaran dan menguji kekuatan kita umat Islam terutama dalam membendung mereka yang suka berfoya-foya dan membangga-banggakan hal duniawi semata-mata (hedonism).
Walaupun di akhir-akhir ini banyak program berbentuk hiburan seperti “Konsert Life In Color” yang dijadualkan pada 19 April di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor dan parti “Topless Friday Beach Party” ini mendapat tentangan hebat dan telahpun dibatalkan namun, kita bimbang hal ini berlaku lagi pada masa akan datang sepertimana penganjuran program hiburan “Konsert Future Music Festival Asia (FMFA)” yang telah meragut beberapa nyawa anak muda Islam.
Sebagai umat Islam kita pastinya tidak mahukan perkara sebegini berulang dan menolak apa jua program hiburan yang memudaratkan dan melalaikan umat Islam.
Konset hiburan dan parti liar sebegini nyata tidak sesuai dengan budaya kita sebagai sebuah negara Islam apatah lagi membabitkan golongan remaja Islam yang mudah terpengaruh dengan budaya tidak sihat ini.
Persoalan besar pastinya timbul di sini mengapa perkara ini boleh berlaku? Adakah ini menggambarkan bahawa agama Islam itu sendiri gagal mendidik akidah umatnya? Atau adakah sikap masyarakat yang tidak prihatin dan mempedulikan apa yang berlaku sehingga terjadinya beberapa masalah gejala sosial yang tidak sihat sekarang? Atau apakah penguatkuasaan kurang berkesan?
Sebenarnya, Islam telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat Islam. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia itu sendiri.
Berhibur dalam Islam adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan semata-mata dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
Antaranya ialah berhibur dengan niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, sentiasa menjaga adab pergaulan, tiada unsur perjudian, tidak memenuhi tuntutan nafsu dan tidak berlaku pembaziran.
Oleh itu, apabila menyentuh bab hiburan ini perlu dilihat juga kepada aspek penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian sama ada menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, sama ada majlis disertai dengan makanan dan minuman haram, benda-benda terlarang, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk itu semua hendaklah diambilkira.
Justeru, kesedaran golongan remaja dan belia serta masyarakat menolak program-program yang tidak bermoral seperti ini amat dialu-alukan. Apabila program seperti ini tiada sambutan penganjur pasti tidak akan menganjurkannya lagi pada masa akan datang. Begitu juga orang muda perlu dibimbing dan bukannya mengikut saja kehendak jiwa orang muda sekiranya kehendak itu salah menurut agama dan moral.
Dalam masa yang sama, seluruh masyarakat juga memainkan peranan penting dalam menangani isu ini. Sebagai contoh, ibu bapa hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT.
Sebagai ibu bapa tidak kira sesibuk mana sekalipun, tugas dan tanggungjawab mendidik anak-anak tidak boleh diabaikan.
Ibu-bapa perlu mendidik anak-anak dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dengan menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran, senantiasa memerhati gerak geri anak-anak sama ada dari segi tingkah lakunya dan pergaulan hariannya.
Cuba kita bayangkan, apakah akibatnya kepada institusi keluarga dan masa depan negara jika masih ada lagi ibu bapa yang leka dan sanggup membiarkan anak mereka terus bergelumang dalam maksiat dan pergaulan bebas?
Oleh itu, marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita dengan menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya serta mematuhi segala perintah dan larangan yang telah ditetapkan, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita diberkati dan diredhai-Nya.
Bahkan peranan ibu bapa dalam menanamkan dan meneguhkan asas akidah dalam diri anak-anak muda dengan beriman kepada Allah SWT dan berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah pastinya dapat menghindarkan diri remaja terjebak dalam gejala yang tidak sihat ini.
Begitu juga bagi pihak berwajib penguatkuasaan perlulah berterusan untuk mencegah konset hiburan yang melalaikan ini berlarutan di dalam negara kita. Sebagai sebuah Negara Islam, pihak berwajib perlulah menjadikan agama Islam sebagai panduan utama dalam penganjuran aktiviti dan program kemasyarakatan.
Selain daripada memperkasakan akidah dan penguatkuasaan pihak berwajib, usaha untuk membendung gejala sosial ini juga perlu disertakan dengan kesedaran kepada masyarakat. Masyarakat yang prihatin, saling tegur-menegur mampu menjamin keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial.
Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara dan membendung budaya tidak sihat. Jika masyarakat bersikap prihatin, isu -isu gejala sosial mungkin tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan.
Sebaliknya, sifat tidak mempedulikan dan tidak mengambil tahu menyebabkan ikatan persaudaraan kita semakin longgar dan perkara-perkara tidak sihat mudah berlaku. Oleh itu, kita menyeru seluruh masyarakat untuk berperanan menyokong usaha dalam membanteras aktiviti gejala sosial dan hiburan yang tidak bermoral ini. Ingatlah bahawa masyarakat Islam yang prihatin merupakan masyarakat yang bertamadun dan bernegara.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha membendung perkara yang mungkar dan menyeru segala kebaikan untuk kemaslahatan sejagat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya”.