Pertembungan cerdik pandai dengan para profesional mahupun birokrat ibarat telur dan mentega dalam adunan kuih. Andai dibiarkan sahaja tidak akan bersatu sebaliknya jika diadun bersama menghasilkan kuih yang sedap lagi mengenyangkan.
Begitu juga perihal dalam prospek mengatur masa depan negara. Kemajuan negara tidak boleh dicapai dengan hanya usaha satu pihak akan tetapi memerlukan sokongan kuat segenap lapisan masyarakat lebih-lebih para ilmuan dan akademik kerana sifat mereka pada dasarnya adalah tempat tersimpannya khazanah ilmu yang menjadi pelengkap kepada golongan profesional yang berpengalaman luas mengendali dalam dunia sebenar sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat 7 yang bermaksud: Maka bertanyalah kamu kepada “Ahlu al-Dhikri” (orang yang berilmu) jika kamu tidak mengetahui.
Justeru dalam usaha menghadapi cabaran membangunkan negara lebih-lebih dalam prospek ekonomi, gabungan para akademik dan profesional menjadi begitu signifikan untuk merealisasikan hasrat negara mencapai negara maju menjelang 2020. Sekalipun amalan penguatkuasaan dasar dan polisi sebelum ini merupakan hasil daripada kajian mahupun rundingan pemerintah dengan kumpulan pakar, namun ada hasilnya membawa semula kepada pengwujudan makmal untuk menganalisis kesan yang ditanggung oleh masyarakat.
Keadaan ini telah menunjukkan kepada kita pemerhatian yang dilakukan sebelum ini masih belum mencukupi bagi mendapatkan gambaran impak yang paling hampir dengan harapan yang disandarkan. Justeru, kita perlu mengembangkan lagi hubungan antara para ilmuan dengan pemerintah menggunakan kaedah yang lebih efektif.
Perbezaan pandangan di antara golongan profesional atau birokrat dengan para ilmuan adalah kerana kelebihan yang dimiliki mereka berbeza. Bahkan ketidaksepakatan dua kumpulan ini adakalanya membawa kepada perbalahan lantaran sukarnya mencari titik pertemuan bagi menyelesaikan satu-satu masalah.
Di Malaysia kita mempunyai sekurang-kurangnya 20 IPTA di seluruh negara. Jumlah ini juga tidak termasuk IPTS dan institusi pemikir dan penyelidikan lain yang menunjukkan bahawa sebenarnya kita mempunyai bilangan ahli akademik yang ramai. Bayangkan sumbangan yang dapat diberikan oleh para ilmuan kepada negara jika manfaat mereka dapat digabungkan bersama-sama dalam satu tujuan.
Peluang kepada cerdik pandai untuk mengemukakan pandangan mereka terutama dalam aspek penambahbaikan dasar dan polisi negara perlu dipertingkatkan. Ini termasuklah menjadikan cadangan dasar atau polisi seperti dasar pemberian subsidi, perjanjian perdagangan antarabangsa, kos sara hidup, tarif dan seumpamanya sebagai projek penyelidikan mereka di peringkat universiti yang mana mereka mempunyai kebebasan untuk mengendali penyelidikan dan tidak terikat dengan jangkaan tertentu. Sekali gus, memberi keputusan yang lebih neutral.
Geran-geran penyelidikan sebegini boleh ditawarkan kepada mana-mana universiti yang berminat untuk mengendalikannya. Sekali gus mengikat pemerintah untuk membuat penilaian berdasarkan hasil kajian berbanding sebelum ini yang mana kajian yang telah selesai dimajukan kepada pemerintah sekiranya berkepentingan dan tidak mengikat pemerintah sama ada untuk menilainya dalam urusan kenegaraan.
Di antara kelebihan menjalankan penyelidikan berimpak tinggi yang berpusatkan universiti, kita akan dapati banyaknya sumber cerdik pandai dalam pelbagai bidang. Tidak hanya di peringkat pendidik yakni pensyarah, hakikatnya penyelidikan sebegini akan turut disertai para pelajar terutama di peringkat sarjana dan doktor falsafah. Tidak semata-mata membantu pensyarah dan pelajar meneroka realiti semasa berdasarkan ilmu yang dipelajari, kita sebenarnya mengangkat institusi pengajian tinggi ini sebagai medium yang penting dalam menghubung masyarakat dengan pemerintah.
Sekalipun dapatan penyelidikan tidak semestinya diterima oleh pemerintah, sekurang-kurangnya pemerintah dapat melihat sisi yang berbeza kepada matlamat yang disasarkan. Justeru itu, kredit penghargaan harus diberi kepada pasukan penyelidik sebagai perangsang kepada mereka untuk menghasilkan kajian yang lebih baik pada masa akan datang sekali gus memurnikan matlamat untuk menjadikan universiti di Malaysia sebagai pusat penyelidikan terpenting.
Penglibatan pelajar dalam penyelidikan sebegini boleh menghasilkan lebih ramai graduan yang bersedia kepada kehendak pasaran, kreatif menangani keadaan semasa dan dapat berfikir serta bertindak di luar zon keselesaan mereka. Mempunyai pemikiran yang lebih segar dan berbeza, kita mungkin tidak akan dapat menyangka apakah penyelesaian yang boleh diketengahkan oleh mereka seadainya pelajar ini diberi peluang, dorongan dan bimbingan dalam memberi pandangan mereka.
Pengemblengan usaha dalam konteks pembangunan negara di antara golongan cerdik pandai dengan profesional mahupun birokrat bukanlah satu perkara yang mudah tetapi tidak mustahil untuk direalisasikan. Pemisahan skop tumpuan dua kumpulan ini tidak perlu dilanjutkan seandainya kita berhasrat untuk menjadi sebuah negara dan masyarakat yang maju. Hal demikian kerana para ilmuan juga berperanan sebagai suara masyarakat awam selain menjadi rakan yang penting dalam menasihati pemerintah berkenaan aspek pengurusan.