Perkataan ‘teknologi’ yang muncul di Eropah pada abad ke-19 adalah gabungan tekhne dan logia bagi merujuk kepada bidang ilmu pembuatan (craftsmanship). Al-Khuwarizmi al-Katib, seorang ilmuwan yang hidup sekitar abad ke-11 dan penyusun eksiklopedia pertama di dalam sejarah Islam, Mafatih al-‘Ulum, menyebutkan teknologi sebagai hiyal dan sina‘ah.
Ibn Khaldun, sejarawan dan pemikir abad ke-15 yang mengkaji turun naik peradaban Andalusia dan Afrika Utara, menyimpulkan sina‘ah sebagai seni pembuatan benda adalah hasil kebolehan akliah manusia untuk memahami, mengurustadbir, dan menguasai sains. Maka, sina‘ah ini ialah seni yang saintifik.
Ibn Khaldun juga meletakkan sina‘ah sebagai wajah penting peradaban di mana kehilangannya merupakan isyarat kepada titik permulaan kemerosotan sesuatu tamadun. Dengan itu, kemajuan teknologi adalah bersamaan dengan kemajuan pembandaran, dan penanda aras yang berkesan kepada ‘kesihatan’ sesuatu tamadun. Di sini dapat dilihat bahawa perkembangan sains dan teknologi bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah peradaban Islam. Bahkan ia adalah sesuatu yang sepadu dengannya.
Menurut sarjana Barat, Anderson Hunter Dupree, setiap teknologi mengandungi maklumat tentang peradaban yang telah menghasilkannya, termasuklah maklumat tentang seni pembuatannya, bahan yang digunakan, dan juga sains dan teknologi berkaitan yang wujud di zamannya. Keutuhan sesuatu teknologi terbukti apabila ia mampu menongkah arus zaman dan boleh dipelajari oleh generasi seterusnya. Dengan itu, teknologi sebagai alat berupaya memindahkan nilai dan pandangan alam daripada perekacipta kepada pengguna. Sebagai contoh, pemindahan teknologi seperti kereta tidak hanya terhad kepada kereta itu semata-mata, namun juga gaya hidup dan senibina yang mengelilingi konsep kereta itulah yang menatijahkan corak kehidupan di dalam sesebuah bandar.
Lihatlah penggunaan secara meluas pinggan-pinggan kertas dan polystyrene. Sungguhpun ia murah, bersifat pakai buang, dihasilkan dengan kuantiti yang banyak, akan tetapi tiada seni padanya dan tidak boleh digunakan berulang kali. Akan tetapi, suatu pandangan alam asing padanya telah mewujudkan dalam masyarakat budaya pakai buang dan membazir, disamping memenuhi tempat-tempat pembuangan sampah kerana bahan kimia yang digunakan dalam penghasilannya tidak terurai dengan mudah.
Terdapat bahaya tersembunyi dalam menggunakan sains sebagai penentu nilai. Sebagai contoh, jika 50 tahun dahulu Barat masih lagi memandang homoseksualiti sebagai perbuatan tidak bermoral dan menyalahi norma hidup, kini gerakan lesbian, gay, bisexual, and transexual (LGBT) atau dikenal sebagai rainbow movement telah menjadi suatu gerakan militan yang memaksa kerajaan-kerajaan untuk menuruti tuntutan-tuntutan mereka. Sains dan teknologi disalahgunakan bagi menyokong perbuatan mereka ini termasuklah kajian perubatan yang mendakwa adanya lebihan hormon wanita seperti estrogen dalam darah lelaki homoseks dan lebihan hormon lelaki seperti testosteron dalam darah perempuan lesbian.
Begitu juga dengan salah anggap dalam pandangan saintifik bahawa otak pengamal homoseks adalah berlainan dengan otak manusia biasa dan dengan itu dikatakan mereka sememangnya dilahirkan sebagai homoseks dan tabiatnya tidak dapat diubah. Bagaimana mereka begitu pasti bahawa kelainan tersebut tidak berlaku disebabkan amal perbuatan mereka bahkan sebaliknya adalah keadaan asal mereka dilahirkan? Sebagai kiasan, menurut penemuan suatu kajian University College London pada tahun 2000, bahagian otak seorang pemandu teksi yang dipanggil hippocampus, yakni bahagian yang mengawal pandu arah, ingatan jangka masa pendek, dan ingatan jangka masa panjang, mampu membesar dan menyesuai bagi membolehkan pemandu teksi memandu dengan cekap dalam kawasan bandar, namun ini tidak bermaksud seseorang itu dilahirkan untuk memandu teksi. Maka, jelaslah bahawa faham kenisbian moral yang menggunakan sains sebagai penentu nilai mendedahkan seseorang itu kepada sesuatu yang tidak bersabit dan sentiasa berubah akhirnya mencabar pegangan, asas akhlak serta prinsip hidupnya. Hakikatnya, pandangan alam Islam dah kefahaman terhadapnyalah yang menyaring bahaya faham-faham yang menjadikan sains dan teknologi sebagai penentu nilai.
Dalam menangani cabaran sains dan teknologi masa kini, pandangan alam Islam adalah sesuatu yang perlu diterapkan di kalangan masyarakat saintifik, terutamanya bakal-bakal arkitek dan jurutera yang akan melaksanakan projek-projek penyelidikan dan pembangunan agar dapat menumpukan kepada kelestarian, natijah, dan hasil baik yang dikehendaki sesuai dengan tuntutan agama dan keperluan setempat. Persoalan falsafah yang menggariskan keperluan sains dan teknologi adalah sama penting dengan tujuan memperolehi kemajuan di dalamnya.
Contoh terbaik di dalam hal ini mengambilkira iklim negara yang bermusimkan hujan dan panas. Sudah tentu keperluannya bertentangan dengan senibina untuk kawasan beriklim sederhana atau sejuk yang memerlukan sistem yang memerangkap perangkap haba. Penggunaan kaca yang berlebihan dalam senibina mampu bertindak sebagai rumah hijau yang memerlukan pula lebih kuasa kepada pendingin hawa. Di sini terzahirnya kesulitan dimana bangunan-bangunan tidak cekap tenaga menyumbang kepada pembaziran yang banyak tenaga elektrik dan bahan api. Di sini terdapat keperluan memahami falsafah teknologi yang Islami.
Teknologi dalam Islam ialah sesuatu yang bertunjangkan kefahaman dalam pandangan alamnya dan bukan sekadar tempelan nama seperti kereta Islamik dan sebagainya. Dalam mengunjurkan perancangan masa hadapan, para pembuat dasar sains dan teknologi harus mengambil kira teknologi sebagai alat yang harus dipandu dan dikawal, bukannya alat yang mengawal kehidupan seseorang. Dengan itu, konsep hiyal di dalam pengertian teknologi dalam Islam adalah sebagai sesuatu yang memudahkan seseorang Muslim menumpukan ibadah yang tiada terpisah dari kehidupan seharian yang dijalaninya. Akhirnya, ia adalah sesuatu yang menautkan fiqh, ‘amal, dan sina‘ah.