“Mereka sedang menghina Nabi kita, Sayyidul Anam. Tidak sekali-kali kuhiraukan jika diriku yang dihina mereka namun sekiranya agama dan Rasulullah SAW yang dihina, aku pasti akan bangkit menghunus pedang meskipun dalam keadaan nazak. Aku akan menjadi abu dan kembali hidup daripada abuku serta berjuang meskipun leherku dipenggal, dagingku disiat-siat demi menatap wajah Baginda SAW pada hari akhirat.” Kemarahan ini diungkap Sultan Abdul Hamid II dalam salah satu babak drama bersiri sejarah Turki, Payitaht: Abdul Hamid. Ia ekoran pementasan teater di Perancis sebagaimana dilaporkan akhbar bertujuan mempersenda Nabi Muhammad SAW. Ancaman keras Sultan Abdul Hamid II kepada Perancis sekiranya pementasan teater yang diadaptasikan daripada karya Voltaire bertajuk “Muhammad dan Kefanatikan” pada akhir tahun 1800-an itu diteruskan, akhirnya mendorong pembatalannya. Drama bersiri Payitaht yang mula disiarkan pada tahun 2017 itu memaparkan peristiwa bersejarah sepanjang pemerintahan Abdul Hamid II, Sultan Uthmaniyyah ke-34. Ia termasuklah kejayaan, pengkhianatan, percubaan membunuh sultan, pemberontakan, peperangan selain muslihat serta provokasi negara kolonial seperti Rusia, Inggeris dan Perancis.
Penghinaan terhadap Nabi SAW serta risalah dibawa Baginda telah berlaku zaman-berzaman hatta semasa hayat Baginda. Sebagaimana dinyatakan dalam maksud Hadis daripada Abu Hurairah r.a., “Islam datang dalam keadaan asing dan juga akan kembali asing sebagaimana permulaannya, beruntunglah orang yang asing.” (Ibn Majah) Pada permulaan risalah Islam dibawa Nabi SAW, ia menimbulkan kehairanan masyarakat jahiliah kerana bertentangan dengan amalan nenek-moyang terdahulu. Kejanggalan itu membuatkan Islam ditolak dan dipencilkan. Nabi SAW yang menyeru mereka untuk menerima Islam malah dilemparkan pelbagai tohmahan seperti tukang sihir, gila dan penyair. Kini, menjelang akhir zaman, Islam kekal menghadapi cabaran sama. Al-Quran memberikan peringatan kepada golongan beriman bahawa pertentangan dengan golongan tidak beriman akan berlangsung selama-lamanya selagi jejak langkah mereka tidak dituruti. Allah SWT berfirman, “Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).” (Surah al-Baqarah (2): 120).
Berasaskan peringatan al-Quran itu kita dapat menyaksikan provokasi demi provokasi ditujukan dunia barat kepada umat Islam sepanjang sejarah. Matlamatnya cuma satu, iaitu mahu memaksakan ideologi mereka dan mengharapkan umat Islam membenci serta meninggalkan agama sebagaimana dilakukan sebahagian mereka. Hal ini turut tergambar melalui tindakan Presiden Perancis yang mempertahankan gaya hidup sekular dan kebebasan bersuara secara mutlak. Ia lebih jelas lagi dapat dilihat melalui tohmahan penuh kebenciannya terhadap Islam yang dikatakan sebagai agama dilanda krisis di seluruh dunia. Apakah sebenarnya tindak balas yang diharapkan oleh pemimpin Perancis daripada hampir dua bilion umat Islam? Adakah dia menyangka bahawa jumlah sebesar itu yang mewakili pelbagai tempat, persekitaran dan situasi boleh mempamerkan tindak balas yang serupa? Adakah pula diharapkannya penghinaan terhadap Nabi SAW atas nama kebebasan bersuara disambut tenang dan biasa-biasa saja?
Mustahil sekali kecintaan besar terhadap Nabi SAW dan agama tidak diketahui. Umat Islam di serata pelosok dunia masih menggenggam kemas tekad segalanya sanggup dikorbankan demi Baginda SAW. Tekad inilah yang sering kali dilafazkan sahabat demi mempertahankan Baginda dalam pelbagai situasi termasuk Salamah ibn al-Aqwa` dalam Perang Khaibar katanya, “Ibu bapaku sekalipun sanggup kukorbankan demi mempertahankanmu wahai Rasulullah SAW.” Jika perkara ini disedari maka jelas tindakan provokasi memang disengajakan. Sekiranya pula tindak balas ditunjukkan umat Islam maka mereka juga yang akan dipersalahkan. Apatah pula jika ia dalam bentuk keganasan. Dalam hubungan ini, majoriti umat Islam tidak menyetujui tindak balas ganas yang dilakukan segelintir mereka. Syeikh Dr. Tahir-ul-Qadri dalam bukunya, “Fatwa on Terrorism and Suicide Bombings” menegaskan apa juga bentuk keganasan yang dilakukan sebagai tindak balas terhadap kekejaman dan pencerobohan asing terhadap negara Islam tiada asasnya dalam agama. Selain itu, matlamat dan cara dalam Islam sentiasa sahaja seiring serta benar.
Agenda memburukkan wajah Islam dan menimbulkan kebencian terhadap Islam atau Islamofobia ternyata dirancang rapi. Masyarakat dunia juga kelihatannya mudah mempercayainya. Bagi yang buta sejarah, mereka diperdaya perihal identiti pengganas hakiki. Dalam peperangan dunia seperti Perang Dunia I dan II yang mengorbankan 70 juta nyawa, umat Islam sama sekali tidak terlibat. Sebaliknya sejak 200 tahun silam, Eropah Barat termasuk Perancis menjajah negara Islam dan membunuh jutaan nyawa dengan kejam. Begitu juga Algeria yang diduduki Perancis selama 161 tahun dan menyebabkan sekurang-kurangnya 1.5 juta rakyatnya terkorban. Menurut Jurgen Todenhofer, wartawan dan bekas hakim berbangsa Jerman, Perancis jelas cuba menghapuskan Algeria dari muka bumi. Di Iraq, sekitar sejuta nyawa rakyatnya terkorban dalam pelanggaran yang berasaskan alasan palsu semata-mata.
Negara Islam yang dilanda peperangan juga menyebabkan jutaan penduduknya seperti Iraq, Afghanistan, Syria dan Yaman menjadi pelarian termasuk ke negara Eropah. Ketibaan mereka diterima penduduk tempatan dengan pelbagai tanggapan dan sudah pasti tidak terlepas daripada belenggu Islamofobia serta xenophobia. Episod duka dan kebencian terancang terhadap dunia Islam diharapkan lenyap jua akhirnya. Hal ini khususnya melalui peranan digerakkan negara Islam seperti Turki. Peranan besar Turki dalam membantu negara Islam seperti menerima lebih tiga juta pelarian Syria selain memainkan peranan sebagai “penjaga” golongan minoriti Muslim terserlah. Barangkali mewarisi ketegasan khalifah Uthmaniyyah, pemimpin Turki bertindak berani dalam peristiwa bersejarah, iaitu penukaran Hagia Sophia kepada masjid pada Julai lalu meskipun menerima penentangan besar daripada pelbagai pihak.
Kebijaksanaan pemimpin Turki juga ketara dalam memanfaatkan drama seperti Resurrection Ertugrul dan Payitaht: Abdul Hamid. Ia dapat mengembalikan kecintaan dan kebanggaan masyarakat Islam terhadap khilafah Islamiyyah, khususnya di negara berkenaan yang masih kuat diselubungi pengaruh sekularisme. Kedudukan Turki sebagai negara Kumpulan 20 diharap bertambah teguh usai tamatnya Perjanjian Lausanne pada 2023. Antara yang terpenting ialah peluang Turki untuk memulakan kegiatan cari gali minyak dan gas serta mengurangkan pergantungan terhadap minyak import. Demikian juga manfaat yang diperoleh daripada Selat Bosforus yang tidak lagi dianggap sebagai laluan maritim antarabangsa menjelang 2023. Dianggarkan 48,000 buah kapal melalui selat ini saban tahun melibatkan negara seperti Rusia, Bulgaria, Ukraine, Moldova dan Kazakhstan yang menggunakannya sebagai laluan perdagangan. Turki merancang mengenakan cukai kepada setiap kapal yang merentas Selat Bosforus dan ia akan dapat merangsang ekonomi. Semuanya ini dapat mengukuhkan peranan asal Turki sebagai “saudara tua” dalam lipatan sejarah gemilangnya. Hal ini khususnya untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan dunia Islam bagi memerangi sebarang bentuk agenda jahat terancang. Laluannya tidak mungkin amat mudah namun tidak pula begitu mustahil!