Setelah beberapa lama ditayangkan, barulah iklan jenama minuman antarabangsa yang mengetengahkan tiga diva terkenal dengan berpakaian dan aksi yang menjolok mata, dihentikan.
Iklan tersebut dan iklan-iklan lain seumpamanya adalah sebahagian daripada kesan media global terhadap masyarakat. Tanggapan syarikat yang mengiklankan barangan tersebut bahawa iklan yang menonjolkan budaya tertentu sesuai untuk ditonton oleh seluruh dunia.
Bagi pengamal media, mereka mengutamakan keuntungan daripada iklan tersebut, bukannya kesan iklan itu ke atas para penonton. Itulah yang dimaksudkan oleh Abdullah Schliefer dalam tulisannya bertajuk The Impact of Global Media Upon Society dalam buku The Impact of Globalisation on Social and Cultural Life: An Islamic Response. Beliau menyebut bahawa kini kawalan dan nilai yang dibawa oleh media terletak di tangan pengamal media yang terdiri daripada golongan usahawan yang matlamat utamanya adalah untuk mendapat keuntungan.
Dalam keadaan ini, sudah pasti pengamal media akan memilih program-program yang diminati ramai (tidak semestinya bagus) yang boleh mengundang banyak iklan. Akibatnya, nilai-nilai dan budaya yang ada dalam program-program televisyen – dan dalam iklan yang ditayangkan – dibawa masuk ke dalam masyarakat dan mempengaruhi minda dan sikap ahli masyarakat kita.
Walaupun ada yang berpendapat bahawa media itu lemah dan tidak berdaya untuk mempengaruhi khalayaknya, namun perspektif kedua tentang media adalah sebaliknya. Perspektif kedua ini percaya bahawa kandungan media setelah beberapa lama dipertontonkan boleh mempengaruhi khalayaknya dan menanamkan nilai-nilai yang diinginkan di kalangan penonton. Dalam hal ini, jika nilai-nilai negatif yang ditunjukkan, maka nilai-nilai yang sama juga akan tertanam dalam diri penonton.
Itulah sebabnya kadangkala kita terbaca berita mengenai kanak-kanak yang terjatuh dari flat setelah mengikuti aksi super hero yang ditontonnya di televisyen. Malah, kajian Prof. Dr. Kasmini Kassim mendapati program televisyen mempunyai pengaruh besar terhadap remaja yang bermasalah. Remaja ini didapati mudah terpengaruh dengan aksi-aksi ganas yang mereka tontoni.
Bila keputusan tentang apa yang ingin disiarkan bergantung kepada perkiraan untung dan rugi, maka kita tidak boleh mengharapkan pengamal media memikirkan tentang apa yang terbaik untuk masyarakatnya. Oleh itu, apa tindak balas kita terhadap apa yang ditonjolkan di media ini, baik melalui program-programnya mahupun iklan-iklannya?
Dalam tulisan yang sama, ketika memperkatakan tentang tindak balas umat Islam terhadap media global ini, Schleifer menyebut bahawa umat Islam perlu melahirkan teknik-teknik tertentu untuk memelihara dan mewariskan sebanyak mungkin ajaran-ajaran dan nilai-nilai tamadun Islam yang amat perlu disanjung tinggi.
Di sinilah letaknya peranan kerajaan untuk memelihara nilai-nilai murni masyarakat agar ia terus menjadi pegangan dari satu generasi ke generasi yang lain.
Sebenarnya, kerajaan telah pun memainkan peranan ini dengan baik melalui garis panduan tertentu untuk dipatuhi oleh pengamal media negara ini. Malangnya, wujud sedikit sebanyak kelemahan dari aspek pemantauan dan penguatkuasaan peraturan sehingga iklan berunsur negatif disiarkan.
Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan lebih banyak kandungan tempatan disiarkan oleh saluran-saluran yang ada. Kandungan tempatan seharusnya bukan sahaja dibuat oleh orang tempatan, tetapi yang lebih penting lagi, nilai dan budaya yang ditonjolkan hendaklah nilai dan budaya setempat. Oleh itu, tidaklah kita menonton drama tempatan yang sarat dengan nilai-nilai serta budaya yang begitu asing dengan masyarakat kita.