Pelbagai penyakit yang timbul dasawarsa ini kadangkala terlalu membimbangkan setiap masyarakat. Namun begitu, keadaan sesuatu penyakit bergantung kepada keupayaan badan seseorang melawannya. Jika kita lihat apa yang berlaku di sekeliling, penyakit bawaan haiwan seperti nyamuk aedes juga semakin menular dalam masyarakat khususnya di negara kita.
Biar pun ia merupakan angka yang kecil untuk dibilang berbanding dengan penyakit serius yang lain, namun jika dilihat laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, cukup membimbangkan. Kadang- kadang terasa di hati, di mana silapnya jika penyakit bawaan nyamuk aedes seperti demam chikungunya dan denggi ini masih beraja dalam persekitaran kita? Rasa- rasanya, langkah pencegahan sudah diambil, setiap petang di sesetengah tempat terdapat pihak kementerian kesihatan yang datang menjalankan operasi “fogging” untuk menghalau nyamuk. Tetapi, kenapa masih lagi terpampang berita di dada akhbar mahupun di radio dan televisyen tentang peningkatan angka demam denggi dan chikungunya yang kadangkala ada melibatkan kematian. Sungguh menggerunkan, hanya dengan penyakit bawaan nyamuk, tetapi boleh mengundang maut jika tidak berjaga- jaga.
Sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa sejumlah 1,633 kes demam denggi dengan 4 kematian telah dilaporkan pada minggu pertama pada tahun 2009. Dengan angka tersebut, berlaku peningkatan sebanyak 41% atau sebanyak 476 kes jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya yang berjumlah 1,157 kes. Jika diimbas, dalam hanya tempoh seminggu peningkatan kes yang begitu ketara yang melibatkan kematian menyebabkan kebimbangan kian terasa, siapakah mangsa demam denggi seterusnya? Tidak mustahil, angka tersebut terus meningkat jika masih tiada langkah pencegahan dan pengawalan yang bersepadu dari semua pihak. Melihat kepada perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia yang melaporkan demam chikungunya sepanjang tahun 2008 adalah 4,271 kes dengan tiada kematian. Walaupun demam chikungunya tidak separah demam denggi dan tidak melibatkan kematian, namun kesannya masih sama. Masih ramai lagi yang boleh dijangkiti jika tiada langkah pencegahan dan pengawalan yang berterusan.
Melihat keadaan ini, sudah pasti apa yang perlu difikirkan bersama ialah langkah pencegahan. Adakah langkah yang telah diambil sebelum ini tidak berkesan? Jika difikirkan, kita tidak boleh menyekat nyamuk yang bertebaran dan berterbangan dari kawasan yang kita diami. Tetapi kita boleh memusnahkan tempat pembiakannya sekaligus dapat menghalang nyamuk tersebut terus membiak dengan banyak. Apa yang dapat dilihat dari peningkatan kes yang berterusan ialah kerana langkah pencegahan yang diambil adalah tidak bersepadu. Banyak langkah pencegahan telah pun diambil terutama dari pihak yang berkuasa, seperti ‘fogging’ di kawasan pembiakan nyamuk, memeriksa tempat pembiakan nyamuk dan menguatkuasakan undang- undang. Namun, jika ia hanya diambil oleh pihak tertentu sahaja tanpa wujud kesedaran masyarakat, ia hanyalah sia- sia sahaja.
Jika kita kembali kepada ajaran agama Islam, kebersihan amat dititikberatkan. Dan ia merupakan salah satu langkah pencegahan. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah bersabda; “Bersihkanlah halaman rumah kalian, jangan samakan diri kalian dengan bangsa Yahudi”. Hadis ini cukup menggambarkan kepada kita peri pentingnya menjaga kebersihan persekitaran selain daripada menjaga kesihatan jasmani dan rohani. Jika kita memahami intipati daripada sabda Rasulullah SAW, pasti kita mengetahui perkara yang sepatutnya diamalkan untuk hidup sihat dan kuat iaitu mewujudkan tempat tinggal yang bersih. Rumah kediaman perlulah bebas daripada tempat takungan air, tempat pembuangan sampah sarap, bau busuk dan udara yang kotor. Tempat- tempat kotor tersebut merupakan sarang pembiakan nyamuk yang akhirnya boleh dijangkiti penyakit daripada virus yang dibawa oleh nyamuk. Apa yang telah disarankan oleh Rasulullah SAW sungguh bermanfaat untuk diamalkan dan amat sesuai dalam keadaan kita sekarang. Namun begitu, hanya segelintir sahaja daripada masyarakat yang mengamalkannya dan terdapat juga yang tidak mengendahkannya. Buktinya cukup jelas kerana masih ramai lagi yang dijangkiti oleh penyakit bawaan nyamuk tersebut. Ini melambangkan bahawa tempat kediaman adalah kotor dan menjadi sarang pembiakan nyamuk. Walaupun langkah pencegahan telah pun diambil namun kerjasama untuk mengamalkan langkah pencegahan tersebut tidak diamalkan oleh masyarakat menyebabkan nyamuk aedes masih lagi bermaharajalela di mana- mana.
Walaupun demam denggi dan demam chikungunya bukanlah di tangan kita untuk menghapuskannya, namun penyelesaiannya cukup mudah untuk menghindarinya. Kempen kerajaan yang menyarankan untuk memperuntukkan masa hanya 10 minit seminggu bagi memeriksa kawasan pembiakan nyamuk, harus diambil berat. Ini kerana, walaupun langkah tersebut dilihat mudah namun kesannya mungkin mampu mengurangkan dan seterusnya menghapuskan sarang pembiakan nyamuk aedes. Secara teorinya, kaedah pengasapan atau ‘fogging’ hanyalah berkesan untuk membunuh nyamuk aedes dewasa tetapi tidak mampu membunuh jentik- jentik dan larva nyamuk aedes. Oleh itu, kaedah memusnahkan sarang pembiakan nyamuk aedes adalah lebih berkesan dan usaha memerangi nyamuk aedes ini perlu digemblengkan bersama oleh semua masyarakat agar ia dapat dikurangkan dan terus dihapuskan.
Sehubungan dengan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda; “Yang sakit jangan menularkan sakitnya kepada yang sihat”. Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ini telah terakam untuk menunjukkan kepada kita bahawa seharusnya penyakit yang dialami tidak disebarkan kepada orang lain. Tetapi dalam ruang perbincangan sekarang, denggi dan chikungunya merupakan penyakit yang disebarkan secara tidak langsung melalui nyamuk aedes. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita untuk menghapuskan nyamuk tersebut agar ia tidak terus menguasai persekitaran hidup untuk menularkan penyakit kepada setiap orang. Apa yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW cukup lengkap, hanya tinggal untuk diterjemahkan dan diamalkan dalam kehidupan kita.
Arah aliran peningkatan demam denggi dan chikungunya seharusnya diberi perhatian oleh semua pihak. Walaupun banyak kempen kesedaran dilakukan, namun jika tiada tindakan susulan daripada masyarakat, ia seolah- olah mencurahkan air ke daun keladi. Oleh itu, kerjasama yang sepadu antara pelbagai pihak perlu diperkukuhkan dalam memerangi nyamuk aedes bagi memastikan amalan pencegahan dan pengawalan terus dapat dilaksanakan. Jika setiap daripada kita mengamalkan apa yang telah disarankan dalam agama Islam iaitu menjaga kebersihan persekitaran, sudah pasti arah aliran kes demam denggi dan demam chikungunya dapat dilihat berlaku penurunan. Seharusnya, setiap isi rumah menyedari bahawa setiap inci dalam rumah kita termasuk persekitaran halaman luar perlu diutamakan kebersihan untuk menghindari penyakit dengan segala usaha yang telah dilaksanakan agar ia tidak menjadi parah dalam masyarakat kita.