Kebanyakan ibubapa pasti dapat membayangkan bagaimana keadaannya apabila seorang anak kecil terhantuk kepalanya kepada bucu meja, ataupun tersengguk dagunya kepada meja kopi, dan apa yang kelihatan seolah-olahnya berlaku dalam suatu jangkamasa panjang-antara muka yang kemerahan kerana terkejut, nafas tertahan, manakala si ibu menantikan terhamburnya deraian air mata si anak, dan jeritan si anak. Hakikatnya saat itu hanyalah seketika tetapi terasa seolah-olah begitu lama; walaupun deraian air mata dan jeritan itu biasanya tidak dapat dielakkan, jauh di sudut hati si ibu tersimpan harapan agar si anak kembali tenang dan menyedari bahawa kecederaan itu tidak mengancam nyawa, menarik nafas panjang, dan akhirnya dapat dialih perhatiannya dengan benda-benda berkilau, lantas sekali lagi kembali riang.
Tindakbalas anak itu bukan tindakan spontan yang tidak disengajakan walaupun tindakan spontan memang benar berlaku, tidak juga ia dikawal oleh akal mantiqi. Sebenarnya ia adalah suatu gerakdaya perasaan yang mengambilkira akibat dari tangisan itu; keperluan untuk memaklumkan setiap orang yang berhampiran berkenaan kecederaan itu, keperluan untuk menunjukkan separah mana tercedera maruah si anak, dan keperluan kepada sesuatu yang lebih berupaya mengalih pandangan.
Pada masa ini, tatkala kita dapati diri kita tergantung di antara kejatuhan pasaran kewangan dunia dan pemahkotaan harapan baru, keadaannya samalah dengan keadaan si ibu yang menahan nafasnya menunggu tangisan bermula. Ramai di kalangan kita yang telahpun menangis, walaupun kebanyakannya golongan perkerja, yakni golongan pertengahan, bukannya kaum bangsawan yang menderita dibanjiri air mata. Pada satu pihak, dahi kita telah dihantuk kuat kepada hakikat yang kejam, keras dan tajam. Tetapi separah manakah kecederaan yang kita alami?
Ekonomi adalah himpunan gerakdaya perasaan. Kejutan yang diterima oleh si anak yang tersebut di atas tatkala dahinya yang masih lembut terhantuk, saat itu ialah percubaan pertamanya menceburi kegiatan ekonomi, penuh dengan keperluan, perasaan, ketakutan dan perkiraan yang dirangkum kemas dalam bentuk air muka yang kemerahan. Para pengguna kini lebih berwaspada; menurut akhbar, sesetengahnya telah berhenti terus dari membeli jenama-jenama tertentu, mungkin sebabnya sama sahaja dengan sebab kenapa si anak itu menangis. Ini menggambarkan bahawa si pengguna mula merasai bahawa suatu kecelakaan telah menimpanya dan dia mahu orang-orang di sekelilingnya menyedari dan mengambil perhatian. Pakej rangsangan, sama ada dalam bentuk subsidi atau sebagainya, boleh dibandingkan dengan benda-benda berkilau yang memujuk kita untuk menyangka bahawa kecelakaan yang dialami tidaklah seteruk yang disangka; justeru, apa yang patut dilakukan ialah menarik nafas panjang dan belanjakan saja wang di tangan kita itu.
Sekiranya kita meminta nasihat daripada orang-orang yang bijakpandai hari ini, pasti difahami bahawa perasaan, atau dalam kata lain, kesan yang terhasil dari keyakinan dan ketakutan, biasanya mengalahkan keputusan-keputusan ekonomi yang waras. Apa yang nyata, psikologi hantukan, tunggu, dan tangisan bukan sahaja mengalahkan ekonomi politik, bahkan itulah sebenarnya ekonomi politik. Sepatutnya kita berbelanja mengikut keperluan semasa, tetapi sebaliknya yang berlaku; kita berbelanja menurut runtunan nafsu yang liar. Perbezaan di antara si tupai yang cermat lagi berhemah, yang begitu teliti menyimpan bekalan makanan untuk keperluan di hari sukar, dengan si monyet yang boros lagi singkat fikiran, yang bergayutan dari pokok ke pokok memakan apa sahaja yang terlintas, adalah apa yang diistilahkan oleh pemikir semasa sebagai ‘semangat kehaiwanan’. Demi kepentingan umum kononnya adalah lebih baik sekiranya kita mencontohi perangai si monyet yang lalai daripada si tupai yang bijaksana itu. Kita bolehlah simpulkan bahawa berpandukan kisah di atas, suatu negara-bangsa monyet seerti dengan negara-bangsa yang mempunyai harapan.
Bank-bank menyogokkan ratusan juta ringgit wang dalam bentuk pinjaman perumahan kepada orang-orang yang mungkin sepatutnya lebih baik menyewa, dan jumlah wang yang tidak kurang banyaknya untuk tujuan sewa-beli kepada orang-orang yang sepatutnya lebih baik menggunakan rangkaian pengangkutan awam. Pada satu sudut yang lain adalah pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan bank yang, bagi mereka, mengamalkan dasar-dasar yang tidak berhemah. Mereka mendakwa, dengan berbuat demikian kita hanya menggalakkan masyarakat yang tidak pernah puas, pemalas, bukannya golongan pekerja yang cergas dan berjimat cermat. Walaubagaimanapun pihak bank mungkin boleh berhujah bahawa mereka sebenarnya menangani suatu kefahaman tentang perasaan yang menggerakkan ekonomi dan menentukan tujuan-tujuan ekonomi. Sistem perbankan tentulah akan mendakwa bahawa warganegara yang tidak pernah puas serta pemalas itulah yang melakukan kebanyakan kerja dalam masyarakat. Merekalah yang membayar, hidup, dan mati ; kenapa tidak biarkan mereka bayar, hidup dan mati dalam rumah yang selesa ataupun dalam kenderaan yang selamat?
Apa yang kita sering terlepas pandang, walaubagaimanapun, ialah apa yang diistilahkan sebagai warganegara yang tidak pernah puas serta malas itu sememangnya benar-benar wujud. Sistem perbankan sememangnya telah mengeluarkan pinjaman yang tidak berhemah. Pada satu pihak lagi, dakwaan pihak bank juga mungkin benar. Sifat berhemah sememangnyalah sifat terpuji, tetapi ia bukan prasyarat kemakmuran ekonomi, ataupun penawar pada saat-saat gawat. Apa yang menjadikan sesuatu masyarakat itu berkembang maju ialah keyakinan terhadap masa depan. Mungkin ekonomi ingin menggalakkan perbelanjaan bukan jimat-cermat dengan harapan yang berasaskan kepada matlamat bersama, bukannya takut kehilangan modal.
Sesebuah ekonomi itu bukanlah suatu rangka yang waras; sebaliknya ramuan berbagai perasaan. Ia banyak bergantung kepada perasaan seseorang terhadap tetangganya, berkisar harapan seseorang terhadap tahun-tahun mendatang. Harapan adalah perkara yang amat samar-samar yang terkandung dalam nasihat-nasihat yang diberikan oleh pakar-pakar ekonomi. Apa yang mereka cuba sampaikan hanyalah apa yang si ibu harapkan kepada anaknya tatkala muka bertukar merah dan nafas tertahan, menantikan hamburan air mata. Tarik nafas panjang, alihkan perhatian kepada benda-benda berkilauan dan jangan menangis.