Pada hari Isnin, 12 Sept. 2005 yang lepas, sebahagian kita telah dikejutkan dengan arahan daripada pemerintah tertinggi Kerajaan Arab Saudi, Raja Abdullah kepada rakyatnya, yang melarang mereka mencium tangannya apabila bersalaman dengan baginda. Larangan itu memberi satu tanggapan bahawa amalan yang telah dan sedang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini adalah suatu kesalahan di sisi agama. Penulisan ini bertujuan untuk menyingkap, apakah amalan ini suatu tuntutan agama atau budaya tempatan yang diwarisi turun temurun?
Mencium tangan mempunyai beberapa kategori yang tersendiri, iaitu merujuk kepada tangan siapa yang dicium itu; daripada orang muda kepada orang tua, daripada seorang pelajar kepada gurunya, daripada seorang isteri kepada suaminya dan daripada seorang biasa kepada orang yang berpangkat atau ketuanya.
Kategori pertama, biasanya berlaku di antara seorang anak dengan ibubapa, atau di antara cucu dengan nenek atau datok, atau di antara anak saudara dengan ibu dan bapa saudara.
Kategori kedua, kerap berlaku di antara seorang pelajar dengan guru atau penyelia atau professornya.
Kategori ketiga, ia sering berlaku di antara sepasang suami isteri.
Sementara kategori keempat, berlaku di antara orang-orang bawahan dengan ketua atau pemerintah.
Amalan mencium tangan ini merupakan lambang penghormatan, kepatuhan dan kadang-kadang pengabdian seseorang kepada orang yang disegani atau dihormati atau ditakuti. Kadang-kadang ada juga diselitkan dengan niat yang tertentu.
Jika kita menganggap ia sebagai satu budaya masyarakat tempatan, adakah melakukannya itu bercanggah dengan kehendak agama? Jika ia adalah satu di antara kehendak agama, adakah ia pada peringkat wajib, sunat atau pada peringkat harus?
Dalam amalan harian, kita cenderung mengatakan bahawa ia adalah amalan yang diharuskan, kalaupun tidak digalakkan, kerana sering kita dapati tok-tok guru tidak melarang muridnya mencium tangan mereka, malah seolah-olah semacam tok guru itu pula yang menunggu agar tangannya disentuh dengan ciuman daripada para muridnya. Dalam keadaan ini kita merasa lega kerana tidak munasabah seorang tok guru boleh membenarkan amalan itu berlaku di handapannya jika dia mengetahui bahawa ia sememangnya dilarang syarak. Begitu juga dengan perbuatan anak mencium tangan ibu atau bapanya, seorang isteri mencium tangan suaminya.
Di dalam kitab Ihya’ `Ulum al-Din (6:1007), tulisan Imam al-Ghazali, saya dapati beliau telah mengharuskan amalan mencium. Beliau berhujah dengan beberapa buah Hadis, di antaranya: Hadis riwayat Ibn `Umar, katanya: Kami sering mencium tangan Nabi s.a.w. Begitu juga Ka`b bin Malik berkata: Saya datang menemui Nabi s.a.w, lalu saya mencium tangannya. Diriwayatkan bahawa seorang Arab badawi datang menemui Nabi s.a.w. sambil berkata: Izinkanlah saya mencium kepala dan tangan Tuan. Lalu baginda membenarkannya. Itulah juga yang dilakukan oleh Abu `Ubaidah kepada `Umar bin al-Khattab apabila dia bersalaman dengan khalifah itu dan mencium tangannya (lihat juga Ibn Majah, 2:1221; Abu Dawud, 14:132).
Mengulas tentang isu ini, Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mencium tangan baginda Rasulullah s.a.w., tujuannya ialah memperolehi keberkatan baginda serta memberi penghormatan kepada kepimpinannya. Mungkin inilah yang dicontohi oleh masyarakat kita hari ini apabila mereka membenarkan amalan mencium tangan seorang alim, tok guru atau pembesar negara dan seumpamanya. Sekurang-kurangnya amalan ini menampakkan rasa hormat kita kepada orang yang disegani selain membayangkan sifat akur kepada kepimpinan seseorang ketua.
Lanjutan daripada sirah Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya, seorang suami yang menjadi pemimpin di dalam rumahtangganya, adalah juga layak untuk menerima ciuman tangan daripada isterinya sebagai tanda akur kepada kepimpinannya dan sebagai tanda hormat dan sayangnya kepada suami.
Seorang anak adalah digalakkan menciumi tangan kedua-dua ibu bapanya pada setiap hari, pagi dan petang dan pada hari-hari tertentu sebagai tanda menghormati dan memuliakan kedua-duanya.
Sebahagian penulis Islam meletakkan keberatan seseorang anak mencium tangan kedua ibu bapanya pada waktu pagi dan petang atau di dalam apa-apa suasana yang wajar atau keengganannya bangun untuk menghormati mereka ketika mereka berlalu di hadapannya, sebagai sudah melakukan satu penderhakaan terhadap kedua-duanya (Dr. Abdullah Nasih `Ulwan, 1:296, 298).
Saya amat tertarik dengan kenyataan Sahibus Samahah Mufti Johor menggariskan beberapa etika dalam kita menghayati amalan ini, seperti: …semasa menghormati (mencium tangan), tidak boleh dilakukan sehingga had ruku`, penghormatan yang diberikan tidak menampakkan orang yang dicium tangan itu menjadi sombong atau bongkak dan orang yang dicium tangan itu adalah mahramnya. Namun, beliau menambah, bagi tujuan kewarakan, jika seseorang itu mahu mengelak untuk dicium tangannya ketika bersalaman, maka itu adalah lebih baik (Utusan Malaysia, 13 Sept. 2005).
Di dalam isu ini, saya ingin menambah bahawa niat orang yang melakukan ciuman itu perlu diperbetulkan, jangan ada niat dihatinya untuk mendewa-dewakan orang yang dihormati itu kerana di dalam Islam tidak ada pemujaan untuk manusia, pemujaan sebenar hanya untuk Allah semata-mata, firmaNya: Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya… (al-Baiyyinah, 98:5).