Adalah penting pengguna mengetahui hak-haknya sebagai pengguna. Dengan mengetahui undang-undang yang melindungi haknya , sedikit sebanyak pengguna tidak akan menjadi mangsa peniaga yang mengaut keuntungan. Siapakah yang dikategorikan sebagai pengguna? Pengguna adalah seseorang yang memasuki kontrak dengan orang lain di mana dia sendiri bukan di dalam perniagaan, dan pihak yang lain membuat kontrak di dalam perniagaan. Sementara barang-barang yang berpindah ataupun dibeli di bawah kontrak tersebut adalah dibekalkan untuk penggunaan sendiri
Di Malaysia pengguna adalah dilindungi hak-hak mereka oleh pelbagai undang-undang, di antaranya adalah undang-undang kontrak. Kebanyakan kontrak yang dibuat pengguna biasanya adalah kontrak yang mudah-mudah, tidak bertulis, atau dibuat dan dipersetujui di depan peguam. Hanya kontrak yang khas seperti kontrak bagi penjualan tanah, atau perjanjian sewa beli dibuat dalam bentuk tulisan.
Apakah itu sebenarnya kontrak? Menurut Seksyen 2(b) Akta Kontrak, 1950 (Pindaaan 1974), “Sesuatu perjanjian yang dikuatkuasakan oleh undang-undang adalah kontrak“. Oleh itu suatu kontrak akan wujud apabila kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dan undang-undang mengiktiraf hak-hak dan tanggungjawab yang timbul daripada persetujuan tersebut.
Terdapat beberapa elemen asas dalam mana-mana kontrak. Elemen-elemen itu adalah:
- Perjanjian (Agreement). Pihak-pihak yang memasuki kontrak mestilah telah mencapai, atau dianggap sebagai telah mencapai persetujuan.
- Niat (Intention to create legal relation). Pihak-pihak yang berkenaan mestilah telah berniat, atau dianggap sebagai telah mempunyai niat untuk mewujudkan hubungan undang-undang. Akta Kontrak 1950 tidak menyatakan apa-apa mengenai ini, tetapi oleh kerana Akta ini tidak merupakan kod yang lengkap maka prinsip common law inggeris adalah terpakai. Menurut undang-undang Inggeris, sesuatu perjanjian itu bukanlah merupakan kontrak yang sebenar kecuali ia adalah niat bersama pihak-pihak supaya boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang. Sesuatu niat itu kebiasaannya tersirat ataupun dianggap daripada keadaan perjanjian itu sendiri. Ia bagaimanapun merupakan perkara interpretasi bagi mahkamah untuk menentukan samada sesuatu perjanjian berniat untuk mempunyai kesan undang-undang atau tidak.
- Balasan (Consideration). Ia ditakrifkan di bawah Seksyen 2(d) Akta Kontrak, 1950 iaitu:- “Apabila, di atas kehendak pembuat janji, penerima janji atau orang lain telah membuat atau menjauhi daripada membuatnya suatu perbuatan atau larangan atau janji dipanggil balasan kepada janji tersebut. Contohnya apabila seseorang membeli ikan di pasaraya dan telah membayar harga ikan tersebut, kemudian penjual menyerahkan ikan tersebut, maka kedua-dua pihak telahpun menunaikan balasan masing-masing melalui tindakan mereka.
- Kepastian. Terdapat situasi di mana walaupun syarat-syarat (a)-(c) dipenuhi, perjanjian tersebut akan terbatal juga sekiranya tiada kepastian atau kabur mengenai apa yang dijanjikan oleh kedua-dua pihak. Apabila sesuatu perjanjian itu kabur atau tidak pasti, maka kontrak yang dibuat itu dengan sendirinya terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan. Ini jelas diterangkan di bawah Seksyen 30 Akta Kontrak, 1950 (Disemak 1974).
- Keupayaan. Seksyen 11 Akta Kontrak menjelaskan tentang kelayakan berkontrak. Seseorang yang berkelayakan mestilah:-
- mencapai umur majoriti menurut undang-undang yang ianya tertakluk;
- berakal waras; dan
- tidak terbatal daripada sesuatu kontrak menurut mana-mana undang-undang yang ia tertakluk.
Oleh itu sekiranya sesuatu kontrak itu dilakukan oleh seorang kanak-kanak atau orang gila, maka kontrak itu akan terbatal oleh kerana kemungkinan dia tidak tahu akan kesan dan akibat kontrak itu.
Menurut Seksyen 10(1) Akta Kontrak, 1950 sesuatu perjanjian itu mestilah dibuat dengan kerelaan oleh pihak-pihak yang berkelayakan kepada kontrak, untuk pertimbangan dan objek yang sah.
Apabila sesuatu kontrak itu telah dibuat dan dilaksanakan, maka mana-mana pihak tidak boleh menukar fikiran dan membatalkan perjanjian kecuali di dalam hal-hal yang dibenarkan seperti ikan yang dibawa pulang telah busuk atau wang yang diberikan tidak mencukupi. Sekiranya satu pihak lain melanggar syarat kontrak, maka pihak yang lain boleh menbuat tuntutan bagi pemecahan kontrak.
Di dalam undang-undang kontrak Islam terdapat juga elemen-elemen seperti yang disyaratkan di dalam undang-undang kontrak biasa, iaitu tawaran dan penerimaan yang mengikat kedua-dua belah pihak, dan yang paling mustahaknya ianya melibatkan konsep pembalasan terutama di dalam bentuk harga(thaman). Dalam Islam sesuatu kontrak jual beli akan menjadi sah jika melengkapi rukun-rukun berikut:
- Penjual iaitu pemilik barang atau wakilnya dengan syarat penjual itu seorang yang tidak safih, gila, kanak-kanak atau dipaksa.
- Pembeli iaitu seorang yang berkelayakan mengurus tadbir(tasarruf)yakni bukan safih, gila, kanak-kanak atau dipaksa.
- Barang yang dijual(muthamman) iaitu barang yang dimiliki, suci, bermanfaat, boleh diserah dan diketahui oleh pembeli walaupun secara deskripsi sahaja.
- Sighah iaitu ijab dan qabul antara penjual dan pembeli.
- Saling redha-meredhai (al-taradi) oleh kedua-dua pihak.
Sesuatu kontrak jual beli yang lengkap rukun dan syaratnya adalah sah dan memindah milik. Sebaliknya kontrak jual beli yang berlaku kecacatan pada salah satu rukun atau pada barang yang dikontrakkan adalah batal (tidak sah) dan tidak memindah milik. Contohnya seperti kontrak jual beli yang dilakukan oleh orang gila ataupun kontrak menjual arak oleh orang Islam.