Buat julung kalinya, perkhidmatan kesihatan mental di negara ini, melalui pihak Kementerian Kesihatan telah mendapat peruntukan yang amat besar dari segi perbekalan bajet dan pembiayaan dana tahunan. Jumlah ini lebih besar daripada jumlah dana pada tahun-tahun sebelumnya bagi perkhidmatan kesihatan mental. Jumlah sebanyak RM70 juta, seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan belanjawan untuk tahun 2022 dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera,” sudah tentu akan mencetuskan satu lonjakan paradigma perkhidmatan kesihatan mental negara kelak.
Berdasarkan kepada situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ini, dan kesan buruk yang dialami setiap individu dalam masyarakat sehingga ke tahap menjejaskan kestabilan mental mereka, justeru, ini merupakan masa paling sesuai bagi negara bangkit daripada terus terjerumus selamanya dalam kemelut yang membebankan. Ungkapan syabas dan tahniah, kerana ada langkah awal dalam usaha mendepani dan memartabatkan perkhidmatan kesihatan mental negara ke tahap lebih tinggi dan dihormati. Walaupun Malaysia ialah sebuah negara membangun, namun tindakan ini sebenarnya telah mengangkat kedudukan negara sejajar dengan negara-negara maju lain dalam aspek perkhidmatan kesihatan mental.
Secara umumnya, kesihatan mental digambarkan sebagai satu keadaan yang sejahtera. Individu sentiasa menyedari tentang keupayaan diri, serta mampu mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat dengan lebih berkesan. Manakala perkhidmatan kesihatan mental pula merupakan segala dasar dan pendekatan yang digunakan sebaiknya untuk mencapai tahap kesihatan mental secara optimum.
Jika sebelum ini, perkhidmatan kesihatan mental merupakan sektor kesihatan awam yang sering dipandang sebelah mata, dengan kedudukan terkebelakang dan sering bergelumang dengan stigma, namun situasi yang ada ketika pandemik menyerang telah menjadikan perkhidmatan kesihatan mental sebagai satu sektor perubatan dan kesihatan yang sebenarnya penting dan perlu sentiasa berada di hadapan seperti bidang-bidang kesihatan yang lain. Hakikatnya, bidang inilah yang membantu menjaga frontliners, golongan pemimpin masyarakat dan juga rakyat untuk terus bertahan ketika berdepan dengan serangan pandemik atau apa jua halangan yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.
Secara umumnya, perkhidmatan kesihatan mental dapat difahami sebagai satu bidang yang berperanan menyediakan dan menguruskan penjagaan dan rawatan berkaitan kesihatan mental. Sejak sekian lama, perkhidmatan ini telah diasaskan daripada dua bidang utama penjagaan dan rawatan kesihatan iaitu perubatan psikiatri dan psikologi klinikal. Kedua-dua bidang sains gunaan ini merupakan teras kepada perkhidmatan tersebut dalam menyediakan kaedah terbaik berkaitan rawatan dan penjagaan kesihatan mental manusia. Namun sejak akhir-akhir ini, bidang kaunseling juga telah mula mendapat tempat dalam memberi nilai tambah kepada perkhidmatan kesihatan mental ini melalui kaedah intervensi kaunseling.
Jika melihat kepada perkhidmatan kesihatan mental ini secara lebih telus, hakikatnya ketika ini, negara sedang mengalami kekurangan yang amat ketara khususnya dari segi jumlah pakar psikiatri dan profesional psikologi klinikal yang sedia ada. Justeru itu, perkhidmatan ini tidak dapat memenuhi nisbah antara pakar dengan pesakit seperti yang diunjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO. Sememangnya diakui bahawa, sehingga tahun 2018, hanya terdapat lebih kurang 400 pakar psikiatri yang berkhidmat di seluruh negara berdasarkan daftar keahlian profesion tersebut. Secara nisbahnya, ia dapat digambarkan sebagai 1: 100,000 atau seorang pakar psikiatri untuk mengendalikan kes bagi seramai 100,000 orang pesakit. Walhal, nisbah yang diunjurkan WHO ialah 1:5,000. Manakala terdapat sejumlah 33 ahli psikologi klinikal yang berkhidmat di agensi awam setakat tahun 2019. Menurut daftar keahlian psikologi klinikal, terdapat seramai 300 ahli psikologi klinikal di negara ini, namun tidak semua mereka aktif dalam pengamalan profesion mereka.
Jumlah terbesar ahli psikologi klinikal pula berkhidmat di pusat perubatan dan hospital swasta berbanding di fasiliti kesihatan sektor awam. Situasi ini dilihat sebagai tidak membantu, memandangkan masyarakat tidak mempunyai pilihan rawatan kesihatan mental yang menyeluruh dan ia menjadi terhad. Tambahan pula, perkhidmatan perubatan swasta bukanlah pilihan popular dalam kalangan mereka akibat belenggu kos rawatan yang ada, di samping tiada tanggungan rawatan oleh syarikat insuran.
Kebanyakan isu yang ada ini akhirnya sudah pasti akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan mental apabila tidak dapat menyediakan perkhidmatan itu secara sewajarnya kepada setiap individu yang terdesak dan memerlukan. Namun apa yang menarik ialah rebat dan pelepasan cukai pendapatan yang diberikan oleh kerajaan kepada individu dan tanggungan yang mendapatkan rawatan kesihatan mental. Sudah pasti ia akan mendorong lebih ramai majikan serta syarikat insuran untuk berlumba-lumba memelihara kesejahteraan mental pekerja kerana tidak mahu terlepas imbuhan daripada rebat cukai tersebut.
Seterusnya, perkhidmatan kesihatan mental perlu difahami secara lebih holistik. Di samping menyediakan perkhidmatan penjagaan dan rawatan, ia juga terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan. Hasil dan dapatan kajian inilah yang akan membantu pengamal dan pakar klinikal dalam sesi rawatan dan pemulihan pesakit secara lebih berkesan. Adalah diharapkan sejumlah peruntukan dalam bajet tersebut akan dapat digunakan untuk sektor penyelidikan dan pembangunan kesihatan mental. Dalam erti kata lain, perkhidmatan kesihatan mental di negara ini amat memerlukan penambahbaikan dan pembangunan dari pelbagai sudut meliputi aspek rawatan dan pemulihan, penyelidikan dan pembangunan serta latihan kepakaran klinikal kesihatan mental.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam amanat yang disampaikan sehari selepas kempen Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 11 Oktober 2021 yang lalu, turut melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental bagi Penggal 2020 – 2025. Apa yang pasti, pelan tersebut turut mengandungi objektif untuk membangunkan perkhidmatan kesihatan ini ke tahap yang lebih baik lagi. Pada masa yang sama, idea beliau berkaitan dengan cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental adalah amat baik dan perlu diteruskan memandangkan negara belum lagi memiliki sebuah institut khusus kesihatan mental.
Kebanyakan negara maju telah pun memiliki institut kesihatan mental mereka sendiri. Sebagai contoh, negara Amerika telah menubuhkan Institut Kesihatan Mental Kebangsaan mereka pada tahun 1946 oleh Presiden Harry Truman pada ketika itu. Dalam kalangan negara Asia, negara Singapura turut memilikinya sejak tahun 1928 yang lebih menjurus kepada fungsi sebuah hospital. Negara India pula telah menubuhkan Institut Kesihatan Mental dan Neurosains pada tahun 1983 di negeri Kerala dengan fungsinya yang tersendiri.