Antara perkara yang paling mudah untuk diucapkan akan tetapi sukar untuk dijelmakan sebagai satu hakikat ialah kesatuan. Sebagai satu konsep, kesatuan sememangnya satu perkara yang sering diidamkan dan kerap muncul dalam pelbagai kata-kata hikmah, “bersatu teguh bercerai roboh,” “where there is unity unity there is the victory.”
Ia juga adalah istilah keramat yang kerap dilaungkan lewat pidato dan ucapan para pemimpin. Laungan itu mungkin lebih hebat gemanya apabila menghampiri musim pemilihan.
Atas nama kesatuan juga, pelbagai bentuk pertubuhan dan persatuan ditubuhkan, walaupun kewujudan pelbagai persatuan ini kadang kala lebih banyak membelah lagi masyarakat mengikuti garis kepentingan kelompok tertentu berbanding menuju ke arah kesatuan yang lebih sejagat.
Ada yang berhujah bahawa kesatuan sebenar adalah satu perkara yang mustahil kerana Tuhan sendiri mencipta makhluk dalam bentuk yang berbeza-beza. “Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon korma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya).” (al-An’am: 141)
Dalam Surah al-Hujurat:13, Allah menyebut tentang perbezaan penciptaan manusia, “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”
Ini ditambah dengan hakikat sejarah kemanusiaan yang merakamkan pelbagai bentuk perpecahan, perbalahan dan peperangan yang tidak berkesudahan.
Bagi mencari penyelesaian mengenai kesatuan dan cabaran kepelbagaian, mungkin kita perlu menggali lebih mendalam mengenai saranan al-Qur’an mengenai perkara ini.
Yang jelas, kesatuan, dari sudut al-Qur’an, adalah satu perintah yang tegas lewat ayat al-Qur’an dalam Surah ‘Ali ‘Imran (3):103, “Berpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” Kesatuan berasaskan akidah ini merupakan nilai penting yang terbit dari prinsip Keesaan Allah (Tauhid) dan yang memberi kesan terhadap keseluruhan tindakan manusia dalam bentuk kesatuan akidah, ibadah dan akhlak. Ia juga menjadi teras penting kepada kesatuan umat Islam.
Hadis Nabi menyebut tentang kesatuan umat Islam dengan mengumpamakannya dengan sebuah badan. Sekiranya salah satu anggota berasa sakit maka seluruh badan juga akan turut merasa sakit.
Sememangnya al-Qur’an menyatakan bahawa Allah sendiri menjadikan makhluk termasuk manusia dalam bentuk kepelbagaian. Namun al-Quran menyebut bahawa tujuan akhir kepelbagaian tersebut adalah untuk setiap kelompok yang pelbagai itu akhirnya berkenalan dan bukannya kekal tegar dalam perbezaan, jauh sekali untuk bermusuh dan berbalah antara satu dengan yang lain.
Dalam Surah Yunus, ayat 99, Allah juga menyebut bahawa Dia berkuasa untuk menjadikan semua manusia sebagai satu umat yang satu, “Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” Akan tetapi, hikmah kepelbagaian adalah untuk manusia bermujahadah untuk sampai kepada persetujuan terutama tentang kebenaran.
Jika diteliti, kepelbagaian yang dicipta oleh Tuhan lebih merujuk kepada perkara yang bersifat kekal seperti warna kulit, kaum dan ras. Sememangnya perkara-perkara ini tidak akan dapat disatukan. Akan tetapi, perkara yang diperintahkan oleh Tuhan untuk manusia sampai kepada kesatuan adalah perkara boleh berubah dan yang boleh diusahakan oleh manusia iaitu berkaitan dengan idea, kefahaman dan pemikiran. Dengan akal yang dikurniakan Tuhan, manusia boleh berfikir, belajar, berbincang, berdialog dan bersetuju dengan satu bentuk keputusan.
Dua pendekatan penting yang boleh diambil berdasarkan pesanan al-Quran ini bagi menyatukan manusia di tengah-tengah kepelbagaian yang ada. Pertama, dalam kalangan umat Islam, mereka harus disatukan di bawah akidah Islam yang sebenar berdasarkan pentafsiran yang berwibawa. Tumpuan yang harus diberikan untuk mencapai kesatuan tersebut ialah kepada pembinaan ilmu, pendidikan dan kefahaman yang mantap mengenai teras pandangan alam Islam sebenar.
Untuk itu perbezaan pandangan yang bersifat cabangan dan runcitan dan yang tidak menyumbang kepada kesatuan harus diketepikan. Semua kelompok harus menghayati adab berbeza pandangan dan berjiwa besar untuk menumpukan kepada perkara-perkara yang merupakan kepentingan bersama umat Islam. Al-Quran mengingatkan prinsip ini dengan mengatakan bahawa “Sesungguhnya semua orang yang beriman adalah bersaudara dan baikkanlah hubungan antara saudara-saudara kamu” (Surah al-Hujurat (49) ayat 10)
Pendekatan kedua berkait dengan hubungan antara agama dan kaum. Dalam hal ini, kita harus kembali kepada teras kemanusiaan sejagat yang dikongsi bersama seperti keadilan dan kasih sayang antara manusia tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Perbezaan yang tidak dapat diharmonikan harus kekal sebagai perbezaan yang dilandasai dengan sikap berlapang dada dan berjiwa besar.
Dalam konteks negara Malaysia, dokumen dan piagam asas kenegaraan seperti Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara harus kekal sebagai teras keharmonian dan kebersamaan keluarga besar negara ini. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diputuskan dalam Kongres Kebudayaan Nasional pada 1971 boleh dirujuk sebagai asas, Kongers itu telah memutuskan bahawa Dasar Kebudayaaan Kebangsaan Malaysia hendaklah (i) berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini, (ii) unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima menjadi unsur-unsur kebudayaan kebangsaan, dan (iii) Islam sebagai unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan harus berteraskan agama Islam dan budaya tempatan.
Sekiranya kedua pendekatan ini dapat diambil, sekurang-kurangnya usaha ke arah kesatuan dalam masyarakat di negara akan dapat bergerak ke hadapan walaupun masih perlu berdepan dengan cabaran kepelbagaian.