Perbuatan salah merupakan suatu ketidakselesaan. Seorang isteri akan merasa ketidakseimbangan berlaku dalam rumah tangga apabila suaminya tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna. Isteri akan menegur kesilapan yang berlaku dan bukan sesuatu yang menghairankan sekiranya terjadi pertelingkahan.
Begitu juga seorang ayah yang sedaya upaya akan menegur perbuatan anak yang menagih dadah. Sudah pasti dia akan berusaha agar anaknya kembali menjalani kehidupan yang normal dan menyihatkan.
Antara cara yang boleh mengembalikan semula ketenangan kerana menghadapi perbuatan salah adalah dengan memberi nasihat. Nasihat merupakan mekanisme yang boleh mengarah kepada kesejahteraan hidup bermasyarakat. Melalui nasihat, pihak yang membuat salah diberi peluang untuk memperbaiki diri dan akhlaknya.
Akan tetapi, apabila perbuatan salah tidak dapat dibendung dengan teguran yang baik, maka di sinilah bermulanya manusia mengambil undang-undang sebagai mekanisme untuk menyeimbangkan semula struktur masyarakat. Ini kerana bukan semua manusia boleh menerima teguran untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan. Kedegilan dan keangkuhan akan mengetepikan nasihat yang diberikan. Kesilapan yang serupa akan terus berlaku dan berulang-ulang. Ia mungkin akan menjadi kesilapan dan kesalahan yang lebih besar. Maka di sini undang-undang terpaksa diambil bagi menjaga kemaslahatan masyarakat keseluruhannya. Begitu juga bagi kesalahan besar atau melampau, ia juga perlu dirujuk kepada undang-undang.
Kesalahan yang sangat besar walaupun hanya dilakukan sekali tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Ini kerana ia telah menjejaskan kepentingan orang lain atau masyarakat umum dengan kesan yang besar. Justeru isteri, bapa, jiran atau sesiapa sahaja mempunyai hak menggunakan pendekatan undang-undang apabila berhadapan dengan kesalahan sebegini.
Apabila manusia yang melakukan kesilapan itu dihukum, maka hukuman yang dikenakan adalah bertujuan untuk mendidik pesalah agar menjadi ahli masyarakat yang lebih baik. Hukuman juga berperanan sebagai pengajaran kepada ahli masyarakat lain yang mungkin mempunyai potensi untuk melakukan kesalahan yang sama. Dan selain itu hukuman juga sebenarnya bertujuan untuk mendera pesalah sebagai balasan buruk atau kesalahan yang telah dilakukannya.
Seorang yang minum arak jika dikenakan 40 sebatan dengan rotan tentu sahaja akan merasa serik dengan perbuatannya. Berbaloikah nikmat meminum arak dengan 40 sebatan yang diterimanya?
Bagi mereka yang mempunyai ilmu dan kesedaran, perbuatan salah adalah perkara yang sedaya upaya dielakkan. Mereka akan memikirkan hak orang lain sebelum melakukannya.
Seorang remaja yang berilmu akan memahami bahawa hukuman tetap boleh dikenakan ke atasnya sekalipun dia masih muda. Sekiranya dia seorang yang baik, dia akan memikirkan kesan tindakan salah yang dilakukan. Apabila dia dibuang dari sekolah, dia hanya akan menyempitkan jalan bagi masa hadapan. Dia akan mencemarkan nama baik sekolah dan mungkin melukakan perasaan orang tua yang selama ini menjaga dan melindungi serta mendidiknya menjadi individu yang berkualiti.
Kesalahan yang dilakukan akan mendorong kepada ketidakseimbangan hidup bermasyarakat. Semakin banyak atau besar kesalahan yang berlaku dalam masyarakat, maka semakin besar ketidakseimbangan tersebut. Ini adalah nilai empati bagi mereka yang berfikir dan mempunyai nilai patriotik di dalam dirinya.
Mengambil pengajaran daripada pengalaman hidup orang lain adalah antara cara bagaimana memelihara diri daripada melakukan kesalahan. Membenarkan undang-undang mengajar seseorang untuk memperbaiki diri sangat perlu dielakkan bagi menghargai kepentingan bersama, nama baik, masa hadapan dan perkara-perkara lain yang sangat berharga.