BIDANG bioteknologi menjanjikan peningkatan kualiti hidup manusia. Pada dasarnya, bioteknologi ialah teknologi yang dibangunkan hasil kemajuan dalam bidang sains hayat atau biologi.
Kepentingan bidang sains hayat ini memang jelas dalam Islam. Hakikat bahawa wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad mengandungi penerangan mengenai proses perkembangan janin manusia, iaitu suatu perkara yang signifikan jika direnungi. Ini ialah satu fakta embriologi yang juga satu cabang ilmu sains hayat.
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa bioteknologi satu bidang yang baru. Sebenarnya bidang ini sudah wujud sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Proses penapaian yis adalah antara proses bioteknologi yang paling awal digunakan oleh manusia.
Abad ke-21 dilabelkan sebagai abad bioteknologi. Bidang ini menjanjikan jaminan makanan dan kualiti hidup yang lebih baik kepada manusia.
Ia juga berpotensi untuk membawa pulangan lumayan yang seterusnya membantu dalam penjanaan ekonomi sesebuah negara.
Atas sebab inilah, maka bioteknologi dikaitkan dengan aspek ‘pembangunan’ dalam proses ‘penyelidikan dan pembangunan’ (R&D). Aspek ‘penyelidikan’ membabitkan bidang sains hayat itu sendiri.
Penemuan daripada proses R&D dalam biologi dan bioteknologi sekiranya dikomersilkan akan dapat mempercepatkan penjanaan ekonomi sesebuah negara.
Pada abad ini, bioteknologi berfungsi sebagai mangkin untuk membentuk ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi. Oleh itu, untuk menjamin kejayaan k-ekonomi, negara memerlukan pekerja berasaskan pengetahuan atau k-pekerja.
Bagi meramaikan k-pekerja ini, perancangan dalam aspek sumber manusia sesebuah negara wajarlah diberikan penekanan yang serius.
Buat masa ini, semakin banyak institusi pengajian tinggi di negara ini yang menawarkan kursus yang berkaitan bidang bioteknologi seperti mikrobiologi, kejuruteraan genetik dan biofarmasi. Ini dapat menyumbang ke arah meramaikan k-pekerja dalam bidang bioteknologi.
Satu lagi aspek yang perlu diberi penekanan ialah usaha untuk mewujudkan usahawan bioteknologi atau ‘biousahawan’.
Ramai menyatakan bahawa banyak hasil penyelidikan dalam bidang bioteknologi misalnya, hanya menjadi bahan rujukan dalam jurnal ilmiah semata-mata.
Tidak banyak hasil penyelidikan ini yang dikomersilkan. Jika hasil R&D bioteknologi gagal dikomersialkan, maka bidang ini tidak akan dapat menyumbang ke arah pengukuhan k-ekonomi.
Beberapa sebab dikenal pasti sebagai punca kegagalan itu.
Pertama, kebanyakan saintis dan pakar teknologi dalam bidang bioteknologi tidak mempunyai pengetahuan atau kepakaran dalam selok belok dunia perniagaan dan keusahawanan.
Agak tidak wajar dan tidak adil untuk mengharapkan mereka terjun ke dalam dunia perniagaan jika mereka tidak mempunyai kepakaran sebagai usahawan.
Oleh itu, satu pendekatan yang sesuai adalah untuk menemukan golongan saintis dan pakar teknologi dengan golongan usahawan yang mempunyai naluri peniaga.
Bagaimanapun, sesetengah peniaga dan usahawan tidak mahu menerokai bidang keusahawanan bioteknologi ini kerana tidak menjanjikan pulangan dalam masa yang singkat.
Perkara inilah yang menyumbang kepada punca kedua, iaitu mengapa hasil R&D bioteknologi gagal dikomersilkan, tidak seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyediakan pulangan dalam jangka masa yang singkat.
Bidang bioteknologi memerlukan masa bertahun-tahun untuk proses pembangunan, apatah lagi proses komersilnya.
Untuk mencipta sejenis ubat misalnya akan memakan masa yang lama. Ubat ini mesti dipastikan keberkesanan dan keselamatannya terlebih dulu sebelum dipasarkan.
Hakikatnya kepada seseorang usahawan, masa adalah wang. Maka tidak hairanlah apabila kita mendapati ramai yang teragak-agak untuk terbabit dalam bidang mengkomersilkan produk hasil bioteknologi kerana faktor masa ini.
Jalan penyelesaian bagi keadaan ini adalah untuk mewujudkan satu generasi usahawan yang baru yang dikenali sebagai ‘biousahawan’.
Golongan ini ialah mereka yang terbabit secara langsung dengan R&D bioteknologi dan pada masa yang sama, mempunyai kemahiran dalam bidang keusahawanan.
Mereka dianggap sebagai generasi biousahawan alaf baru yang akan menjadi penggerak k-ekonomi.
Namun, untuk berjaya dalam bidang ini, golongan biousahawan perlu mengenalpasti peluang dan ruang yang memberikan kelebihan kepada mereka.
Mereka tidak mampu untuk meniru bulat-bulat apa yang dilakukan oleh orang lain. Tidak seperti pisang goreng, pembangunan bidang bioteknologi tidak boleh ditiru untuk dikomersilkan oleh syarikat lain.
Sekiranya sejenis ubat dipatenkan dan dimiliki oleh sebuah syarikat, maka syarikat yang meniru dianggap mencuri harta intelektual syarikat yang menghasilkan ubat yang asal.
Dalam konteks Malaysia, kita tidak mampu untuk menjadi penggiat dalam banyak bidang tanpa menguasai apa-apa bidang langsung. Justeru, dua bidang dikenal pasti menjadi kekuatan untuk Malaysia iaitu bioteknologi pertanian dan penerokaan produk semula jadi.
Bidang bioteknologi pertanian sebenarnya sudah bertapak lama di negara kita menerusi kajian yang dijalankan pada tanaman seperti getah dan kelapa sawit. Malah diakui bahawa penyelidikan yang dijalankan di Malaysia jauh lebih maju berbanding negara asal tanaman tadi.
Bagaimanapun, masih banyak ruang yang belum diterokai dalam bidang bioteknologi pertanian ini.
Justeru, dengan mengaplikasi bioteknologi kepada sektor pertanian, ia mampu menggerakkan semula sektor ini sebagai penyumbang utama pembangunan ekonomi negara.
Dalam bidang penerokaan produk semula jadi pula, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai hasil kekayaan semula jadi yang melimpah ruah.
Kepelbagaian bio ini membuka ruang dan peluang kepada biousahawan untuk meneroka kemungkinan mengkomersilkan hasil semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada bumi Malaysia.
Dengan memberikan fokus kepada dua bidang yang sudah dimiliki iaitu bioteknologi pertanian dan penerokaan produk semula jadi, maka biousahawan akan dapat mengurangkan risiko dalam menjalankan proses mengkomersilkan produk bioteknologi.
Apa yang jelas ialah biousahawan adalah satu golongan yang penting di kaca mata Islam terutama apabila membabitkan makanan dan ubat-ubatan kerana seperti yang semua sedia maklum, makanan dan ubat-ubatan yang diambil oleh orang Islam mestilah halal dan memenuhi kriteria tayyib (baik, berkualiti dan selamat).
Atas sebab ini, maka menjadi satu tuntutan fardu kifayah bagi bio-usahawan Islam untuk membangunkan dan seterusnya mengkomersilkan makanan dan ubat-ubatan daripada bidang bioteknologi yang memenuhi kriteria halal dan tayyib.
Jika ini dapat dilakukan, maka tahap keyakinan umat Islam kepada produk bioteknologi akan dapat dipertingkatkan.
Pada masa ini, sudah ada golongan biousahawan yang sedang mengusahakan produk bioteknologi yang halal dan tayyib, tetapi bilangan mereka agak kecil.
Oleh itu, amat perlu sekali usaha diambil untuk menambahkan jumlah biousahawan ini terutama biousahawan Islam.
Andainya ini dapat dilakukan, maka golongan biousahawan akan dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan dan usaha mengkomersilkan produk bioteknologi yang seterusnya akan memperhebatkan pembangunan k-ekonomi di negara ini dan membolehkan Malaysia untuk bersaing dengan lebih yakin lagi dalam era bioteknologi yang serba mencabar.