Pemimpin dan kepimpinan merupakan dua faktor penting yang mencorakkan sesebuah masyarakat. Ciri-ciri pemimpin dan corak kepimpinan jua yang akan menentukan hala tuju dan jatuh bangun masyarakat itu. Tugas dan tanggungjawab para pemimpin sememangnya satu tugas yang berat. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab memastikan setiap anggota masyarakat mendapat gambaran yang jelas terhadap setiap polisi, arahan dan tugas, tetapi juga memastikan setiap arahan dan tugas berkenaan dipatuhi dan dituruti oleh mereka.
Adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat pula untuk melaksanakan setiap bentuk polisi dan arahan demi kemajuan dan kebaikan mereka. Kerjasama seperti inilah yang akhirnya mampu membawa kemajuan dan perpaduan dalam masyarakat. Bagaimanapun, kerjasama seperti ini amat sukar dicapai sekiranya pemimpin itu gagal menyampaikan misinya kepada masyarakat ataupun dia gagal untuk memastikan bahawa semua lapisan masyarakat itu telah menerima, memahami dan seterusnya mematuhi arahan dan hasrat pemimpin.
Islam melihat bahawa pemimpin sebenarnya memegang satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ditegah berlaku khianat. Islam amat memandang tinggi golongan pemimpin yang berusaha untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu, adil dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap kebajikan kelompok di bawah kepimpinan mereka.
Perpaduan ummah merupakan satu aspek yang amat penting yang menentukan jatuh bangun pemimpin dan juga masyarakat. Malah melalui perpaduan jugalah yang akan menentukan kejayaan para pemimpin dalam tempoh mereka memegang tampuk kepimpinan. Maka para pemimpin yang mampu membawa dan memelihara perpaduan sewajarnya diiktiraf sebagai pemimpin yang berjaya dalam kepimpinan mereka.
Islam bukan sahaja menitikberatkan kepentingan mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, tetapi juga usaha dan langkah yang dilakukan untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian itu supaya tidak hilang, yang mana akhirnya boleh menjejaskan keutuhan dan perpaduan serta kestabilan masyarakat dan negara.
Di kalangan kelompok manusia, perpaduan yang diidam-idamkan selama ini mungkin menjadi amat rapuh dan tergugat jika terdapat segelintir daripada mereka yang terlalu ikutkan rasa hati dan hawa nafsu kerana tamakkan kuasa dan gila jawatan sehingga akhirnya mencetuskan perbalahan dan persengketaan serta perebutan kuasa dan tampuk kepimpinan.
Perbalahan sesama umat yang berlaku kerana berebut jawatan dan kepimpinan serta perebutan kuasa secara tidak sah yang didorong oleh sifat gilakan kuasa dan jawatan amat ditegah dalam Islam. Oleh itu, pemimpin yang baik dan cemerlang adalah juga pemimpin yang mampu menilai situasi sebegini lantas melakukan pelbagai strategi proaktif bagi mengelakkan sebarang pertumpahan maruah yang akan menjejaskan perpaduan ummah yang telah dicapai. Dan inilah juga tugas dan amanah kepimpinan yang perlu ada dalam setiap diri pemimpin itu.
Dalam situasi di mana umat Islam dilanda krisis dalam pelbagai bidang kini, perpaduan adalah amat penting untuk dikekalkan kerana dengan perpaduan, umat Islam mampu mengembalikan semula kegemilangan dan kecemerlangan yang lampau untuk diteruskan semula tanpa ada sebarang tempoh tergendala yang agak panjang sekiranya berlaku peralihan kuasa dalam tampuk kepimpinan negara. Ini kerana tempoh tergendala yang berlaku dalam jangka waktu yang agak panjang sudah tentu akan menjejaskan bukan sahaja perpaduan yang telah terbina, tetapi juga hasrat, strategi dan usaha untuk memajukan ummah.
Pemimpin yang cekap dan amanah itu akan memastikan bahawa kemajuan yang membawa perpaduan dan kecemerlangan ummah adalah lebih diutamakan daripada pertukaran pemimpin dan kepimpinan supaya hasrat murni untuk memajukan ummah dan negara itu dapat diteruskan.
Islam telah memberi pengiktirafan bahawa adalah menjadi satu amanah kepada masyarakat untuk memilih pemimpin mereka sendiri. Manakala pemimpin yang terpilih itu pula menerima amanah kepimpinan dari masyarakat umum dan bertanggungjawab untuk melaksanakan setiap amanah itu. Dan pemimpin yang amanah itu pula akan memastikan hanya orang-orang yang bersifat amanah dan dipercayai sahaja yang akan terus menggantikannya apabila bersara nanti.
Dalam perkara ini, renungilah sebuah hadis Rasullullah s.a.w. bermaksud: Barang siapa yang melantik seseorang untuk sesuatu urusan berkaitan masyarakat, sedangkan dia mengetahui bahawa ada orang lain yang lebih diredhai Allah untuk dilantik (bagi urusan itu) maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan seluruh kaum Muslimin.
Pemimpin yang akan bersara juga mendukung amanah dalam menentukan siapakah bakal pemimpin selepasnya. Tanggungjawab mereka adalah memastikan pengganti mereka juga mampu meneruskan perpaduan dan kemajuan ummah dapat berlanjutan.