Sesebuah negara tidak hanya ditegakkan atas asas perundangan semata-mata. Terdapat beberapa ramuan atau prinsip-prinsip yang perlu diikuti dalam mempertahan dan memelihara kelangsungan bangsa.
Di antara prinsip yang mesti dipegang dan diterima oleh masyarakat – terutama masyarakat berbilang kaum dan agama adalah mempunyai sikap toleransi.
Apakah asas yang perlu kita pakai dalam menonjolkan prinsip ini? Sebagai seorang muslim neraca dan asas yang digunakan sudah pasti Islam. Islam telah mengetengahkan keperluan sifat toleransi. Dalam bahasa Arab ia bermaksud tasamuh. Dalam Kamus Dwibahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada memberi erti kesabaran; tasamuh.
Toleransi sebagai satu sikap pegangan kehidupan dalam masyarakat memberi erti tidak idealisme, tidak fanatik, tidak selfish – mementingkan diri sendiri; mempunyai sikap keterbukaan, realistik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain. Orang yang mengamalkan sikap toleransi berupaya menanggung sesuatu tekanan atau berupaya menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk orang lain dan bersikap terbuka dan lapang dada. Ciri-ciri tersebut adalah penting dihayati dalam masyarakat majmuk supaya keharmonian dapat dicapai.
Keharmonian tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa sikap toleransi dan dengan buruk sangka. Bagi melahirkan keharmonian yang berterusan memerlukan “kejinakan hati” antara lapisan masyarakat. Perlu ada keserasian dalam kehidupan dengan menghindar “buruk sangka dan kesangsian”. Dalam sebuah rumah tangga memerlukan kejujuran, keikhlasan dan amanah. Mewujudkan suasana kasih sayang dan kemesraan.
Sikap dan tindakan yang tidak mendatangkan mudarat dan berbahaya kepada orang lain boleh membawa kepada suasana yang harmoni dalam masyarakat. Jika warna-warni itu sesuai dan elok kombinasinya atau muzik itu antara irama dan lagu selaras maka akan lahirlah keharmonian pada warna dan lagu. Apabila masyarakat hidup ramah mesra, bertolong bantu, belas kasihan, bertegur sapa, prihatin terhadap jiran, nasihat menasihati serta menjaga kepentingan dan hak orang lain sudah pasti masyarakat itu akan hidup dalam suasana harmoni.
Mari kita mengambil contoh daripada ajaran Islam dan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam al-Quran telah memberi beberapa panduan di antaranya dalam kebebasan beragama seperti dalam surah al-Kafirun, ayat 6 bermaksud: “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”
Jelas bahawa sungguhpun agama bagi Nabi Muhammad adalah Islam, namun suasana yang ada tidak pula menyebabkan Baginda tidak boleh toleransi dengan kenyataan bahawa agama selain Islam juga berkembang di tanah Arab.
Keadaan lebih ketara apabila Baginda mengajak bersama penduduk Madinah daripada kalangan orang Islam dan bukan Islam mengikat perjanjian untuk membentuk sebuah negeri di Madinah. Oleh sifat bertolak ansur antara puak maka termeterailah Sahifah Madinah. Sahifah Madinah ini juga telah menunjukkan sikap toleransi Baginda Rasulullah dengan penduduk bukan Islam bagi membentuk identiti masyarakat Madinah sebagai satu umat.
Baginda Rasulullah telah mengetuai pihak Islam dalam mengadakan “Perdamaian Hudaibiyah”. Orang Musyrik Mekah tidak mengiktiraf kerasulan Muhammad. Justeru perkataan Muhammad Rasulullah hendaklah ditulis dengan Muhammad bin Abdullah dan Baginda bersetuju. “Perjanjian ini telah disambut dingin oleh para sahabat kerana kelihatan memihak kepada golongan Musyrikin. Bagaimanapun Baginda Rasulullah menerimanya dengan hati terbuka dan Baginda juga tolerate dengan sahabat yang tidak bersetuju dengannya.
Adakalanya sikap toleransi pemimpin dengan pihak tertentu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pengikutnya. Negara kita juga mengalami keadaan yang sama pada suatu ketika dahulu. Bagaimanapun kita perlu mengambil ingatan pada satu ayat yang mengatakan: Semoga kamu tidak menyukai sesuatu akan mendatangkan kebaikan kepada kamu. Memberi erti kita perlu optimistik dalam sesuatu tindakan dan keputusan yang telah dibuat.
Dari aspek sosial Baginda pernah mengirim bantuan kepada penduduk Mekah walhal mereka adalah golongan kafir pada ketika mereka menghadapi tahun kemarau untuk diagihkan kepada fakir miskin di kalangan mereka.
Islam telah memberi kelonggaran kepada golongan bukan Islam mengamalkan apa jua perkara yang diharuskan oleh agama mereka sekalipun ia dilarang oleh agama Islam. Sebagai contoh membenarkan lelaki Majusi berkahwin dengan salah seorang keluarganya dan orang Yahudi berkahwin dengan anak saudaranya, membenarkan orang Nasrani memakan khinzir dan minum arak. Orang Islam diarahkan supaya membiarkan mereka dengan urusan agama mereka. Contoh-contoh ini telah memperlihatkan sikap Baginda Rasulullah yang begitu tinggi tasamuhnya dalam urusan keagamaan.
Sifat toleransi juga boleh dihubung kait dengan sifat kesabaran dan murah hati, menghormati seseorang dan keterbukaan. Dalam sejarah Islam mencatatkan bahawa pemerintah telah memberi keizinan kebebasan beragama dan membenarkan pengikut agama selain Islam mendirikan biara atau gereja. Apabila pemerintahan Islam membuka kawasan dan terdapat rakyat bukan Islam maka diadakan perjanjian. Dalam satu perjanjian terdapat isu tanah yang dikekalkan hak milik orang bukan Islam dan mereka hanya dikehendaki membayar kharaj kepada pemerintah.
Dalam sejarah pembukaan Mekah tawaran keselamatan diberikan kepada penduduk Mekah walaupun mereka sebelum itu adalah musuh Islam. Perbezaan agama tidak menjadi penghalang kepada dasar kebaikan sosial rakyat. Mereka yang berhak diberikan bantuan secara adil dan saksama. Dalam sebuah hadis ada diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah memberi sedekah kepada penghuni rumah orang Yahudi secara berterusan.
Keterbukaan terhadap pihak yang berlainan fahaman agama dan keturunan dalam pentadbiran negara telah terbukti dalam pemerintahan Islam. Al-Mawardi menyatakan tentang keharusan melantik orang bukan Islam – dhimmi di dalam pentadbiran negara sebagai Menteri dan para sarjana Islam lain berpendapat mereka juga boleh dilantik dalam pengurusan cukai, pendaftaran negara, pegawai pentadbir jabatan kerajaan, pembinaan masjid.
Semuanya ini dapat dilihat dalam catatan sejarah pemerintahan Islam – era Bani Umaiyah, Abbasiyah, pemerintahan Islam di Sepanyol dan kerajaan Uthmaniyah di Turki. Mereka dengan sikap begitu toleransi telah mengambil ramai orang bukan Islam bekerja di dalam pelbagai jawatan kerajaan. Bahkan melantik mereka sebagai duta ke luar negara. Jelaslah bahawa toleransi adalah satu manifestasi yang lahir dari kehidupan masyarakat yang bertamadun tinggi dan perlu dijadikan panduan dalam pemerintahan dan masyarakat majmuk.