Sudah hampir seminggu kita memasuki tahun baru Masihi.
Pada sebahagian rakyat Malaysia, tahun 2014 bermula dengan kegelisahan dan kegusaran perihal keadaan ekonomi semasa, khasnya peningkatan kos dan beban hidup yang ketara.
Walaupun kadarnya berbeza-beza, hampir tiada lapisan masyarakat yang terkecuali daripada dilanda oleh kesan kenaikan ini.
Keluarga-keluarga dalam kategori pendapatan sederhana ke bawah pasti lebih merasai bahangnya.
Justeru, pelbagai langkah sedang dan bakal diambil oleh berbagai pihak untuk mengatasi masalah tersebut.
Antara langkah-langkah yang diambil oleh sebilangan ibu bapa ataupun penjaga yang terhimpit oleh desakan hidup ini adalah pengurangan perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu sambil pengoptimuman guna-pakai apa-apa yang sedia ada.
Terdapat juga mereka yang berusaha menambah pendapatan keluarga yang semakin terhakis itu melalui kerja-kerja sampingan atau tambahan.
Kerja-kerja sedemikian pasti semakin mengikis sisa-baki masa mereka bersama ahli keluarga yang sudah sedia terbatas kerana kerja-kerja rasmi sedia ada.
Meskipun hasrat mereka murni dalam memastikan keperluan keluarga dapat dipenuhi di tengah-tengah bebanan kos yang meningkat, namun kewaspadaan perlu ada agar hidup berkeluarga tetap dapat dikemudikan dengan baik dan tidak terabai.
Apatah lagi jika kerja-kerja sampingan atau tambahan itu digalas oleh kedua-dua ibu bapa.
Suasana getir kehidupan ini yang sebahagiannya langsung disebabkan oleh faktor-faktor ekonomi tentunya menyukarkan banyak pihak untuk mempercayai bahawa semangat asal ekonomi sebagai satu bidang sebenarnya berlawanan dengan apa yang rata-rata sedang kita alami dewasa ini.
Tetapi, itulah sebenarnya yang berlaku; pada satu sisi, kita bersungguh-sungguh mengekalkan kata nama “ekonomi” sementara pada sisi yang lain pula, kita sama-sekali mengalpakan semangat dan hakikatnya yang asal.
Yang jelas, istilah “ekonomi” berasal-usulkan kata Yunani Purba oikonomos dan oikonomia yang bermaksud “pentadbiran rumahtangga” dengan tujuan pencapaian kesejahteraan dan kebahagiaan.
Justeru, dalam sejarah perkembangan selanjutnya dalam Tradisi Ilmu Islam, istilah dan maksud asalnya yang baik itu dikekalkan dan justeru diterjemahkan sebagai tadbir al-manzil.
Juga suatu yang dipelihara dalam tradisi Islam itu ialah kedudukan bidang ilmu itu yang berada di tengah-tengah antara ilmu akhlak (ethics) yang menumpu pada pentadbiran diri insan perseorangan, rohani dan jasmaninya sekaligus, dan ilmu siyasah (politics) yang menumpu pada pentadbiran insan bermasyarakat dan bernegara.
Dengan kata-kata lain, ekonomi dalam kefahaman tersebut berkisar pada pentadbiran insan berkeluarga.
Turut ditekankan dalam tradisi di atas bahawa tujuan ketiga-tiga ilmu mentadbir insan itu—sama ada tahap perseorangan, tahap keluarga, ataupun tahap masyarakat—adalah perolehan kebahagiaan sejati dan kebaikan hakiki.
Sememangnya itulah intisari makna tadbir yang cukup banyak terakam dalam karya-karya muktabar para alim-ulama Islam.
Malangnya, maksud dan semangat inilah yang hilang dari sebahagian besar kegiatan dan sektor yang bersifat atau berkait dengan ekonomi dewasa ini.
Sekiranya institusi keluarga dalam masyarakat kita, khasnya Kaum Muslimin, menjadi semakin porak-peranda akibat pertimbangan dan hasil-usaha “ekonomi” kita, maka sesungguhnya yang dipertimbangkan, diusahakan dan dihasilkan itu pada maksud asalnya bukan ekonomi dan tidak sepatutnya dikaitkan dengannya.
Sekiranya dari sejak awal, baik secara rasmi mahupun tidak rasmi, pengajian dan kegiatan ekonomi dipaksikan pada keutuhan keluarga dan rumahtangga, barangkali masalah yang sedang kita harungi akibat tindak-tanduk “ekonomi” kita tidak akan menjadi sepahit kini.
Malah, sekiranya ekonomi turut difahami dan dipupuk dalam pengertian Islam semasanya sebagai ilmu al-iqtisad, iaitu ilmu berkenaan keseimbangan yang menghasilkan keharmonian, kegelisahan dan kegusaran yang sedang melanda kita juga barangkali dapat diminimumkan, jikapun tidak dihindari sama-sekali.
Berkemungkinan besar, jalan keluar jangka panjang bagi masalah yang sedang kita hadapi adalah pengembalian semangat dan maksud asal istilah ini kepada apa-apa yang dinamakan atau dikaitkan dengannya, khasnya melalui sistem pendidikan, agar para pembuat dasar, pelaksana polisi, dan pengiat-peniaga sekeliannya sentiasa menghayati semangat tersebut dalam sebarang fikiran dan tindakan ekonomi mereka.
Sayugia kita ingati bahawa ilmu yang diajar Allah kepada Insan Pertama yang menjadikannya mulia ialah ilmu tentang nama-nama (termasuk penamaan secara tepat). (al-Baqarah: 31)
Dan wajar sekali untuk kita mengambil iktibar bahawa antara sifat-sifat dan tindak-tanduk para Umat yang pernah diberikan Kitab (Ahlul Kitab) sebelum ini yang dicela Allah ialah kegiatan mereka merubah makna asal kata-kata yang penting dan utama (tahrif al-kalim ‘an mawadi‘ihi). (al-Nisa’: 46 dan al-Ma’idah: 13 dan 41)