Dalam situasi homoseksualiti dan seks bebas merupakan norma sebagaimana yang dapat dilihat dalam masyarakat barat kini, penentangan terhadapnya akan dianggap sebagai sesuatu yang aneh atau salah. Demikianlah halnya yang berlaku terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Easter, United Kingdom, Sir Paul Coleridge. Pendirian tegasnya dalam mempertahankan institusi perkahwinan menyebabkan beliau dikecam oleh Lord Chancellor dan Lord Chief Justice yang akhirnya mendorong peletakan jawatannya. Dalam siasatan yang dijalankan terhadap dirinya, hakim Mahkamah Tinggi itu didapati “bersalah” kerana dikatakan melakukan “salah laku kehakiman”. Perkara tersebut berikutan kenyataan yang diberikan beliau dalam temu bual dengan akhbar The Times hampir setahun yang lalu dan tulisan beliau dalam akhbar Daily Telegraph pada Jun lalu.
Dalam temu bual berkenaan, Sir Paul yang mengasaskan penubuhan institusi pemikir, Marriage Foundation itu menyatakan bahawa kerajaan telah menggembleng tenaga yang besar untuk memperjuangkan perkahwinan gay yang menurut beliau merupakan urusan golongan minoriti. Sebaliknya kerajaan tidak memberikan sokongan sepenuhnya terhadap pasangan yang berkahwin. Dalam makalah yang ditulisnya pula, Sir Paul menekankan bahawa pasangan bersekedudukan yang jumlahnya melebihi 5.9 juta orang, jauh lebih mudah untuk berpisah berbanding dengan pasangan yang berkahwin. Perpisahan atau perceraian yang berlaku itu lazimnya mengakibatkan kemudaratan terhadap kanak-kanak yang terlibat. Dalam makalah yang ditulisnya untuk akhbar Mail baru-baru ini, Sir Paul menegaskan bahawa sokongan kepada institusi perkahwinan tidak lagi mampu atau mahu dilakukan oleh mahkamah di England.
Kritikan yang diberikan Sir Paul terhadap kerajaan berhubung sokongan terhadap perkahwinan gay ternyata berasas. Undang-undang baharu di England dan Wales, iaitu The Marriage (Same Sex Couples) Act 2013 yang memperoleh Perkenan Diraja pada 17 Julai 2013 dan diluluskan Parlimen British sehari sebelumnya merupakan keutamaan bagi Perdana Menteri British, David Cameron. Akta ini mengiktiraf perkahwinan sama jantina sebagai sama kedudukannya dari sudut undang-undang dengan perkahwinan heteroseksual. Perdebatan berhubung dengan undang-undang ini berlangsung berbulan-bulan lamanya disebabkan perbezaan pandangan yang timbul. Namun disebabkan kepentingan dan agenda khusus, undang-undang tersebut akhirnya diluluskan meskipun masih terdapat kesukaran tertentu misalnya dari sudut teknikal.
Meskipun terdapat banyak kajian yang dijalankan bagi membuktikan kemudaratan yang diakibatkan oleh perkahwinan sejenis terhadap kehidupan individu yang terlibat dan masyarakat umumnya, namun ia tidak menimbulkan keinsafan. Antara bentuk kemudaratan yang diakibatkan oleh perkahwinan sejenis termasuklah ancaman terhadap kesihatan mental dan fizikal pasangan yang terbabit dan anak-anak mereka. Selain penyakit-penyakit seperti HIV/AIDS dan sifilis, pasangan sejenis juga terdedah pada penyakit yang berkaitan dengan penyakit psikiatri. Antaranya termasuklah kemurungan, penyalahgunaan dadah, dan cubaan membunuh diri.
Kemudaratan yang menimpa anak-anak dalam perkahwinan sejenis juga pelbagai bentuknya. Antaranya termasuklah pencabulan dan penderaan seksual. Pencabulan yang dilakukan rakan, kekasih ibu bapa atau bapa (angkat) mereka bahkan direkodkan dalam prosiding undang-undang. Sebagai contoh, David Lindsey yang mengambil seramai sebelas orang kanak-kanak lelaki mengaku bersalah mencabul tiga orang daripada mereka. Dilihat dari sisi lebih umum dan meluas, kemudaratan turut menimpa institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan yang menggugat masa hadapan sesebuah bangsa.
Perkembangan membimbangkan yang melanda masyarakat barat kelihatan meresapi masyarakat lain di dunia termasuk Asia Tenggara seperti Indonesia yang berpenduduk Muslim terbesar di dunia. Barangkali sebahagian kita tidak menyedari bahawa di negara anggota OIC dan jiran terdekat Malaysia itu termaktubnya Prinsip Yogyakarta 2006. Prinsip yang bertujuan memohon piawaian undang-undang hak asasi manusia antarabangsa untuk menangani penyalahgunaan kuasa terhadap hak asasi manusia golongan LGBT ini telah mencetuskan Resolusi 17/19 PBB berhubung hak-hak LGBT. Ideologi tersasar masyarakat barat telah berjaya mempengaruhi kelompok tertentu di negara jiran tersebut. Justeru terbentuklah pertubuhan seperti Arus Pelangi dan Jaringan Islam Liberal.
Antara tokoh Jaringan Islam Liberal yang sering mencetuskan kemelut besar termasuklah Dr Siti Musdah Mulia. Profesor dalam bidang pengajian Islam itu umpamanya dalam wawancara dengan Jurnal Perempuan (Mac 2008) menyatakan sokongannya terhadap perkahwinan sejenis. Beliau merujuk kepada beberapa ayat al-Qur’an tentang hidup berpasangan seperti ayat 21 Surah al-Rum dan menegaskan bahawa ayat tersebut tidak menjelaskan jenis jantina bahkan sekadar menyebut gender. Beliau menegaskan, “Ertinya, berpasangan tidak semestinya dalam konteks heteroseksual tetapi juga homoseksual. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia dengn orientasi seksual yang beragam.”
Perjuangan menuntut hak dan pengiktirafan bagi golongan LGBT turut menular dalam kalangan segelintir rakyat negara ini. Hal ini misalnya terzahir dalam penganjuran Seksualiti Merdeka dan laporan gabungan NGO Malaysia (COMANGO) yang dijadikan asas semakan rekod hak asasi manusia Malaysia pada 24 Oktober yang lalu. COMANGO antara lain menuntut supaya Seksyen 377A Kanun Keseksaan dihapuskan dan mengesyorkan Malaysia mematuhi prinsip-prinsip Yogyakarta. Dari sudut kesan jangka panjangnya, tuntutan ini bertujuan membolehkan perkahwinan sejenis dilaksanakan di Malaysia tanpa halangan undang-undang dan kawalan moral. Dalam proses UPR yang lalu, sebanyak 232 syor dikemukakan kepada Malaysia. Antaranya termasuklah daripada negara-negara seperti Jerman, Belanda dan Austria yang mendesak Malaysia menghapuskan undang-undang anti lliwat dan mengiktiraf hak-hak LGBT. Tiga bulan akan datang, iaitu pada Mac 2014, Malaysia perlu menyatakan pendirian terhadap syor-syor berkenaan. Justeru, Malaysia perlu bertegas untul terus beristiqamah menolak pengiktirafan hak-hak LGBT sebagaimana yang telah dilakukan sebelum ini.
Al-Qur’an memberikan amaran agar kebenaran tidak disembunyikan dan tidak dicampuradukkan dengan kebatilan. Hadith Nabi s.a.w. pula menjelaskan bahawa perkara halal dan haram adalah jelas. Justeru sesuatu yang salah dan batil tidak boleh sama sekali dituntut sebagai hak. Al-Qur’an juga mengajar bahawa bantuan hanya perlu diberikan terhadap kebaikan serta perkara berunsurkan ketaqwaan dan bukan sebaliknya. Justeru, kekeliruan dan kesesatan yang melanda masyarakat dunia kini perlu ditangani secara bijaksana dan berkesan. Perlu ditegaskan bahawa sumber hak yang hakiki ialah Allah dan hak tidak bersumberkan akal manusia. Akal tanpa bimbingan wahyu pasti mendorong kepada kesesatan akibat dikuasai hawa nafsu. Nafsu yang sering mendorong kepada kejahatan dan infiniti sifatnya pasti mendorong manusia menuntut dan melakukan kemungkaran secara tidak terkawal atau terbatas. Kebebasan yang tidak terbatas pada hakikatnya, hanya sesuai untuk kehidupan haiwan dan bukan sama sekali manusia. Memetik pandangan Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menghuraikan maksud ayat 179, Surah al-A`raaf, manusia bukanlah seperti haiwan yang hanya makan, minum, tidur, dan bersuka-suka dengan keseronokan nafsu semata-mata.