Perkembangan teknologi maklumat sememangnya menjadi satu rahmat kepada umat Islam keseluruhannya. Perkembangan mutakhir ini amat menuntut umat Islam agar bergerak lebih pantas seiring dengan perkembangan semasa, pantas merebut peluang yang ada dan perlu bijak menilai dan membuat pilihan terutama menerusi media sosial.
Sekiranya umat Islam tidak mengambil peluang seiring dengan perkembangan media baru ini maka mereka akan terkebelakang dalam mencorak arus perdana.
Sehubungan itu juga kita dapati ledakan maklumat yang dibawa oleh perkembangan teknologi maklumat ini turut membawa perubahan kepada kaedah untuk mendapatkan pelbagai maklumat. Perubahan yang berlaku kini amat hebat dan pantas. Sebarang kelekaan dan kealpaan boleh menyebabkan individu itu terpinggir, tertinggal atau barangkali tercicir dari arus perdana.
Sepatutnya umat Islam lebih kehadapan terutama dalam menguasai kemahiran menerusi media sosial yang menjadi tumpuan utama golongan muda. Hari ini golongan muda misalnya sudah mula berlumba-lumba membina komuniti siber melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter dan You Tube.
Boleh dikatakan lebih daripada lima puluh peratus tumpuan golongan muda gemar dan bergantung kepada media sosial dan lain-lain sumber dalam talian setiap hari untuk mendapatkan berita terkini secara online melalui telefon pintar, tablet atau menerusi komputer riba berbanding mendapatkan maklumat di perpustakaan atau bahan-bahan bercetak.
Malah kita perhatikan betapa ramai golongan muda yang menggunakan media sosial untuk meniru gaya tarian Korea yang terkenal sejak akhir-akhir ini dan menjadi sebutan seperti “Gangnam Style”, “K-Pop” dan sebagainya.
Persoalannya bagaimana mungkin media sosial hari ini mampu untuk melahirkan individu yang mempunyai akhlak mulia yang dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan negara jika golongan ini terdedah kepada perkara yang melalaikan?
Umumnya kita sedia maklum media sosial sangat berpengaruh. Melalui media sosial banyak manfaat yang boleh disumbangkan kepada Islam. Antaranya sebagai sumber penyebar maklumat yang sekaligus dapat mengembangkan ilmu pengetahuan menerusi media baru ini.
Di samping itu, media sosial misalnya dapat dijadikan salah satu medan dakwah kepada Islam yang boleh dianggap sebagai mekanisme jihad masa kini, alatan untuk nasihat menasihati, tegur menegur dengan cara baik, serta sesuai dijadikan medan amar makruf nahi mungkar. Keupayaan mengetengahkan kebenaran dan keadilan dalam segala bentuk dan perantara maklumat seharusnya menjadi agenda utama masyarakat Islam dalam media sosial hari ini.
Walau bagaimanapun, kekurangan kepakaran oleh pertubuhan-pertubuhan dakwah atau individu yang melibatkan diri dalam medan dakwah terutama dalam penggunaan media sosial misalnya sebagai salah satu saluran dakwah kontemporari kini menyebabkan pihak lain yang tidak bertanggungjawab menggunakannya.
Hal ini secara tidak langsung akan mengakibatkan penyebaran hadis-hadis palsu berleluasa atau dakwah yang sebenar yang ingin disampaikan masih ketinggalan di belakang. Kita berharap dengan penguasaan kemahiran menggunakan media sosial oleh para pendakwah misalnya dapatlah menerangkan isu-isu berbangkit kepada masyarakat dengan lebih cepat dan berkesan.
Berikutan itu, baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggesa agar para pendakwah dapat menguasai dan memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk menjadi medium dakwah yang boleh berinteraksi dengan masyarakat. Ia bukan sahaja boleh menjimatkan masa tetapi juga dapat menjimatkan kos dan tenaga.
Oleh itu, bagi memastikan para pendakwah menguasai pelbagai kemahiran dalam media sosial ini, maka pelbagai kursus dan latihan perlu diberi pendedahan yang menyeluruh agar para pendakwah kita tidak ketinggalan dalam arus perdana. Ini kerana kebanyakan golongan muda lebih tertarik mendengar dan melihat sendiri ceramah atau tazkirah menerusi You Tube berbanding menghadiri mana-mana kelas atau sesi ceramah di masjid.
Walau bagaimanapun, bagi masyarakat yang memerlukan pengetahuan menerusi media sosial ini mereka perlu menyaring terlebih dahulu segala maklumat yang terdapat di dalamnya. Tidak semua maklumat yang ada boleh diterima bulat-bulat.
Dalam menentukan keutamaan maklumat ini telah dijelaskan oleh al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” (al-Hujurat:6).
Ayat tersebut menuntut agar umat Islam menyelidik terlebih dahulu sumber maklumat sesuatu berita bagi menentukan kebenarannya demi menjaga kemaslahatan umat.
Meskipun media sosial ini dianggap khazanah yang menyajikan beraneka jenis maklumat, namun ada yang berupa maklumat yang perlu diproses dan ditapis terlebih dahulu. Sebarang maklumat yang menyeleweng serta bahan-bahan paparan yang memberi kesan negatif kepada fikiran perlu dihindarkan. Ini kerana ada maklumat palsu yang dikongsi di media sosial tanpa kesahihan.
Begitu juga perlu diingatkan kepada masyarakat sebelum berkongsi apa-apa jua maklumat dengan rakan-rakan, mereka perlu tahu bahawa maklumat tersebut diyakini kebenaran dan kesahihannya terlebih dahulu.
Oleh yang demikian, dalam menangani masalah ini ilmu pengetahuan yang dimiliki terutamanya ilmu agama memainkan peranan penting yang boleh bertindak selaku sistem penapis minda dalam membentuk minda yang sihat dan sejahtera.
Justeru, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan dalam menguasai kemahiran dalam media sosial, bukan sekadar menjadi pengguna biasa sahaja bahkan mampu untuk berjihad membangunkan sistem maklumat atau perisian tersendiri berasaskan panduan dan acuan Islam.
Namun, apa yang lebih penting individu itu perlu sedar dalam diri masing-masing untuk sekurang-kurangnya mengetahui apakah kepentingan media sosial ini, ke manakah halatujunya kepada masyarakat dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan sebagai medan untuk berjihad dan berdakwah ke arah kesejahteraan ummah.