Apa pun respons masyarakat terhadap isu LGBT yang sedang banyak diperkatakan hari ini pemahaman yang menyeluruh dan lebih mendalam perlu sebelum langkah dan usaha memperbaiki keadaan atau menghadapi isu ini boleh sama-sama dilaksanakan oleh semua pihak. Kesedaran wujudnya peranan semua pihak dan kerjasama antara mereka amat diperlukan adalah hakikat mutlak yang perlu disedari sebenarnya kerana isu LGBT amatlah kompleks sifatnya. Di dalam surah al-Fatihah kita memohon kepada Allah SWT “tunjukkanlah kami jalan yang lurus” dan di dalam konteks LGBT ini kita patut meyakini bahawa Dia telahpun menunjukkan jalan yang perlu dituruti melalui ayat-ayat seperti Surah al-A’raaf, ayat 80-81: Ingatlah tatkala dia (Luth) berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah (homoseksual), yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun sebelummu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu, bukan kepada wanita malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Peringatan/pengajaran ini diulangi dalam Surah al-Ankabuut, ayat 28-29 dan apa yang terjadi kepada kaum Luth turut diceritakan lagi dalam ayat 33-34 Surah al-Qamar. Melalui ayat 73, Surah al-Anbiyaa pula Allah menceritakan siapa (Nabi) Luth – orang yang diberi hikmah dan ilmu. Maka jika ia (Luth) mengatakan perbuatan homoseksual tersebut salah, maka usahlah disangkal seperti yang dibuat oleh sekumpulan ilmuan yang berlatar belakangkan ilmu agama sendiri di negara jiran misalnya. Di samping itu juga hadith yang diriwayatkan Jaabir mengatakan Rasulullah bersabda, “Tiada yang lebih aku takuti bagi umatku selain dari perlakuan kaum Luth”. Hadith Ahmad pula meriwayatkan Rasulullah SAW menjelaskan: “Dilaknati orang yang mengadakan hubungan jenis dengan haiwan dan mereka yang melakukan perlakuan (seks homoseksual) kaum Luth”.
Bagi mereka yang sedang dan mungkin akan terjebak dengan pelakuan LGBT dan bagi masyarakat umum yang mengalami kekeliruan, soalan bolehkah fenomena atau ‘gejala’ [‘gejala’ bermaksud tanda-tanda akan terjadinya sesuatu, alamat, petanda atau dari segi perubatannya ‘gejala’ bermaksud perubahan dalam fungsi badan seseorang yang menunjukkan tanda-tanda adanya sesuatu penyakit yang berkaitan] dibiarkan perlulah diamati secara yang paling serius.
Sekiranya fenomena ini hanya melibatkan “perasaan” tertarik kepada jantina yang sama seperti diri sendiri dan juga “identiti/imej diri” (contoh lelaki ingin menampilkan imej perempuan dan sebaliknya bagi wanita), mungkin keadaan tersebut belum begitu berat lagi. Perasaan dan imej masih terangkum dalam ruang privacy kehidupan seseorang individu tersebut. Akan tetapi apabila seperti yang baru-baru ini kita digemparkan oleh desakan kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biosexual, Transgender) yang ingin gaya hidup mereka diterima sebagai sesuatu norma masyarakat atau yang biasa, dengan disokong oleh hak dari segi undang-undang di dalam masyarakat, isunya sudah naik ke peringkat yang lain. Faktanya ialah kajian di Amerika Syarikat mendapati dalam tahun 2009 misalnya, 61% kes HIV yang baru dan 79% penyakit kelamin berjangkit adalah di kalangan kumpulan gay. Kumpulan gay dan lesbian juga 2-3 kali ganda mengalami gangguan kemurungan dan penyakit psikotik jika dibandingkan dengan masyarakat yang biasa. Namun atas nama hak asasi manusia gerakan ini mendapat sokongan kuat daripada kumpulan yang sama yang telah pun mendapat ‘penerimaan’ di barat khususnya di Amerika Syarikat misalnya. Mungkin menarik untuk kita mengetahui bahawa hanya pada tahun 1993 keadaan homoseksual diisytiharkan oleh World Health Organisation sebagai bukan sejenis penyakit mental. Inilah titik permulaan ‘kemerdekaan’ perlakuan ini.
Tujuan penulisan ini bukanlah hendak mendebatkan hak/perundangan Gerakan LGBT. Di peringkat antarabangsa pendirian negara pastinya dibuat menurut protokol dan instrumen yang sedia ada. Namun di peringkat sosial dan setempat mungkin tidak cukup sekiranya isu ini dilihat sebagai sesuatu yang cukup ditangani dan ditolak melalui bantahan-bantahan semata-mata walau pun bantahan-bantahan ini merupakan hak yang sah pihak-pihak yang melaksanakannya yang melihat mereka juga berhak menolak gaya hidup ini khususnya untuk menjaga kemaslahatan generasi depan. Cuma mungkin elok diberi tumpuan tentang boleh tidaknya perlakuan LGBT dibiarkan seadanya, khususnya bagi mereka yang melakukannya secara diam-diam? Perlu difahami gaya hidup LGBT bukan hanya melibatkan penyakit fizikal dan mental bahkan jika disahkan melalui undang-undang boleh dan telah pun terbukti merosakkan keturunan manusia. Jelaslah betapa LGBT mampu memusnahkan maqasid syariah yang melindungi nasab dan keturunan dengan sekelip mata. Bagi mereka yang mengakui beragama Islam, Allah SWT mengingatkan kita di dalam Surah as-Shaff (1-5), Dia amat tidak menyukai orang yang tidak berbuat seperti yang diperkatakan dan sekiranya setelah ia tahu apa yang salah dan yang betul, manusia yang mengakui Muslim itu masih melakukan yang dilarang, maka Allah akan benar-benar akan menyelewengkan hatinya.
Bagi orang Islam juga, kita perlu sering ingat mengingati seperti yang dijelaskan di dalam Surah al-Asr – sesungguhnya setiap kita rugi kecuali yang beriman (mempercayai Allah bukan sahaja wujud bahkan dia menyaksikan segala-galanya), beramal saleh, berpesan-pesan, tentang perkara yang benar/betul/baik (mengikut Quran dan Hadith dan seluruh perbuatan dan perkataan Nabi adalah manifestasi/contoh apa yang dimahukan oleh Allah kepada kita) dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Surah as-Shaff, ayat 4 juga menjelaskan “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang kokoh.” Kepada mereka yang masih merasa kebebasan adalah hak mereka tanpa syarat, kenapakah kita perlu akur kepada Allah ialah kerana Dia yang mencipta kita, Islam agamaNya, bermaksud akur/menuruti kehendak/suruhanNya dan suruhanNya adalah dalam rangka Ia amat sayang (rahim) kepada kita dan suruhanNya adalah yang sesuai dengan fitrah kita yang sebenarnya. Untuk kita dapat membayangkan kasih Allah lihatlah proses yang berlaku di dalam rahim seorang ibu semasa manusia di peringkat janin. Segala keperluan janin/manusia dipenuhi melalui jasad ibu melalui tali umbilikal yang merupakan saluran pemakanan yang diperlukan untuk tumbesaran. Segala keperluan seperti oksigen, air dan lain-lain adalah daripada uri dan darah ibu. Apabila lahir lihatlah bayi yang terlentang ini – segala keperluannya dipenuhi oleh penjaga/ibu dan bapanya. Hakikatnya segala kasih sayang yang diterima oleh bayi ini sehinggalah manusia itu dewasa pun dengan segala keperluannya di dalam setiap juzuk halus yang membentuk jasadnya dipenuhi/dijagai oleh Allah SWT terus menerus. Inilah contoh rahman dan rahim Allah yang tidak terkira banyaknya. Al-Quran menjelaskan bahawa tidak akan bergerak suatu zarah pun tanpa izin Allah, Dialah yang menghidupkan dan mentadbir seluruh Allah di setiap saat, satu hakikat yang telah dibuktikan oleh sains hari ini. Kenapakah masih tergamak kita tidak menghormati dan mentaatiNya?
Setelah dijelaskan melalui ayat-ayat al-Quran dan Hadith larangan-larangan ke atas perbuatan LGBT, kenapakah masih ada bantahan lagi? Mungkin ramai yang tidak sedar tentang panduan-panduan tersebut dan juga masih memerlukan evidence/bukti empirikal kemudaratan seks sejenis kepada manusia. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini LGBT ada tiga dimensi: perasaan, perlakuan seksual dan imej-identiti. Sebab terjadinya LGBT ialah pertama sebab: tabii – seperti kita lihat lahirnya khunsa (bukan lelaki dan bukan perempuan secara anggota seksual). Laporan perubatan mengatakan 1% bayi-bayi yang dilahirkan adalah berkeadaan begini. Situasi boleh diperbaiki dengan anak/bayi ini melalui pembedahan – untuk menjadi lelaki keseluruhannya atau perempuan. Golongan ini digelar interseksual, dan ada di antara golongan ini terdiri dari mereka yang menyoal betul/salahnya tindakan doktor/ibu bapa yang menentukan jantina yang harus ada pada mereka, iaitu mereka mahu dibiarkan keadaannya sedemikian (khunsa) sehingga mereka lebih dewasa dan dapat mengalami sendiri orientasi seksual mereka. Golongan ini hari ini turut menyuarakan isu mereka dan mereka (I – interseksual) sudah pun menjadi anggota LGBT yang kini menjadi LGBTI; Kedua, persekitaran – faktor-faktor psikososial mempengaruhi orientasi seksual seseorang. Ini mungkin berkaitan dengan dimensi emosi (perasaan suka pada jantina yang serupa dan tertarik kepada mereka secara fizikal) yang boleh membawa kepada perbuatan/perlakuan seksual sesama jenis bagi gay dan lesbian, dan bagi yang biseksual berkeinginan mengadakan hubungan fizikal dengan kedua-dua jantina. Bagi transgender, dimensi fenomena LGBT yang ketiga beroperasi, iaitu individu yang berkenaan ‘merasakan’ ia berada di dalam jasad yang tidak sesuai dengan ‘jiwa’nya yang berbeza jantina dari jantina jasadnya tadi. Namun, sama ada mereka terlibat dengan perlakuan seksual atau tidak, mereka akan terdedah juga secara prinsipnya kepada hubungan sejenis yang amat dilarang bagi manusia.
Sebenarnya fenomena LGBT merupakan satu daripada berbagai gejala sosial yang lain yang kait mengait di antara satu sama lain khasnya yang berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan dan kasih sayang. Hari ini masyarakat sering dikejutkan (dan kejutan-kejutan ini seolah-olah semakin hari semakin kurang kesannya kepada kita) juga dengan keadaan atau fenomena anak yang menyaman dan menghalau ibu bapa serta sewenang-wenangnya menghantarkan mereka atau meninggalkan mereka di rumah orang-orang tua. Sudah begitu longgarkah ilmu tentang adab untuk hidup sesama manusia, khasnya keluarga?
Di sinilah Syariah Islam memberi panduan kepada kita. Dari ayat-ayat al-Quran dan Sunnah Nabi muncullah adab-adab dan panduan bagi manusia berkelakuan di dalam segala dimensi kehidupannya. Dalam konteks yang diperkatakan, ada adab bersuami isteri dan mendidik anak. Sekiranya berlaku pertelingkahan antara anak dan ibu bapa, jalan penyelesaian yang terakhir ada dua – tuntutan hak dari segi undang-undang atau pun bagi yang mampu dari segi spiritual dan keimanan, memaafkan orang yang “bersalah” demi/kerana Allah dan begitu banyak sekali ayat-ayat Quran menyatakan betapa besarnya pembalasan orang-orang yang melaksanakan yang sedemikian dan setiap kebaikan yang dilakukan merupakan ibadah yang merupakan sebab dan tujuan manusia dijadikan.
Berbalik kepada persoalan LGBT apakah aspek yang lebih terlarang atau yang paling terlarang dari sudut agama – aspek perasaan, identiti atau perbuatan? Jawapannya pastilah aspek perbuatan yang disokong oleh akal dan dapatan pakar yang mengkaji walau pun aspek perasaan dan identiti jika tidak dikawal akan membawa, lambat laun kepada aspek perbuatan juga. Bagaimana sekiranya seseorang itu menjadi LGBT lantaran faktor-faktor persekitaran yang telah memangsakannya, contohnya seseorang itu telah pernah diliwat dan ini membawa dia kepada keadaan gay atau dan biseksual. Begitu juga kelesbianan seseorang wanita itu adalah akibat ‘rasa’ dan pengalaman yang sangat tidak positif dengan bapanya atau tokoh-tokoh lelaki yang signifikan di dalam hidupnya? Jika hendak dikaji secara sosio-budaya, amat banyak sekali faktor yang boleh diketengahkan dan ramai pihak yang boleh dipersalahkan. Di manakah aqidah dan jati diri seseorang yang bergelar Muslim itu?
Dari sudut mengatasi masalah LGBT, mungkinkah ada yang menyedari dan mengenali hal ini dan sebenarnya mempunyai perasaan untuk kembali ke pangkal jalan. Realiti dan kemungkinan ini memang wujud dan dialami oleh SIDIM (Sahabat Insan dan Iman Malaysia) sebuah NGO yang telah berjaya mentarbiahkan ratusan individu LGBT dan individu-individu yang bermasalah sosial kronik yang lain. Mengenali falsafah dan kaedah usaha-usaha yang dilakukan oleh SIDIM mengingatkan kita akan sifat dan peribadi mengasihi dahulu sebelum menghukum yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Mungkinkah ada saudara-saudari kita yang terjebak kerana mereka tidak mempunyai ‘ilmu’ agama dan perubatan tentang fenomena ini? Bukan tujuan artikel ini untuk membela dan menyokong tetapi untuk mengingatkan kita tentang tiga tingkatan iman kita apabila menghadapi perkara yang mungkar. Ayuh, marilah sama-sama kita sebagai individu, ibu bapa, guru-guru, para ulama, para doktor dan para pembuat dasar merapatkan shaff kita dan bergerak ke arah tingkatan iman yang terbaik dengan melakukan sesuatu tentang gejala yang sangat berbahaya ini. Wallahu’alam.