Sejak beberapa dekad yang lalu, kerajaan Malaysia telah berusaha untuk mengintegrasikan wanita dalam arus pembangunan negara. Dengan pengisytiharan Dekad Wanita, Majlis Penasihat Negara Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) telah pun ditubuhkan yang bertujuan untuk menasihati kerajaan tentang hal-hal yang berkaitan dengan wanita dalam pembangunan.
Kemudian, Urus Setia Hal Ehwal Wanita telah ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mentadbirkan hal-hal yang berkaitan dengan wanita. Pada 1989 pula, Dasar Wanita Negara diperkenalkan. Kini, apa yang bermula sebagai satu urus setia telah dinaiktarafkan menjadi sebuah kementerian – Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Begitulah seriusnya kerajaan Malaysia dalam membangunkan kaum wanita.
Usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan wanita telah berjaya. Malah, dalam aspek tertentu, pendidikan misalnya, wanita Malaysia lebih hebat daripada lelaki. Walaupun usaha-usaha ini perlu diteruskan, namun, kita seharusnya tidak lupa tentang satu aspek iaitu pengurusan kejayaan. Dalam kata-kata lain, kita perlu membantu golongan wanita ini untuk mengurus kejayaan mereka agar kejayaan itu dapat diteruskan.
Kejayaan mengintergrasikan wanita dalam arus pembangunan negara dapat disaksikan pada bilangan wanita yang bekerja yang mana bilangan ini tidak pernah berkurangan. Wanita Malaysia telah menceburkan diri dalam pelbagai bidang dan memegang pelbagai jawatan, dari yang di peringkat rendah hinggalah yang tertinggi.
Fenomena wanita bekerja, walaupun dialu-alukan, ia bukanlah hadir tanpa masalah. Wanita yang bekerja ini berhadapan dengan pelbagai masalah, baik di rumah, mahupun di pejabat.
Di rumah, wanita bekerja berhadapan dengan masalah pengurusan rumah tangga dan penjagaan anak. Di pejabat, mereka berhadapan dengan masalah seperti persaingan dengan rakan sekerja lelaki, yang akibat dari streotaip yang ada, menjadikan mereka lebih bernilai di pasaran kerja berbanding pekerja wanita.
Itu hanyalah sebahagian daripada masalah yang dihadapi oleh wanita bekerja pada hari ini. Perkembangan semasa memberitahu kita bahawa dalam beberapa tahun lagi, bukan masalah ini sahaja yang perlu dihadapi oleh wanita bekerja, tetapi juga masalah baru iaitu masalah hubungan lelaki-perempuan, apabila semakin ramai wanita yang berpendidikan dan berjawatan lebih tinggi daripada lelaki.
Manakan tidak, bila kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi ialah 70 peratus perempuan dan 30 peratus lelaki, maka sudah pasti bila mereka keluar nanti, lebih ramai wanita berbanding lelaki yang akan masuk ke sektor pekerjaan. Ini tidak sepatutnya dilihat sebagai isu pendidikan semata-mata. Sebaliknya ia melibatkan berbagai isu lain dan yang lebih penting, kita perlu melihat implikasinya terhadap hubungan lelaki-perempuan, baik di rumah mahupun di pejabat dalam budaya masyarakat yang menganggap kedudukan lelaki adalah lebih tinggi berbanding wanita.
Di rumah, isu pengurusan rumah tangga dan penjagaan anak, mungkin dapat diselesaikan dengan mengambil pembantu rumah. Tetapi, masalah mungkin timbul dalam hal membuat keputusan keluarga. Suami, sebagai ketua keluarga, mungkin mahu mempunyai kata pemutus dalam membuat keputusan. Sebaliknya, isteri, sebagai penyumbang yang lebih besar dalam pendapatan keluarga dan yang lebih berpendidikan, mungkin juga mahu mempunyai kata putus dalam membuat keputusan untuk keluarga itu. Dapatkah keluarga ini mengambil jalan tengah?
Di pejabat pula, oleh kerana lebih ramai wanita yang memasuki pasaran buruh berbanding lelaki dan mereka pula adalah yang lebih berkelayakan, maka sudah pasti kebanyakan jawatan, yang tinggi mahupun yang sebaliknya, akan dipegang oleh wanita. Jadi, mereka akan berurusan dengan rakan sekerja lelaki dan orang bawahan lelaki yang semakin mengecil bilangannya. Dapatkah hubungan ini berjalan dengan lancar?
Begitu juga dengan pekerja bawahan wanita, dapatkan kepimpinan wanita lain diterima dengan baik? Kajian di Amerika Syarikat mendapati, pekerja wanita yang menolak kepimpinan wanita dan bukannya pekerja lelaki. Jika ini berlaku di Malaysia, maka sudah pasti wanita yang berjaya ini akan berhadapan dengan satu masalah lagi.
Masalah ini boleh mengganggu tumpuan wanita dan menjejaskan sumbangan mereka kepada negara. Apa yang lebih kita bimbangkan, masalah ini mengganggu aspek-aspek tertentu kehidupan wanita itu misalnya rumah tangganya atau keberkesanan pengurusannya. Oleh itu, adalah penting untuk kita menyedari tentang hal ini dan cuba untuk membantu dan memandu mereka dalam berhadapan dengan situasi ini
Memikirkan hal ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merasa mengambil inisiatif untuk membincangkannya dalam satu seminar yang akan diadakan pada 5 – 6 Ogos ini. Ini kerana IKIM tidak mahu kejayaan dalam membangunkan wanita ini jadi sia-sia hanya kerana kita tidak mempersiapkan kaum wanita untuk berhadapan dengan cabaran yang mendatang.
Perkara-perkara seperti inilah yang akan diketengahkan dalam seminar tersebut untuk menyedarkan setiap lapisan masyarakat tentang isu yang mungkin timbul dan bagaimana untuk berhadapan dengannya mengikut perspektif Islam. Oleh kerana isunya ialah tentang hubungan lelaki-perempuan pada masa yang akan datang, maka seminar ini bukanlah untuk wanita semata-mata. Sebagai pasangan hidup wanita, penyertaan kaum lelaki amat dialu-alukan.