Konsep perhubungan perindustrian pada hakikatnya terbahagi kepada dua. Pertama, interaksi di antara hamba dengan Pencipta, kedua, interaksi antara manusia sesama manusia. Setiap individu tidak terkecuali daripada kedua-dua perhubungan ini sama ada secara sedar atau sebaliknya. Kefahaman konsep ini amat penting dalam urusan seharian antara pekerja dan majikan bagi menjamin keharmonian industri.
Sifat hormat sesama kita wujud kerana kita percaya dengan cara menghormati orang lain, kita akan menerima kesan daripada tindakan kita itu. Begitu juga dengan sifat menghormati pelanggan. Sekiranya pelanggan tidak menerima layanan sewajarnya, maka permintaan kepada barangan atau perkhidmatan kita akan terjejas.
Ini adalah qadak dan qadar Allah yang menjadi keyakinan kita. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa tiada keimanan bagi orang yang tiada amanah. Dalam beberapa hadis yang lain dalam konteks yang berbeza-beza, Rasulullah menyebutkan bagaimana sifat malu, menjaga kebersihan, menyeru kepada kebaikan dan menegah kepada keburukan adalah sebahagian daripada iman. Jelasnya, kita perlu menerapkan kepercayaan serta akidah yang kukuh dalam masyarakat industri.
Kita sedar bahawa penguasaan ilmu pengetahuan dalam apa saja bidang amat penting. Tanpa ilmu pengetahuan, bukan sahaja sistem nilai ini gagal berfungsi, tetapi keharmonian perhubungan perindustrian juga akan lumpuh.
Justifikasi yang telus dalam perhubungan perindustrian bukan sahaja untuk kepentingan sendiri tetapi perlu disampaikan dan dijelaskan kepada pihak yang satu lagi. Tindakan ini dibuat bagi mengelak timbulnya ketidakpuasan hati, salah faham atau perkara-perkara negatif lain.
Di samping itu, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa dalam perhubungan perindustrian, perlunya ada keseimbangan atau keadilan. Sistem ganjaran dan pakej faedah dan ganti rugi perlu diamati dengan teliti sama ada terdapat elemen yang tidak seimbang dalamnya.
Penangguhan bayaran gaji menjejaskan kemampuan kuasa beli pekerja dan penyusutan nilai yang dibayar. Seorang ketua keluarga yang kesempitan wang tidak sanggup melihat ahli keluarga menderita kerana memerlukan keperluan asas mereka. Tekanan perasaan ini boleh membawa kepada tindakan di luar jangkaan seperti gejala tidak sihat, mencuri, ragut, pelacuran, pinjaman daripada `ah long’ dan sebagainya.
Penggubalan undang-undang sebenarnya membawa bersamanya nilai etika dan mesej keadilan. Menyentuh tentang kehendak undang-undang yang dikuatkuasakan di Malaysia, majikan dan pekerja tertakluk kepada beberapa undang-undang utama yang perlu diberi perhatian iaitu Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Perindustrian 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta beberapa akta lagi.
Penggubalan perundangan ini adalah sebagai satu sandaran supaya kedua-dua belah pihak dapat berurusan dengan cara yang lebih saksama dan adil. Namun, ada di kalangan kita yang menggunakan peruntukan undang-undang bagi tujuan memanipulasi fakta seperti membuat laporan kewangan dan sebagainya.
Beberapa jenis akaun dibuat untuk disesuaikan dengan tujuan sehingga menimbulkan keraguan. Sifat negatif ini boleh menghalang kemurnian perhubungan di antara majikan dan pekerja sebagai contoh, sekiranya sistem gaji mengikut produktiviti hendak dilaksanakan.
Walaupun ada pihak yang menganggap terdapat peruntukan yang tidak mempamerkan nilai etika seperti peruntukan Seksyen 37(1)(a) yang dibaca bersama Seksyen 2 Akta Kerja 1955-dalam mendefinisikan kelahiran (confinement), ada pihak mempertikaikan bahawa kelayakan mendapat cuti bersalin tidak hanya dihadkan kepada kelahiran di atas dasar perkahwinan yang sah.
Perlu dijelaskan bahawa anak yang diperoleh hasil perhubungan yang tidak sah di sisi undang-undang, tidak semuanya berpunca daripada salah laku liar atau pilihan ibu tersebut. Setelah melahirkan anak tersebut dalam keadaan terbeban, majikan pula tidak menanggung elaun bersalin sedangkan pekerja tersebut tiada tempat bergantung harap.
Jelas, kerukunan perhubungan perindustrian juga perlu menitikberatkan kepentingan sosial pekerja dalam jangka masa panjang.
Undang-undang dan terma-terma pekerjaan ini merupakan titik tolak penyediaan faedah minimum yang perlu dipatuhi. Namun, Islam amat menggalakkan umatnya bersikap ihsan. Kalaupun tidak mencapai ihsan, sekurang-kurangnya perkara ini boleh memenuhi prinsip keadilan.
Dalam menjamin keharmonian perhubungan ini juga, kita perlu menanam ke dalam jiwa agar sentiasa memikirkan kepentingan perbuatan kita ada kesannya kepada orang lain. Selama mana perbuatan kita hanya untuk satu pihak sahaja, selama itu kita tidak dapat mencapai kebaikan hakiki.
Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain, seburuk-buruk manusia, orang yang memberi kemudaratan kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibn Majah)
Ruang lingkup perhubungan perindustrian sebenarnya amat luas dan dinamik. Namun, yang paling penting ialah sikap proaktif pihak-pihak terbabit menjayakannya. Sikap ini hadir bersama-sama individu atau pihak yang mempunyai matlamat dan objektif yang jelas ke arah kecemerlangan serta merangka-rangka usaha ke arahnya.
Inilah motivasi untuk menggerakkan keharmonian interaksi dan perhubungan perindustrian sebagaimana yang disarankan oleh ajaran Islam. Jadikanlah al-Quran sebagai `panduan manual’ kerana al-Quran itu didatangkan khusus kepada kita sebagai rahmat yang amat besar.