ISLAM diutus Allah untuk menyusun setiap kegiatan manusia, termasuk penyusunan aktiviti dalam sesebuah organisasi supaya kerja bermutu tinggi dapat dihasilkan.
Penumpuan kepada usaha mewujudkan sistem pengurusan organisasi memastikan setiap pekerja berfungsi dengan baik, sekali gus meningkat penghasilan bermutu.
Bagi tujuan itu, satu sistem pengurusan perlu dirancang dan dilaksana mengikut spesifikasi ditentukan.
Melalui piawaian sistem pengurusan, pencapaian mutu sentiasa boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Bagi mewujudkan penyusunan organisasi menepati piawaian itu, satu metodologi pendekatan yang sesuai dan praktikal amat diperlukan.
Dalam proses pengurusan organisasi, pekerja yang menganggotai sesebuah organisasi adalah penentu kepada pencapaian mutu prestasi. Justeru, dia hendaklah diberi keutamaan. Pekerja pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan sosial.
Memahami hakikat itu sangat perlu untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam semua tugas.
Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap pekerja berkeinginan untuk menumpu kepada kepentingan diri. Di samping itu, sebagai makhluk sosial, lumrahnya, pekerja saling memerlukan antara satu sama lain dalam melaksana tugas dengan jayanya dalam organisasi.
Pendekatan Islam mengemukakan usaha dan tindakan yang mengharmonikan kepentingan individu pekerja dengan tanggungjawabnya kepada organisasi ke arah pencapaian prestasi organisasi keseluruhannya.
Untuk menjayakan keharmonian ini, pada peringkat pekerja, Islam mengutamakan pendidikan akhlak.
Ia bagi membolehkan sahsiah (personality) individu pekerja dibentuk dengan memiliki sikap (boleh dipengaruhi oleh pandangan hidup) yang positif dan mengamal peri laku mulia. Usaha ini perlu kepada pendidikan yang dapat membantu kefahaman dan menjalani latihan rohani agar tindak tanduk yang negatif dapat dikurangkan.
Akhlak dan peri laku pekerja sepatut mengarah kepada tanggungjawabnya untuk menghayati segala nilai luhur dalam semua urusan pengendalian organisasi. Pendidikan akhlak dengan itu dapat membentuk sikap mulia, terbuka dan positif.
Islam turut memberi tumpuan kepada peningkatan daya kemahiran dan kepakaran pekerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi dengan itu mesti menganggap pekerja sebagai sumber terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka.
Individu yang hendak dibangun mesti memiliki tiga ciri iaitu sikap terbuka; memahami hakikat dan budaya organisasi serta daya kepakaran tinggi pada peringkat tahap pekerjaan masing-masing.
Tanpa ketiga-tiga ciri ini, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap rendah. Bahkan, hanya memiliki salah satu daripada ciri ini, tidak mungkin membawa kepada kejayaan membanggakan.
Sifat mementing diri di kalangan pekerja adalah daya penggerak yang akan dapat memberi sumbangan positif kepada kemajuan sesebuah organisasi jika ia dapat dididik dan diletak pada tempatnya.
Tanpa sifat ini tidak mungkin individu pekerja akan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan diri.
Justeru, bagi Islam, daya usaha dan kreativiti seseorang pekerja akan dapat dijayakan jika sistem organisasi memberi ruang secukupnya kepada kebebasan usaha pekerja.
Di samping itu, Islam memberi penekanan kepada pendidikan dan latihan rohani supaya sifat mementing diri dapat diletak pada tempat sebenar. Dengan pendekatan ini, Islam berkeyakinan bahawa sikap serta peri laku individu akan berbentuk positif dan optimis.
Hasil keyakinan kepada peranan pekerja dalam sistem penyusunan organisasi, Islam dengan itu memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia secara menyeluruh.
Ia akan dapat meningkatkan daya kepakaran dengan disertai nilai akhlak mulia. Dalam sistem penyusunan organisasi, ruang untuk individu berusaha serta membuat keputusan perlu diperluaskan.
Struktur membuat keputusan organisasi dengan itu akan diagihkan ke bahagian dan unit tertentu mengikut keperluan dan bidang tugas yang relevan.
Begitu juga sepatutnya semangat tolong menolong dan budaya bekerja secara berpasukan perlu dipupuk dalam sesebuah organisasi.
Semangat kerja berpasukan dengan sekali gus dapat melaksanakan mekanisme syura atau perbincangan dalam merancang tugas. Di samping itu, dapat mengurang kerenah pekerja dalam menjalani tugas organisasi.
Kecemerlangan dalam menghasilkan produktiviti dan kualiti tugas adalah natijah daripada memiliki pandangan hidup itu yang dapat diterjemahkan dalam prinsip pengurusan dan penyusunan organisasi.
Hasil daripada menerajui pengurusan mengikut perspektif di atas, semangat muafakat akan dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi.
Pelaksanaan prinsip keadilan dalam semua urusan pengurusan akan memperkukuhkan suasana dan budaya muafakat dalam segala bentuk urusan tugas dan tanggungjawab. Bahkan, kemuncak kepada wujudnya prinsip keadilan bagi sesebuah organisasi akan menghasil kejayaan cemerlang dalam bentuk produktiviti dan kualiti kerja pekerja.
Jika umat Islam mahu maju dan kompetitif, ia perlu menggalakkan organisasinya mengamal sistem piawaian pengurusan. Penghayatan sistem piawaian pengurusan menjamin bahawa mutu tertentu mampu sentiasa dicapai.
Tanpa penghayatan itu, jaminan cara proses pengendalian dalam organisasi dan penghasilan produk dan perkhidmatan tidak akan menentu dari segi mutunya. Tanpa jaminan mutu produk dan perkhidmatan, sukar untuk kita membabitkan diri dalam arena global.
Dalam era globalisasi, setiap organisasi terpaksa menghadapi persaingan sengit. Oleh itu, kemampuan bersaing memerlukan kemampuan bukan saja jaminan mutu, bahkan membaharui sistem sedia ada, mengurus, mencipta dan menghasil produk serta perkhidmatan baru yang berkualiti setaraf dengan penghasilan negara maju.
Dalam kita menggubal piawaian berasaskan prinsip dan tuntutan Islam, unsur terpenting adalah piawaian Islam yang bukan saja menekankan jaminan mutu, bahkan mempunyai ruang yang membolehkan organisasi terbabit sentiasa berusaha meningkat mutu penghasilan ke peringkat termampu pada satu-satu ketika. Peningkatan kepada mutu penghasilan adalah bersifat dinamik dan tidak statik.
Di samping usaha yang berterusan untuk meningkat mutu penghasilan, aspek kebajikan anggota pekerja perlu dijaga.
Bagaimana maju pun sistem pengurusan organisasi, faktor penentu kepada kejayaan tetap bergantung kepada kewibawaan anggota pekerja.
Menepati pendekatan Islam yang bersifat pelbagai-dimensi semua aspek dan keperluan akan diambil kira secara syumul dan sepadu.