Sebagaimana modenisasi itu di anggap sebagai satu proses pembangunan yang bersepadu, proses membangunkan kembali Islam juga adalah satu proses pembangunan yang bersepadu. Bagaimanapun, arah, kualiti, kaedah dan pendekatan yang menggerakkan pembangunan kedua-duanya adalah berbeza. Bermula daripada kebangkitan yang menggerakkannya, sehinggalah ke arah yang dituju dan kesudahannya juga adalah berbeza.
Latarbelakang kebangkitan Islam dan kebangkitan pemodenan tidak serupa. Kebangkitan Islam bermula dengan turunnya wahyu pertama yang memberi perintah supaya membaca. Kebangkitan gerakan moden pula muncul daripada tekanan kegelapan yang diakibatkan oleh penyelewengan agama dan desakan ke arah kehidupan yang lebih selesa. Seringkalinya, pergerakan pemodenan mempunyai unsur-unsur penentangan dan pemberontakan terhadap pergerakan agama, dan melalui pergerakan sekularisma berjaya pula memencilkan agama daripada kehidupan serta mengecilkan fungsinya seperti keimanan yang dilihat dari sudut yang sempit dan kepercayaan individu semata-mata.
Ini amat berbeza dengan pembangunan yang berasaskan Islam, di mana sebarang penguasaan terhadap sesuatu didahului dengan kemajuan dan pembangunan kerohanian manusia. Tumpuan pembangunan seperti ini ialah pembinaan dan pembangunan insan yang berasaskan ketinggian rohani, mengikut acuan yang ditentukan oleh al Quran. Al Quranlah yang menjadi sumber rujukan yang menggerakkan pembangunan yang berpusatkan kepada pembangunan manusia. Proses pembangunan ini berlaku di bawah bimbingan langsung Rasullullah s.a.w. yang tidak terkeluar daripada kehendak al Quran. Arahan dan bimbingan baginda telah melahirkan generasi qurani yang unik dengan roh dan minda yang dicernakan di dalam acuan al Quran.
Di dalam proses pembinaan insan rabbani yang terbentuk sahsiahnya daripada ketinggian roh, al Quran memberi penekanan kepada pembentukan minda qurani yang bertitik tolak daripada keimanan dan pandangan hidup yang jelas serta mempengaruhi corak kehidupan generasi pertama Islam dan menentukan bentuk tingkahlaku dan akhlaknya.
Minda al Quran berunsurkan iman ini, melahirkan dinamika dengan pembentukan aktiviti akal yang cergas berfikir. Melalui aktiviti akal yang sebeginilah akan tercetusnya dinamika masyarakat yang menggerak perubahan. Akal yang sentiasa dihidupkan dengan aktiviti berfikir tidak mungkin statik, bahkan ianya sentiasa dinamik. Dari sumber inilah generasi Islam yang pertama mendapat dinamika untuk bergerak dan mara ke hadapan, di mana ianya menjadi tenaga penggerak yang teguh dan mendorong ke arah pembangunan.
Di kalangan generasi qurani pertama ini, dinamika akal ini sentiasa berada seiring dengan keimanan dan kerohanian. Integrasi iman yang teguh dan akal yang aktif sentiasa membentuk acuan yang mencorakkan pembangunan masyarakat dan negara dan menentukan arahnya. Ia membentuk paradigma di dalam kegiatan dan aktiviti kaum muslimin.
Di zaman Rasullullah s.a.w. al Quran dijadikan sebagai asas bagi membina pemikiran dan minda untuk menjayakan kehidupan dunia dan akhirat demi untuk membentuk masyarakat yang maju bagi membentuk generasi al Quran. Generasi yang dibentuk dengan acuan al Quran adalah generasi yang berjaya membentuk dan menanam unsur-unsur takut kepada Allah, membina jiwa berani, merdeka dan bebas. Matang di dalam memberikan buah fikiran dan membuat keputusan, sentiasa melahirkan idea-idea yang bernas dan membina.
Pemikiran yang bersifat menyeluruh akan membentuk minda yang sempurna dan bijaksana di samping memantapkan keimanan. Minda yang positif bersikap tidak putus asa terhadap rahmat Allah, tidak sombong dan lupa diri bila diberi kejayaan, kerana itu semua adalah dari Allah. Inilah minda quranik. Minda yang mempengaruhi pembentukan akhlak yang tinggi, melahirkan semangat pengorbanan dan tidak pentingkan diri sendiri.
Sayangnya, di zaman informasi kini, manusia kagum dengan kemajuan industri sains dan teknologi, kekuatan dan kestabilan politik, ketenteraan, ekonomi, yang kesemuanya mereka bina sendiri dengan asas yang rapuh, yang zahirnya kelihatan gagah dalam segala hal tetapi gagal untuk menyelamatkan manusia dan alam.
Nasib Malang yang menimpa umat Islam kini terus mengepung mereka dari segenap penjuru sehinggakan kepesatan pembangunan zaman moden yang seharusnya menjanjikan keselesaan dan keharmonian hidup turut melahirkan kesan sampingan yang meruntuhkan moral dan kemanusiaan. Melahirkan manusia yang sering hilang pertimbangan dan mudah menjadi keliru. Yang tidak tahu batas-batas agama, dan tidak kurang juga yang mahu bercakap dengan hujah-hujah tetapi sebenarnya jahil dan menyesatkan. Maka untuk itulah, untuk menyelamatkan manusia dari kekeliruan ini, kita perlu mempunyai agenda pembangunan manusia yang baik dan tersusun, yang dapat membetulkan arah dan matlamat hidup yang berasaskan wahyu Ilahi serta mengukuhkan moral kehidupan mereka.
Di saat seperti inilah kita perlu melihat kembali kepada nilai-nilai yang dibawa oleh al Quran dan beramal dengan nilai-nilai tersebut. Hanya melalui penghayatan nilai-nilai al Quran yang menyeluruh mampu untuk membina kembali tapak kemajuan yang kukuh, dan menuju kepada matlamat yang jelas dan terang. Memang telah jelas dan terbukti bahawa ajaran Islam mengandungi landasan yang lurus dan prinsip-prinsip yang membawa kemajuan dan kesejahteraan hidup. Tetapi harus juga difahami bahawa yang menentukan keberkesanan prinsip-prinsip kehidupan itu ialah cara bagaimana kita mengamalkan agama. Cara bagaimana kita memahami Islam dan bagaimana kita beramal dengannya juga turut menentukan samada prinsip-prinsip Islam itu berkesan di dalam membina kemajuan atau sebaliknya.
Untuk itu, kita perlu kepada perubahan pandangan terhadap hidup dan pemikiran supaya serasi dengan tuntutan al Quran demi membentuk generasi quranik yang diidamkan. Sebarang bentuk aktiviti individu dan masyarakat hendaklah menjurus kepada pengabdian mutlak kepada Allah dengan berlandaskan ajaran yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w. Masyarakat perlu disedarkan bahawa hidup ini adalah sementara dan manusia diberi tugas yang berat sebagai khalifah untuk mentadbir alam. Untuk itu al Quran perlu dijadikan panduan bagi merangka corak kehidupan manusia dalam segenap aspek.
Justeru itu, dalam usaha untuk membina dan membangunkan kembali kekuatan ummah, kita harus melihat dengan serius cara kita beragama. Kita harus mengkaji adakah cara masyarakat kita beragama itu berada di dalam keadaan yang benar-benar serasi dengan ajaran Islam dan menepati kehendak beragama yang sebenar. Malangnya, sebahagian besar daripada kita mengambil mudah perkara ini dan merasa puas dan memadai dengan sebahagian daripada ajaran Islam yang diamalkan. Dalam banyak hal, hubungan yang kabur antara masyarakat dan Islam diterima sebagai hubungan yang betul yang sekaligus meletakkan agama sebagai faktor yang menyumbang kepada kepincangan apabila masyarakat itu mundur. Hakikat sebenarnya, tetapi ramai yang tidak mengakuinya, ialah kesilapan memahami dan mengamalkan agamalah yang menjadi puncanya.