George Sarton di dalam bukunya Introduction to the History of Science telah menyenaraikan nama-nama tokoh ahli sains Islam di antara 750 dan 110 Masihi yang telah membawa ilmu sains ke tahap yang lebih tinggi lagi. Katanya di dalam buku tersebut: “Sekiranya ada yang memberitahu anda bahawa Zaman Pertengahan tiada berlaku perkembangan sains, hanya sebutkan nama tokoh-tokoh Islam kepada mereka.”
Pandangan George Sarton ini menidakkan pandangan majoriti yang mengatakan bahawa perkembangan sains banyak berlaku semasa zaman renaisans.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang berpendapat bahawa sains adalah satu bidang ilmu yang dimajukan oleh bangsa Eropah apabila fahaman sekularisme mula mendapat pengaruh yang meluas.
T. Arnold dan A. Guillaume di dalam buku The Legacy of Islam telah menulis “kita mungkin mengatakan bahawa perubatan dan sains Islam telah memantulkan cahaya matahari di Yunani apabila siang telah pergi dan menyinar seperti bulan menerangi malam yang paling gelap di Eropah pada Zaman Pertengahan”.
Arnold dan Guillaume mengakui sumbangan yang besar yang dibawa kepada benua Eropah oleh ilmu sains yang diperkembangkan oleh orang Islam. John William Draper di dalam buku Intellectual Development of Europe pula menegaskan bahawa sumbangan besar ini tidak dapat disembunyikan lagi.
Orang Eropah perlulah mengakui bahawa Islam memainkan peranan yang penting dan utama di dalam membawa benua tersebut keluar daripada kegelapan dan kemunduran.
Harus diingat bahawa orang Islam bukanlah umat yang pertama mengkaji ilmu sains. Terdahulu daripada orang Islam ialah orang Yunani dan India yang telah meletakkan batu asas kepada ilmu sains. Walau bagaimanapun, orang Islam merupakan umat yang bertanggungjawab membawa ilmu sains ini ke tahap yang lebih tinggi seperti mana yang ditegaskan oleh De Lacy O’Lacy di dalam Arabic Thought in History.
Beliau menulis: “Dalam astronomi dan matematik, hasil-hasil kajian saintis Yunani dan India diselaraskan dan kemajuan yang sebenar telah dicapai. Orang Arab bukan sahaja mengembangkan apa yang diterima daripada orang Yunani tetapi turut memeriksa dan memperbetulkan rekod-rekod ini”
Di dalam Legacy of Islam, Carra de Vaux pula menulis: “Aritmetik dan algebra turut berkembang bersama-sama astronomi. Inilah era al-Khawarizmi yang tersohor, yang mana namanya telah dirosakkan oleh penulis Latin di Barat sehingga dipercayai memberikan kita istilah algoritma”. Pandangan ini dipersetujui oleh F.G. Alfalo di dalam Rebuilding the Crescent.
Sememangnya banyak nama tokoh-tokoh sains Islam telah ditukar kepada nama-nama Latin menyebabkan ramai yang tidak sedar bahawa mereka ini adalah orang Islam. Di antaranya ialah al-Khawarizmi (Algorism), Ibn Sina (Avicenna), Jabir Ibn Haiyan (Geber), al-Kind (Alkindus), Thabit ibn Qurrah (Thebit), al-Battani (Albategnius), al-Farghani (Alfraganus), al-Razi (Rhazes), Ibn al-Hanitham (Alhazen) dan banyak lagi.
Sememangnya Eropah merupakan benua yang beruntung apabila dunia Islam dijajah. Penemuan-penemuan yang dibukukan ini menjadi panduan kepada saintis-saintis Eropah untuk mengembangkan lagi ilmu ini.
Baghdad, Kaherah, Cordovo dan Toledo merupakan pusat-pusat perkembangan ilmu di zaman kegemilangan peradaban Islam. Di tempat-tempat inilah tamadun moden bermula. Roger Bacon, seorang sarjana di Oxford School beberapa ratus tahun dahulu sering menegaskan bahawa cara untuk mendalami ilmu pengetahuan ialah dengan menguasai bahasa Arab dan sains yang dipelopori oleh orang Islam. Perkara ini ditegaskan oleh Robert Briffault di dalam bukunya The Making of Humanity. Menurut Briffault, “dia (Bacon) tidak pernah jemu mengisytiharkan bahawa pengetahuan orang Arab dan sains Arab adalah jalan kepada pengetahuan yang sebenar”.
Sesungguhnya Islam memainkan peranan utama di dalam perkembangan ilmu sains. Perkara ini sememangnya diakui oleh banyak pihak hari ini.
Namun begitu, kejatuhan Khalifah Islam membawa kepada kemunduran perkembangan ilmu di kalangan umat Islam.
Mungkin sudah tiba masanya bagi umat Islam hari ini untuk menilai semula diri dan menanamkan iltizam untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam. Kunci kepada kejayaan adalah ilmu.
Mungkin wajar kalau kita renungkan tulisan Briffault tentang Islam dan sains. “Bukanlah sains membawa nafas baru kepada Eropah. Pengaruh luar yang meluas daripada peradaban Islam membawakan cahaya pertama kehidupan Eropah”.
Nyata sekali Islam dan sains mempunyai kaitan dan relevan di antara satu sama lain. Kerelevanan ini perlu ditonjolkan supaya umat Islam era moden ini dapat menyedari akan pentingnya sains dalam Islam.
Inilah yang cuba dilakukan menerusi program “Islam dan Sains: Kerelevanannya Masa Kini” yang sedang berlangsung di Pusat Sains Negara sehingga 30 November ini. Semoga usaha ini akan dapat merancang minat generasi muda khususnya untuk mendalami bidang sains yang begitu penting dalam kehidupan hari ini.