Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan perlindungan kebebasan atau hak asasi kepada setiap orang. Di bawah perkara 5 sehingga 13, setiap orang berhak menikmati kebebasan diri (tidak boleh diambil nyawanya) sehinggalah kepada hak menikmati harta yang dimilikinya. Kecuali dengan sebab undang-undang. Di bawah Perlembagaan juga seorang manusia tidak boleh diperlakukan seperti hamba abdi. Semua orang sebenarnya adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Di bawah peruntukan-peruntukan di atas membuktikan bahawa adalah salah di sisi undang-undang bagi seseorang mendatangkan kecederaan atau sebarang tindakan yang boleh menyakitkan seseorang dari segi fizikal atau emosinya.
Islam sebagai agama yang sempurna, telah awal-awal lagi menjadikan sama rata atau persamaan sebagai asas kepada perhubungan manusia. (Abdul Monir Yaacob (1986), Hak Asasi Manusia Menurut Islam) sebagaimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud;
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.”
Ayat ini diperkukuhkan dengan khutbah baginda Rasulullah s.a.w. semasa haji Wida’ yang bermaksud;
“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu, dan sesungguhnya bapa kamu juga satu. Kamu semua daripada Adam dan Adam itu (dijadikan) daripada tanah. Yang termulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa, dan bukan ada (kelebihan) antara orang Arab dengan bukan Arab, dan antara bukan Arab dengan bukan Arab, dan tidak juga antara orang yang berkulit merah dengan orang berkulit putih, dan tidak orang berkulit putih, lebih mulia daripada orang berkulit merah kecuali takwa.”
Karamatul insan atau penghormatan terhadap manusia adalah asas kepada hak atau kebebasan asasi di sisi Islam. Walau bagaimanapun, bukanlah bermaksud bahawa manusia bebas melakukan apa sahaja yang disukainya sekalipun perbuatannya itu boleh menjejaskan maslahat orang lain. Apabila seseorang telah melakukan perbuatan yang menjejaskan kepentingan orang lain atau menghalang orang lain menikmati kebebasannya, maka pihak pemerintah atau orang yang berkuasa ke atasnya haruslah menghukumnya dengan wajar dan bukan secara sewenang-wenangnya. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada tuannya, dan apabila kamu mengadili antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil.”
Antara yang boleh difahami, terdapat dua aspek pengajaran di dalam ayat ini. Perkara pertama, Allah s.w.t. memerintahkan agar manusia patuh kepada manusia yang lain yang menjadi majikannya (tuannya). Seperkara yang lain pula, apabila seorang manusia menjadi pihak pemerintah, penguasa, tuan atau majikan, dia perlulah bersikap adil apabila membuat sebarang kesalahan yang dilakukan oleh rakyat atau orang bawahannya.
Menghukum dengan sesuka hati tanpa menurut pertimbangan yang waras, hukum syarak dan undang-undang negara adalah perbuatan yang salah malah zalim. Hukuman berat yang dikenakan, tidak setanding dengan kesalahan yang dilakukan sebenarnya perbuatan penyalahgunaan kuasa dan amanah yang diberikan oleh Allah dan perjanjian yang dipersetujui sebelumnya oleh pihak-pihak terlibat.
Perhambaan adalah amalan yang tidak digalakkan dalam Islam walaupun ia pernah berlaku dalam sejarah awal umat Islam. Islam telah mewujudkan hukum-hukum yang memerdekakan hamba. Contohnya bagi kafarah (denda) sumpah dan kafarah zihar yang memerlukan kemerdekaan seorang hamba.
Adalah sangat tidak wajar pada era manusia menganggapnya dirinya telah cukup bertamadun apabila masih terdapat perbuatan yang mengabdikan seorang manusia yang lain. Bukan sekadar mengabdikannya, malahan juga memperlakukan ke atasnya seperti sesuatu yang tidak bernyawa.
Kezaliman dan penganiayaan adalah amalan sebelum turunnya agama yang diredhai Allah. Sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud;
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmat-Ku serta telah Aku redha Islam sebagai agama kamu.”
Semuanya itu hanya menggambarkan pemikiran jahiliah yang lahir di era moden. Apabila ini masih berlaku, sebenarnya kita tidak boleh mendakwa bahawa kita telah maju berbanding orang lain sekiranya kebebasan asasi orang lain tidak kita hormati. Ini kerana kemajuan bukan sekadar diukur oleh pembangunan material dan gaya hidup hidup, malahan juga oleh pembangunan rasa kemanusiaan sesama insan.