MALAYSIA adalah negara bertuah kerana dihuni rakyat pelbagai bangsa, agama dan budaya di mana kepelbagaian ini tidak menghalang rakyat hidup penuh harmoni.
Perpaduan dan keamanan yang kita kecapi kini adalah harta yang tinggi nilainya kerana bukan saja pemimpin berusaha keras untuk mewujudkan negara berjaya tetapi masyarakat sendiri, mengambil peluang untuk bermasyarakat sebaik mungkin.
Masyarakat menurut Kamus Dewan membawa maksud `kumpulan manusia yang hidup bersama dalam sesuatu tempat dengan aturan-aturan dan cara tertentu’ dan bermasyarakat bermaksud `hidup sebagai satu masyarakat atau penggabungan diri’.
Daripada maksud yang diberikan itu, terdapat dua frasa yang sangat penting iaitu `hidup bersama’ dan `penggabungan diri’ iaitu jelas menunjukkan kehidupan bermasyarakat menuntut kita bergabung dan hidup bersama dengan harmoni.
Agama Islam pula mempunyai pandangan tinggi kepada keperluan hidup bermasyarakat sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujarat, ayat 13)
Walaupun keperluan untuk hidup bermasyarakat sangat dituntut dalam agama Islam mahupun agama lain, namun realitinya tuntutan itu telah lama diabaikan.
Tanya saja kepada diri anda sendiri, adakah anda mengetahui nama jiran sebelah rumah anda atau, bilakah kali terakhir anda menghadiri majlis tertentu yang diadakan oleh jiran setempat anda?
Tentu bagi sesetengah orang soalan ini agak sukar dijawab kerana sesetengah daripada kita tidak menganggap bahawa mengenali jiran apatah lagi mengetahui nama mereka adalah penting.
Kealpaan kita terhadap keperluan bermasyarakat mungkin berpunca daripada kepesatan pembangunan negara yang menuntut lebih banyak masa digunakan untuk bekerja.
Jika pun ada sedikit lagi masa yang terluang, ketika inilah kita mahu bersama ahli keluarga bersiar atau membeli-belah di samping menziarahi ahli keluarga lain yang tinggal jauh di kampung.
Apakah benar pembangunan mengikis rasa masyarakat untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti bersama?
Penulis berpendapat, pembangunan pesat hanyalah satu faktor ilusi yang membawa kepada pengabaian kehidupan bermasyarakat kerana kejayaan hidup bermasyarakat terletak kepada individu itu sendiri.
Bagi yang tidak bersedia, alasan `tiada masa’ sering digunakan untuk menolak jemputan ke majlis yang diadakan jiran setempat sedangkan masa yang diperlukan bukannya lama tetapi meninggalkan kesan mendalam terhadap jiran sekeliling.
Pengabaian terhadap peluang bermasyarakat boleh meninggalkan kesan tidak baik, jika tidak sekarang mungkin pada masa akan datang terutama ketika berlaku kecemasan.
Kejayaan sesebuah negara bukan saja bergantung kepada peningkatan ekonomi tetapi juga perpaduan rakyatnya dan jika aspek itu diabaikan, hasrat menjadikan Malaysia negara berjaya, aman dan damai mungkin tidak kesampaian.
Oleh itu, sebagai seorang rakyat yang kasih akan negaranya, kita juga perlu memelihara dan berusaha untuk meningkatkan perpaduan seperti bergaul mesra dengan jiran tetangga di persekitaran rumah kita.
Sebenarnya tidak ada formula khusus untuk berbaik dengan jiran kerana pergaulan mesra bersama tetangga adalah proses berterusan dan perlu disuburkan setiap masa.
Sebagai seorang Muslim sejati, memberi salam kepada orang lain adalah sangat dituntut di dalam Islam atau bertanya khabar kepada bukan Islam dan paling tidak melambai tangan, jika tidak sempat hendak bersembang.
Selain itu, semangat kejiranan boleh dikembangkan dengan menghadiri jemputan ke rumah atas majlis tertentu seperti kenduri kahwin, majlis cukur jambul, majlis hari jadi dan kenduri doa selamat.
Peluang bermasyarakat juga boleh direalisasikan pada hari kebesaran untuk kaum tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Krismas.
Selain mengunjungi jiran tetangga, kita hendaklah sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan pertolongan jika diminta terutama ketika kecemasan seperti menghantar jiran ke hospital.
Atau menjaga keselamatan rumah jiran ketika mereka pulang ke kampung, menyiram bunga mereka atau bergilir menghantar anak ke sekolah.
Hakikatnya, menjalin hubungan dalam masyarakat adalah mudah tetapi kita sering beranggapan bermasyarakat sebagai perkara remeh dan tidak penting dalam kehidupan harian.
Perlu diingat Islam menuntut penganutnya menghormati jiran dan menjalinkan hubungan mesra bersama masyarakat sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Apabila diminta kepada kamu memberikan lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu”. (Surah Al-Mujaadalah, ayat 11)
Terbuktilah bahawa jika kita bersedia membantu orang lain, Allah akan membantu kita dan memberi ganjaran kebaikan kepada mereka yang hidup bermasyarakat.
Firman Allah lagi: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan diri”. (Surah Al-Nisaa’, ayat 36)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa berbuat baik kepada jiran adalah sangat digalakkan dan kita dilarang sama sekali untuk bersikap sombong kepada jiran tetangga, tidak kira yang dekat mahupun yang jauh.