Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac lalu.
Namun, kejayaan-kejayaan ini bukanlah penghujungnya. Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada pentadbiran negara bagi lima tahun yang berikutnya.
Mencapai kejayaan yang besar adalah satu perkara. Mengisi kejayaan tersebut adalah satu perkara lain yang memerlukan perhatian dan komitmen yang lebih besar lagi. Jika masa berkempen merupakan masa menabur janji, kini adalah masa untuk mengotakan janji-janji itu.
Menaburkan janji ketika pilihan raya adalah lumrah dalam politik. Namun, menunaikannya adalah satu kewajipan dalam Islam. Dalam surah Al-Isra, ayat 34 Allah berfirman yang bermaksud:
… dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
Malah, menunaikan janji begitu penting dalam Islam sehingga mereka yang memungkirinya dianggap sebagai munafik seperti maksud hadis ini: Tiga perkara, sesiapa yang memilikinya ia dianggap munafik iaitu orang yang apabila ia bercerita ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diamanahkan (sesuatu ) ia khianat.
Oleh itu, selaras dengan idea Islam Hadhari yang ingin dibawa oleh UMNO, maka penunaian janji ini perlu dititikberatkan oleh setiap wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya lalu.
Dalam Islam, menjadi pemimpin bukan hanya satu anugerah tetapi juga satu amanah Allah. Kurniaan ini bukanlah untuk dibangga-banggakan, sebaliknya ia datang dengan satu tanggungjawab yang besar. Ini jelas dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab siksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Anaam, ayat 165)
Ayat ini disokong oleh hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada mereka (pemerintah) tentang kepimpinan mereka. Oleh yang demikian, para pemimpin yang telah dipilih tidak sepatutnya mengambil mudah tentang amanah yang telah diberi ini.
Amanah besar ini akan dipandang sepi melainkan mereka yang bertakwa kepada Allah dan mereka yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk berbakti kepada masyarakatnya.
Ini kerana mereka sedar bahawa janji untuk berkhidmat bukan sahaja dibuat antara dirinya dengan rakyat yang diwakili tetapi juga dengan Allah s.w.t. sebagai Pencipta dan Penganugerah jawatan tersebut.
Untuk melaksanakan amanah ini dengan jayanya, ia memerlukan sahsiah diri yang baik serta etika kerja yang cemerlang. Maka, wajarlah kod etika dan indeks prestasi wakil rakyat diperkenalkan demi memastikan mandat dan amanah yang diberi dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Pembentukan sahsiah diri setiap wakil rakyat lebih mudah dicapai jika ajaran-ajaran Islam dihayati. Berkaitan sahsiah diri, Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik untuk diikuti. Sifat-sifat kepimpinan Baginda seperti siddiq, amanah dan fatanah sepatutnya menjadi ikutan para wakil rakyat kita.
Selain itu, banyak sifat lain yang dituntut oleh Islam khususnya bagi mereka yang bergelar pemimpin. Misalnya, sifat ikhlas seperti maksud hadis berikut: Usaha yang paling baik ialah usaha orang yang bekerja dengan ikhlas.
Dalam konteks kod etika dan indeks prestasi wakil rakyat yang diperkenalkan, ia amatlah dialu-alukan oleh rakyat bagi memastikan wakil mereka bekerja seperti yang diharapkan. Idea ini selari dengan konsep berdisiplin yang dianjurkan oleh Islam.
Dalam barisan yang teratur rapi menunjukkan kepentingan disiplin dalam menentukan kejayaan ummah. Mengadakan kod etika dan indeks prestasi wakil rakyat ini memanglah satu idea yang baik. Namun, untuk menjayakannya memerlukan kerjasama dan komitmen semua wakil rakyat.