SECARA sedar atau tidak, umat Islam masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang. Bidang sains dan teknologi (S&T) pertahanan dikuasai oleh negara Barat. Negara Islam tidak mampu menandingi ciptaan mereka. Peralatan pertahanan kebanyakannya datang dari negara ini.
Malah, teknologi yang dibeli dari Barat adalah yang kebanyakannya tidak dikehendaki lagi oleh negara itu dan hanya sesuai untuk dijual pada negara Islam yang telah lama menunggu.
Semuanya berlaku kerana umat Islam tidak mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang itu. Ini menyebabkan umat Islam ketinggalan, sedangkan kebanyakan ilmu yang dikuasai Barat kini adalah dipelopori atau diterokai oleh ilmuwan Islam terdahulu.
Bagi membawa umat Islam daripada belenggu ini, beberapa faktor perlu direnungi bersama.
Pertama ialah kefahaman umat Islam terhadap konsep ilmu itu sendiri. Apa yang berlaku pada hari ini, kemampuan Barat menguasai ilmu sains dan teknologi , terutama dalam bidang pertahanan yang menyebabkan seluruh dunia berada dalam keadaan kebimbangan. Penguasaan ilmu sains dan teknologi oleh Barat secara tidak langsung membolehkan mereka menguasai sistem ekonomi, pertahanan dan politik dunia.
Persoalan pokok di sini ialah penguasaan ilmu.
Sejauh manakah umat Islam masa kini mampu menguasai ilmu yang sebenar-benarnya? Apakah nilai kesarjanaan penulisan dan penyelidikan umat Islam masa kini setanding dengan umat Islam masa lampau? Apakah yang menyebabkan perbezaan ini? Apakah jika wujud tokoh Islam yang terdahulu seperti Iskandar Zul-Qarnain, Ibnu Sina dan Ibn Firmas, maka umat Islam akan ditindas sebegini rupa?
Dalam Islam, ilmu tidak setakat pada hukum agama, malah lebih daripada itu, meliputi bidang kepakaran seperti ciptaan sains dan teknologi.
Umat Islam mesti berusaha dari segi mental dan fizikal untuk menjadikan dunia ini lebih selamat dan baik untuknya.
Untuk itu, kita perlu bersyukur kerana Malaysia telah merangka beberapa mekanisma untuk menuju negara maju. Satu daripadanya adalah Wawasan 2020 yang mengemukakan sembilan cabaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Satu daripada cabaran yang disenaraikan ialah cabaran keupayaan sains dan teknologi. Cabaran itu berbunyi: “Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan yang bukan saja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga penyumbang kepada tamadun.”
Dalam usaha Malaysia menjadi negara maju, bilangan ahli sains atau profesor bukan kayu pengukur sebenarnya, tetapi apa yang patut diberi perhatian ialah dari segi kualiti kesarjanaan dan kecemerlangan hingga di peringkat antarabangsa.
Seperti juga dalam bidang agama, bilangan hafiz bukanlah faktor penentu, tetapi sejauh mana masyarakat Muslim dapat mengkaji, menggali dan mengguna pakai apa yang terkandung dalam al-Quran sebagai petunjuk sepanjang zaman.
Menurut sesetengah pemikir, ilmu boleh dibahagikan kepada tiga tingkatan. Pertama ilmu Qalam, kedua ilmu Ghaib dan ketiga ilmu Makrifat atau syuhadah.
Melihat kepada sejarah, ilmu yang ketiga inilah yang memainkan peranan penting dalam kemajuan dan keagungan Islam, yang mana telah meletakkan agama Islam berada pada zaman kegemilangan dan keagungan.
Selain itu, ilmu yang dimiliki mesti dilengkapi dengan ketakwaan. Impian ini tidak akan tercapai melainkan umat Islam dilengkapi dengan ketakwaan yang sebenar-benarnya.
Ini dapat dibuktikan melalui tokoh sains Islam masa lampau yang melengkapkan diri dengan ilmu agama terlebih dulu, sebelum menjurus pada sesuatu bidang. Contohnya, Ibnu Sina ketika hanya berusia 10 tahun, sudah menguasai ilmu fiqh, tafsir, akhlak, Usuluddin dan tasawuf. Seterusnya ketika usia 18 tahun beliau sudah menguasai hampir semua bidang ilmu pengetahuan seperti logik, matematik, fizik, kimia, sastera, astronomi, kosmologi, politik, perubatan dan perundangan.
Begitu juga dengan al-Zahrawi yang mendalami ilmu agama sebelum menerokai dan menjelajah bidang sains. Beliau menghasilkan al-Tasrif yang mengandungi 30 bahagian dan diterjemahkan ke bahasa Latin, Perancis, Sepanyol dan Hebrew. Beliau juga memperkenalkan 150 alat pembedahan yang diguna pakai hingga hari ini.
Usaha sebegini dalam meneroka dan mendalami ilmu untuk kesejahteraan umat seiring dengan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, rukuk serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Hajj, ayat 77)
Kedua, faktor keikhlasan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Keikhlasan bermaksud usaha mengejar ilmu itu melangkaui perebutan sesuatu jawatan untuk disanjung oleh masyarakat atau pelengkapan merit untuk melayakkan diri ke jawatan profesor.
Selama mana masyarakat Muslim mengejar pangkat dan kebendaan terutama di bidang keilmuan, selama itulah ilmu tidak akan berkembang serta diberkati.
Dalam al-Quran diperingatkan agar hamba Allah ikhlas beribadah kepada-Nya. Menuntut ilmu juga satu ibadah.
Ketiga, faktor pemikiran kreatif dan inovatif.
Akal adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Masyarakat Muslim perlu melahirkan pemikir kreatif kerana kita tidak mahu selama-lamanya menjadi pengguna kepada kemajuan sains dan teknologi saja.
Contohnya, manusia dapat menguasai udara dan boleh terbang lebih baik daripada burung dan juga boleh menguasai laut dengan menyelam atau menggunakan kapal selam. Semuanya itu dilakukan bagi mereka yang menggunakan akal dengan sebaik-baiknya.
Untuk membentuk sebuah masyarakat baik, umatnya mestilah berkualiti. Oleh kerana Allah adalah sumber segala kebaikan, setiap orang mesti melahirkan sifat kebaikan dalam dirinya. Inilah tujuan dan fungsi sebenar ibadat dalam Iseperti solat, puasa, zakat dan haji iaitu untuk membersihkan diri seseorang daripada segala kotoran dan untuk mendekati Allah.
Selain itu, segala permasalahan atau penderitaan yang berlaku ke atas umat Islam pada hari ini adalah dengan izin Allah. Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa mengingati-Nya pada masa senang dan susah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah bersabda bermaksud: “Apa pun yang menimpa diri seorang mukmin daripada kepayahan, kesakitan serta kesusahan dan apa pun keresahan yang dirasakannya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada keburukannya.”
Justeru, umat Islam perlu menggabungkan ketiga-tiga faktor tadi, iaitu memahami konsep ilmu sebenar; keikhlasan dan mempunyai inovasi serta kreativiti dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam sebagai sebuah tamadun yang disegani.
Penguasaan dalam bidang sains dan teknologi mampu membantu umat Islam untuk bangkit kembali dan seterusnya mempertahankan diri daripada diperkotak-katikkan oleh mereka yang memusuhi Islam.