Hari ini hari ke-empat kita berada di bulan Syawal. Ada yang masih merayakan Aidilfitri dengan meriah dan ramai juga yang telah mula berpuasa enam. Sudah empat hari Ramadan pergi. Masih adakah semangat Ramadan bersama-sama kita?
1 Syawal yang lalu umat Islam meraikan hari raya Aidilfitri dengan begitu meriah sekali. Apa sebenarnya yang kita raikan? Apakah kita meraikan pemergian Ramadan? Atau apakah kita meraikan kehadiran Syawal?
Hakikatnya, Aidilfitri disambut bagi meraikan kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Selama sebulan kita menahan diri dari makan dan minum dari Subuh hingga ke waktu Maghrib kerana Allah. Bukan itu sahaja, semua pancainderia dan anggota badan kita dipelihara dari menikmati dan melakukan perkara-perkara yang dilarang agama. Dalam masa yang sama, semua pancaindera dan anggota kita dilazimkan dengan amalan-amalan soleh yang dituntut agama demi mengejar ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Dengan kepatuhan kita melakukan semua ini dengan bersungguh-sungguh sepanjang Ramadan, dan dengan rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya, boleh dianggap bahawa dengan berakhirnya Ramadan dan masuknya Syawal, kita akan kembali menjadi diri kita yang fitrah, suci lahir dan juga batin. Dalam kata lain, dengan amalan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh sepanjang Ramadan, kita akan menjadi “orang baharu” menjelang 1 Syawal. “Orang baharu” yang lebih bertaqwa selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
Jika kita imbas kembali apa yang berlaku pada pagi 1 Syawal, ketika kita menyarungkan pakaian baharu ke badan, terfikirkah kita tentang diri kita sendiri? Apakah diri kita itu merupakan “orang baharu” dengan taqwanya sebaharu dan secantik baju raya yang disarungkan? Seorang hukama dilaporkan pernah berkata, “Bukanlah hari raya itu dengan baju yang baharu, tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan taqwa yang semakin jitu”.
Semakin jitukah taqwa kita? Sama ada kita telah berpuashati ataupun tidak dengan “orang baharu” yang lahir dari madrasah Ramadan yang lalu, kita sentiasa boleh memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti “orang baharu” ini. Cara paling mudah ialah dengan terus melakukan apa yang lazimnya dilakukan sepanjang Ramadan seperti solat berjemaah, solat tahajud, membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah setiap hari.
Mungkin ada yang merasa sukar untuk meneruskan amalan-amalan ini kerana bulan Ramadan tidak sama dengan bulan-bulan yang lain dari segi penekanan kita dalam beribadat. Namun, demi kelangsungan madrasah Ramadan itu, kita boleh melakukannya mengikut kemampuan kita. Misalnya, solat berjemaah Maghrib dan Isyak sahaja berbanding solat berjemaah lima waktu; solat tahajud dua rakaat berbanding 8 rakaat; membaca 10 ayat al-Quran sehari berbanding satu juzuk sehari; beristighfar 70 kali sehari berbanding zikir-zikir lain; dan, bersedekah RM1 setiap hari berbanding RM5 sehari di bulan Ramadan.
Meneruskan amalan-amalan ini pada skala yang lebih kecil tidak sepatutnya melemahkan semangat kita. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Iringi amalan-amalan ini dengan doa agar Allah SWT menetapkan hati kita dengannya.
Ibadah adalah satu aspek dalam kehidupan kita. Bagaimana kita menjalani kehidupan seharian juga sepatutnya menggambarkan diri kita sebagai “orang baharu” itu. “Orang baharu” yang lebih bertaqwa.
Dikatakan bahawa taqwa manusia digerakkan oleh empat faktor asas: (i) takut pada siksa Allah; (ii) harap pada rahmat dan nikmat Allah; (iii) sabar terhadap ujian-ujian Allah; dan, (iv) syukur terhadap kurniaan Allah. Cara kita menjalani kehidupan seharian kita perlu menggambarkan bahawa kita berpegang kepada keempat-empat perkara ini.
Sebagai contoh, budaya mengadakan rumah terbuka yang akan bermula tidak lama lagi. Dalam majlis-majlis seperti ini, tampilkanlah nilai dan sikap “diri baharu” kita. Di pihak tuan rumah misalnya, majlis itu diadakan sebagai tanda syukur atas rezeki yang Allah kurniakan. Bagi mendapat keredhaan Allah, majlis itu akan dijadikan medan untuk mengeratkan lagi hubungan dengan sanak-saudara, kaum-kerabat, jiran tetangga dan handai-taulan. Persediaan yang dibuat pula adalah sederhana agar tidak berlaku pembaziran makanan yang bakal mengundang murka Allah SWT. Dengan segala niat baik dan persediaan yang rapi, kita akan sabar dan redha sekiranya ada perkara-perkara di luar jangkaan berlaku sepanjang majlis tersebut berlangsung.
Di pihak tetamu pula, jemputan dipenuhi demi untuk mendapat rahmat Allah. Sentiasa bersyukur dengan apa sahaja juadah yang dihidangkan. Ketika mengambil makanan, ambil dalam kuantiti yang diperlukan sahaja agar dapat menjauhi pembaziran yang dilarang agama. Bersabar dengan kekurangan dan kelemahan di pihak tuan rumah ketika menganjurkan majlis tersebut.
Ramadan telah pergi meninggalkan kita. Ia bukan seperti angin atau hujan yang datang dan kemudian pergi meninggalkan kita dengan kenikmatan sementara. Ramadan adalah madrasah untuk mendidik diri kita menjadi Muslim yang sebenar. Kita boleh melepaskannya pergi begitu sahaja. Namun, adalah lebih afdal jika kita dapat mengambil pengajaran darinya dan menjadikan amalan-amalan sepanjang Ramadan sebati dengan hidup kita bagi menyokong dan mengisi “orang baharu” yang lahir daripadanya.