Allah menyebut tentang penciptaan manusia dalam al-Quran dari pelbagai bangsa dan puak supaya saling kenal-mengenali (al-Hujurat, ayat 13) yakni saling berhubungan antara satu sama lain. Juga yang paling mulia dalam kalangan manusia bukanlah berdasarkan keturunan dan puaknya tetapi individu yang bertakwa.
Justeru, Aidilfitri yang disambut meriah ketika ini seharusnya menjadi jalan menghubung antara satu sama lain, bukan sebagai satu acara perbandingan sesama manusia. Tiada syarat khusus kepada manusia untuk berinteraksi antara satu sama lain melainkan kekal saling menghormati apatah lagi jika hubungan melibatkan pertalian darah.
Interaksi yang bermakna dan bermanfaat sebegini seharusnya melangkui taraf hidup seseorang individu. Baik golongan kaya ataupun miskin, semua manusia berhak untuk mendapat interaksi yang baik dan bermanfaat. Dalam ekonomi, keterangkuman begini disebut sebagai inklusif yakni setiap individu adalah bermakna dan terkandung pelan pembangunan negara.
Menariknya pada hari ini, interaksi yang bermakna dan bermanfaat dirangkum dalam bentuk nilai seterusnya menjadi satu penanda aras kepada sebuah kehidupan yang wajar. Dalam lain perkataan, nilaian kewangan yang membolehkan manusia menikmati interaksi bermakna dan bermanfaat ini dikirakan lalu membentuk “gaji kehidupan wajar” – satu nilaian gaji atau upah yang membolehkan individu menikmati kehidupan wajar.
“Gaji kehidupan wajar” (the living wage) sebenarnya adalah satu cadangan kepada ukuran gaji yang tidak hanya mengambil kira kos sara semasa dan keperluan asas hidup semata-mata. Sebaliknya, gaji kehidupan wajar mencadangkan akan satu taraf hidup minimum yang boleh diterima juga membolehkan individu tadi berinteraksi bermakna dan bermanfaat dalam masyarakat.
Interaksi sosial yang bermakna dan bermanfaat ini termasuklah keupayaan individu melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat, meluangkan masa yang berkualiti dengan keluarga, beriadah dan meraikan perayaan tanpa bergantung kepada taraf kehidupan semasa mereka. Sebagai contoh, Aidifitri yang disambut pada hari ini mampu diraikan oleh setiap individu dengan gembira sekalipun dengan cara serba sederhana – inilah yang dikatakan sebagai satu kehidupan yang wajar buat manusia.
Dalam perspektif Islam, kehidupan wajar sememangnya menjadi satu keutamaan buat manusia. Secara umum, pemeliharaan lima matlamat syariah yakni agama, nyawa, akal, keturunan dan harta menjadi panduan kepada satu kehidupan yang baik dan wajar. Di dalam Islam, kehidupan wajar membenarkan seorang manusia itu hidup bermaruah dengan dihormati dan diberi hak yang selayaknya sama seperti orang lain dalam masyarakat tanpa mengira status ekonominya.
Tidak seperti dalam sistem kapitalis yang ekstrim, hanya individu yang mempunyai kelebihan sahaja mendapat peluang untuk mara kehadapan. Sebab itulah kita melihat di dalam dunia semasa, golongan kaya semakin kaya dan golongan miskin menjadi semakin menderita. Sungguhpun demikian, kekayaan wang ringgit kepada manusia semata-mata tidak menjanjikan kehidupan yang baik dan bahagia. Pada zahirnya golongan kaya mungkin nampak gembira, namun rohaninya mungkin menderita sehingga boleh menggugat kesihatan bahkan nyawa sendiri.
Sebagai mukmin yang sejati, kita sering berdoa agar diberikan kebaikan hidup di dunia dan akhirat. Ini menunjukkan Islam tidak pernah meminggir dambaan kebahagiaan hidup di dunia sekalipun kehidupan akhirat menjadi matlamat yang utama. Seruan kepada kejayaan dalam laungan azan sebanyak lima kali sehari juga membuktikan bahawa manusia juga perlu berusaha untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia melalui kemajuan.
Justeru, nilaian kepada sesuatu yang subjektif seperti interaksi bermakna dan bermanfaat ke dalam ukuran kewangan yang membolehkan manusia mendapat kehidupan yang wajar adalah satu permulaan yang baik. Ini menunjukkan bahawa kita tidak lagi boleh bergantung kepada nilaian kehidupan asas sebelumnya iaitu setakat mendapatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal sahaja kerana manusia memerlukan lebih dari itu untuk mencapai kehidupan yang baik dan wajar.
Sekalipun mungkin cadangan ini tidak dapat dilaksanakan atas apa jua alasan, keterbukaan pemerintah terhadap wujudnya komponen-komponen utama yang lain seperti yang dijelaskan diatas dalam perkiraan gaji yang wajar adalah satu permulaan kepada pembaharuan dalam menilai kehidupan masyarakat.
Kehidupan wajar sebenarnya bermula dengan kita. Ia adalah tentang bagaimana kita melihat dan menghargai setiap perkara yang ada di sekeliling – keluarga, jiran tetangga, alam sekitar, kerjaya dan kejayaan. Gaji kehidupan wajar pula sebenarnya adalah manifestasi daripada nilaian wang yang diperlukan untuk membantu manusia mencapai satu kehidupan yang baik dan bermakna.
Justeru kitalah yang perlu memandu kehidupan sendiri – sama ada kita bertuah untuk menerima gaji kehidupan wajar atau sebaliknya. Hari ini, kita telahpun memilih arah tuju negara yang baharu. Mainkan peranan kita kepada negara dengan menjadi pekerja yang produktif, majikan yang peka dan masyarakat yang lebih perihatin. Semoga Aildilfitri kali ini memberi satu pembaharuan kepada kita tentang makna sebuah kehidupan wajar yang hakiki.