Ditulis oleh Puan Nor Hartini binti Saari. Diterbitkan
Pendedahan daripada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berhubung 200,000 ribu graduan di negara ini gagal mendapat pekerjaan amat membimbangkan.
Apatah lagi melihat situasi pasaran buruh semasa yang melibatkan tindakan kerajaan memberhentikan pengambilan pekerja sehingga menutup peluang untuk graduan bekerja di sektor awam turut dilihat sebagai penyumbang kepada punca situasi tersebut. Begitu juga dengan tindakan beberapa agensi swasta yang telah meningkatkan lagi umur persaraan ini turut sama menyebabkan kebanyakan syarikat tidak lagi mengambil pekerja baharu.
Melihat kepada situasi tersebut, kita bimbang jika ada graduan yang masih lagi mengharapkan makan gaji semata-mata. Justeru, dengan latarbelakang lepasan graduan diploma dan ijazah yang pelbagai dengan kemahiran tertentu saya yakin bahawa para graduan boleh mengambil kesempatan dengan merebut peluang meneroka bidang perniagaan internet atau perniagaan atas talian (online business). Kesempatan meneroka dan memaksimumkan penggunaan internet untuk sebarang aktiviti perniagaan yang baik dan boleh menjana pendapatan dalam Islam adalah dipandang mulia.
Bahkan dalam Islam, urusan perniagaan tidak kiralah sama ada menerusi internet atau yang berpremis sebenarnya mempunyai kedudukan yang tinggi sehinggakan Rasulullah SAW menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan” (Hadis Riwayat Tirmizi). Oleh yang demikian, sesiapa yang menjalankan urusan perniagaan sama ada kecil atau besar tetapi masih di dalam lingkungan perniagaan, mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT.
Konsep perniagaan internet atau perniagaan menerusi internet dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa memerlukan kos yang tinggi atau modal yang besar mahupun pengalaman luas dalam perniagaan. Dengan hanya berbekalkan komputer atau telefon pintar dan internet mereka sudah pun mampu membina perniagaan internet dan menjana pendapatan sendiri.
Bagi graduan yang masih menganggur, meneroka dan merebut peluang perniagaan di internet bukanlah sukar. Malah dengan dunia tanpa sempadan, perniagaan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja secara tidak l
angsung juga dapat memenuhi pesanan pelanggan tidak kira waktu sama ada pagi, petang atau pada sebelah malamnya. Pastinya para graduan kini tidak terlepas menggunakan internet setiap hari.
Sehubungan itu, apa salahnya jika graduan yang masih lagi menganggur mengambil kesempatan menggunakan internet di depan mata itu untuk menjana pendapatan sendiri.
Boleh dikatakan perniagaan internet ini tidak jauh bezanya dengan perniagaan biasa atau yang ada premis. Perniagaan internet ini masih memerlukan produk untuk dijual dan memerlukan pelanggan untuk membeli. Cumanya, terdapat perbezaan dalam proses transaksi; urusniaga internet dijalankan secara dalam talian dan kedua-dua belah pihak tidak bersemuka dalam semua proses jual beli tersebut.
Sehingga kini sudah ramai yang berjaya membina rangkaian perniagaan internet. Ada yang menjual produk kesihatan, pakaian, tudung, kosmetik dan sebagainya. Malah setiap hari kita boleh lihat akan muncul 3 hingga 10 orang peniaga yang mengusahakan perniagaan secara atas talian. Ditambah pula dengan kepesatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjadikan pengguna internet di negara ini telah mencecah 18 juta pada tahun 2012 dan dijangka meningkat sehingga 25 juta menjelang tahun 2016. Faktor ini juga merupakan penyumbang terbesar kepada perkembangan perniagaan internet di alam maya ini.
Bahkan juga peningkatan penggunaan telefon pintar di negara kita yang mencecah 63 peratus dengan trend terkini masyarakat lebih suka membeli-belah secara dalam talian turut menggalakkan graduan menceburi perniagaan sebegini. Keterlibatan graduan di dalam dunia perniagaan ini dilihat suatu usaha positif untuk perkembangan ekonomi negara, di samping meramaikan lagi industri perniagaan internet di negara kita.
Di samping itu, kadar penggunaan media sosial seperti di facebook yang mencecah kepada 46.6 peratus turut sama menyumbang kepada perkembangan perniagaan internet ini. Apatah lagi pengiklanan secara percuma di media sosial seperti di facebook ini adalah yang terbaik disebabkan hampir setiap daripada kita mempunyai akaun facebook sendiri. Maka dengan itu, ruang dan peluang inilah sepatutnya direbut dan dimanfaatkan oleh para graduan yang masih lagi menganggur. Sekaligus tenaga para graduan yang masih segar dan kuat dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya di samping mencari rezeki yang halal. Dengan rezeki dan pendapatan tersebut juga mereka berpeluang mengeluarkan dan menunaikan zakat perniagaan yang merupakan salah satu dari rukun Islam.
Namun begitu, graduan yang berminat dalam meneroka bidang baharu ini jangan sesekali terlupa untuk mematuhi garis panduan menurut Islam. Tujuan utama peraturan dan garis panduan ini adalah untuk memastikan kemaslahatan umat Islam dapat dipelihara daripada unsur-unsur yang boleh merosakkan agama, jiwa, akal, dan keturunan.
Ini adalah selari dengan konsep amanah dan benar dalam perniagaan untuk memastikan usaha memasarkan barangan atau perkhidmatan dibuat dengan betul dan tidak bercanggah dengan etika Islam.
Walaupun menerusi perniagaan internet, peniaga dan pelanggan tidak bersemuka, namun sebagai peniaga mereka perlu menjaga produk yang bakal sampai di tangan pelanggan dengan sebaik-baik yang mungkin. Ini penting untuk menjaga dan mewujudkan pelanggan yang setia terhadap produk yang ditawarkan di pasaran.
Perkara ini tidak boleh diambil dengan mudah. Kemungkinan perkara ini baharu kepada bakal peniaga yang baru hendak berjinak-jinak dalam perniagaan internet.
Oleh itu bagi para graduan yang cuba berjinak-jinak untuk meneroka dan menceburi bidang perniagaan internet, perlu menguasai ilmu terlebih dahulu. Sebaik-baiknya belajarlah daripada mentor sebelum memulakan perniagaan internet ini. Siapa tahu graduan yang baru berjinak-jinak memulakan perniagaan internet pada hari ini boleh bergelar seorang usahawan berjaya atau seorang jutawan tiga tahun akan datang.