Ditulis oleh Norkumala binti Awang Diterbitkan :
Zulhijah merupakan bulan yang sarat dengan pelbagai peristiwa sejarah, bakal kita tempuhi sedikit masa lagi. Zulhijjah sinonim dengan rukun Islam yang kelima iaitu haji dan juga ibadah korban. Keistimewaan bulan Zulhijjah bukan hanya khusus untuk mereka yang menunaikan fardu haji semata-mata, tetapi juga memberi kelebihan pada mereka yang tidak menjadi tetamu Allah. Jarang sekali kita mendengar ramai orang yang menunggu akan ketibaan malam satu Zulhijjah sepertimana menantinya kedatangan bulan Ramadan. Sedangkan, kelebihan sepuluh hari awal bulan Zulhijjah wajar direbut dan dinikmati bagi umat Islam yang mencari medan pahala sebagai bekalan ke akhirat. Seperti mana sabda Rasullullah SAW daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud:” Tidak ada hari yang lebih besar disisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu yang lain, ibadat-ibadat tersebut tidak pernah terhimpun sebegitu. Ia juga seperti pesta ibadah bagi umat Islam yang tahu memanfaatkannya. Setiap Muslim hendaklah menyambut dan meraikan kedatangan musim kebajikan dan medan pahala tersebut dengan penuh kesyukuran. Malah seharusnya perlu dihadirkan rasa bertaubat yang bersungguh-sungguh dengan meninggalkan segala dosa dan maksiat. Ini kerana dosalah yang menyekat dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dan menjauhkan diri daripada Allah.
“Tidak ada satu pun amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi SAW menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”[Ahmad, at-Tirmizi]. Keistimewaan ini tidak ditawarkan pada bulan bulan yang lain, apakah masih sanggup kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja? Barangkali, bagi sesetengah orang, ia dipandang sebagai remeh kerana masih mempunyai persepsi bahawa bulan Zulhijjah milik mereka yang menunaikan haji untuk melipatgandakan amal ibadah.
Mendekatkan diri kepada Allah memerlukan rasa mujahadah yang tinggi. Pengorbanan untuk melawan hawa nafsu dan mengikat diri untuk menjadi hamba yang taat perintahNya perlu dididik dalam jiwa setiap individu muslim. Inilah semangat pengorbanan yang wajar dipupuk dalam ertikata menghayati pengorbanan yang telah dilakukan oleh dua insan yang berjiwa besar dalam sejarah Islam iaitu Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Ibadah korban yang dilakukan sempena hari raya Aidil Adha bukan semata-mata menyembelih binatang dan memberi sedekah kepada yang memerlukan tetapi rohnya jauh lebih besar. Simbolik daripada ibadah ini ialah semangat pengorbanan dan jihad yang tinggi perlu ada bagi setiap individu muslim. Kita perlu mempunyai semangat juang yang tinggi dalam mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat malah sanggup berkorban jiwa, tenaga, masa dan harta demi merealisasikan matlamat tersebut.
Kecekalan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Allah memberikan sumber inspirasi kepada umat manusia pada hari ini. Mereka mengorbankan jiwa raga dan perasaan demi perintah Allah. Maka dengan itu wajar kita mencontohi kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang telah dipamerkan oleh dua susuk tubuh yang agung tersebut. Demi mencari keredhaan Allah, pengorbanan jiwa raga, masa dan tenaga serta harta benda ditagih. Kita tidak akan kehilangan sekiranya ada perkara yang perlu dikorbankan demi mencari keredhaan Allah. Malah ia merupakan satu pengorbanan yang akan dibalas jua dengan ganjaran yang sebaik baiknya oleh Allah. Al-Quran juga mengabadikan kisah sejarah yang membuktikan kejayaan dan keberkatan hidup adalah hasil daripada pengorbanan. Pengorbanan ibu Nabi Musa AS yang menghanyutkan zuriatnya demi menurut perintah Allah melebihi daripada keinginan untuk mendakap puteranya. Pengorbanan yang tulus itu akhirnya dibalas oleh Allah dengan mengangkat puteranya Nabi Musa menjadi Rasul.
Realitinya hari ini, ramai umat Islam yang sanggup mengeluarkan wang ringgit untuk menjalani ibadah korban dengan menyembelih binatang tetapi tidak sanggup untuk mentaati perintah Allah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum lain. Sikap ini seolah-olah hanya memahami ibadah korban itu sebagai ritual semata-mata tanpa ada roh pengajaran yang sebenar daripadanya. Masih ramai yang tidak menunaikan solat lima waktu, menutup aurat serta tidak melaksanakan perintah Allah bertepatan dengan ajaran yang telah digariskan dalam Islam. Malah umat Islam tidak segan silu berterusan mengamalkan perkara yang dilarang oleh Allah seperti rasuah, menipu, bermusuhan, serta bergelumang dengan maksiat judi, zina dan banyak lagi.
Musuh utama dalam menggerakkan misi pengorbanan ditunjangi oleh hawa nafsu dan syaitan. Kita tidak mampu untuk berkorban dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada diri sekiranya masih dihalangi oleh runtunan nafsu dan godaan syaitan. Musuh tersebut akan menjadikan manusia lebih menyayangi harta benda dan wang ringgit, berasa rugi serta membuang masa apabila melakukan amal kebajikan dan perkara yang bermanfaat. Malah pelbagai lagi godaan yang menyebabkan manusia terpedaya. Dengan tipu daya tersebut umat Islam juga malas untuk melaksanakan ibadah, khususnya dalam melipatgandakan pahala bersedekah, berpuasa, berzikir dan solat sunat dalam bulan Zulhijjah.
Pelaksanaan ibadah korban juga harus dimaknai sebagai suatu pendidikan kepada mereka yang mampu memberikan sebahagian daripada harta kekayaan kepada umat manusia yang amat memerlukannya.Malah semangat pengorbanan hasil daripada ibadah tersebut mampu mengikis kecenderungan sifat ‘keakuan’ yang mendominasi peribadi seseorang individu. Walaubagaimanapun, pengorbanantidak hanyaterbatas kepada harta benda sahaja tetapi jugamerangkumi kemampuan intelektual, masa dan tenaga dalam membangunkan sesebuah masyarakat.
Zulhijah akan berlalu seperti mana perginya Ramadhan atau bulan-bulan yang lain. Banyak ruang dan peluang yang Allah berikan kepada hambanya untuk dinikmati. Sekiranya kita melepaskan peluang ini maka terlepas jualah untuk kita meraih nikmat dan rahmatNya. Malah sekiranya semangat perjuangan dan pengorbanan Aidil Adhaitu tidak dihayati, manfaatnya juga tidak akan dapat dirasai.
Justeru semangat pengorbanan sempena musim kebajikan ataupun bulan Zulhijjah ini perlu dinilai dan dimuhasabahkan kembali. Semangat ini perlu dipupukagar selari dengan amalan seharian. Kita seharusnya sanggup dan bersedia untuk melakukan pengorbanan dalam mencari keredhaan Allah, mengorbankan keinginan nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan berkorban masa serta tenaga untuk dimanfaatkan dalam mentaati segala suruhan Allah. Ini merupakan penghayatan yang hakiki dan ikhlas demi meraih ganjaran daripada Allah.Umat Islam harus meletakkan matlamat meraikan Zulhijah dengan menghayati pengorbanan yang telah dilakukan oleh insan-insan terdahulu. Semoga dengan roh pengorbanan umat Islam pada hari ini akan menjulang nama Islam dan kelangsungannya demi generasi akan datang.