Kedudukan sama ada dunia ini aman atau berperang, manusia mewah dan makmur atau miskin dan menderita, Hari Raya tetap menjelang tiba pada masanya. Maka demikian jugalah, pada hari Ahad atau Isnin ini, berhari rayalah kita tahun ini. Umat Islam lainnya juga akan menyambut ketibaan Hari Raya yang mulia ini, termasuk umat Islam yang dilanda bencana kekerasan dan kekejaman musuh iaitu di Palestin dan Afghanistan.
Bezanya, sekiranya kita di negara ini dapat menyaksikan anak-anak kita, terutamanya yang kecil, merayakan Hari Raya dengan penuh ceria dan gembira, maka mungkin kanak-kanak di Afghanistan akan menyambut Hari Raya dengan tangisan penderitaan kerana kekurangan makanan, atau tidak mempunyai pakaian baru, dan yang lebih menghibakan ialah terpaksa merayakan hari mulia ini di hospital atau di ranjang-ranjang usang di rumah, terpaksa menderita sakit akibat kekurangan makanan dan air bersih, atau terkena serpihan bom dan peluru yang tidak memilih sasaran.
Namun, atas keadaan bagaimana sekalipun, Hari Raya tetap disambut dengan kesyukuran kepada Allah s.w.t, terutamanya bagi yang senang dan mewah, yang dapat menyambutnya dalam keadaan aman dan damai, dan yang lebih penting lagi bagi orang yang menang dan berjaya dalam menghadapi cabaran nafsu dalam bulan Ramadan yang mulia.
Banyak pentafsiran yang dapat diberikan kepada pengertian Hari Raya yang akan kita sambut itu. Nama Aidilfitri memberi ungkapan kata yang terdiri daripada dua kalimat, iaitu `aid’ untuk memberi pengertian kembali atau pulang dan fitri iaitu fitrah, suci dan bersih. Kembali kepada fitrah – bererti kembali menjadi bersih dan suci daripada sebarang dosa dan noda. Maka menyambut Hari Raya bererti menyambut titik permulaan baru yang membawa manusia kepada keadaan bersih dan suci daripada dosa setelah berjaya menunaikan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan perhitungan.
Dalam Islam terdapat banyak perayaan dan hari-hari tertentu yang sering memberi peringatan kepada manusia yang serba lemah ini untuk menghitung dan memuhasabah dirinya dari semasa ke semasa. Maka Hari Raya ini pun merupakan satu hari peringatan yang amat baik bagi kita untuk menjadikannya sebagai satu titik permulaan bagi satu kehidupan baru yang lebih bererti lagi dalam meningkatkan kerohanian dan keimanan, juga produktiviti dan kerja kita untuk masa-masa yang akan datang.
Hari Raya juga merupakan satu perayaan menyambut dan merayakan kemenangan kita dalam latihan insentif selama sebulan untuk menjadi manusia yang tahu mengawal nafsu buasnya dan meningkatkan dirinya ke peringkat yang tinggi berpandukan hikmat puasa yang banyak itu. Kejayaan sering disambut dengan perayaan, maka sambutan Hari Raya bererti menyambut kemenangan dan kejayaan. Kita bertemu orang lain dan kita mengucapkan ungkapan minal-aidinal-faizinal-maqbulin iaitu pengucapan yang bermaksud semoga kita sekelian termasuk ke dalam golongan orang yang kembali kepada kehidupan yang bersih dan suci, golongan orang-orang yang mendapat kemenangan dan yang diterima Allah segala amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadan.
Ungkapan ini amat indah dan mempunyai mesej yang amat bererti sekali. Kembali kepada kehidupan yang bersih daripada dosa merupakan satu cita-cita setiap orang Islam yang penuh iman, apa lagi menjadi orang yang berjaya dan menang, dan seterusnya termasuk ke dalam golongan orang yang diterima amalannya oleh Allah s.w.t.
Pengucapan ini sesungguhnya mengandungi harapan dan cita-cita yang amat tinggi, juga membawa doa restu semoga semua orang Islam termasuk ke dalam golongan orang yang berjaya dan menang serta amalannya diterima Allah. Yang mungkin menjadi persoalan ialah, apakah kita semua benar-benar telah berjaya, atau telah mencapai kemenangan dalam perjuangan kita? Apakah orang Islam telah melakukan perjuangan dengan bersungguh-sungguh dalam kehidupan mereka untuk mengatasi segala kelemahan dan kemunduran mereka? Malah jauh daripada mencapai kemenangan dan kejayaan, apakah orang Islam pernah mengalami keinsafan untuk mencerminkan diri sendiri, mengukur di tahap manakah mereka berada dalam dunia yang penuh kemajuan ini?
Kita mengharapkan ibadat puasa yang kita lalui saban tahun dapat memberikan pengajaran yang baik kepada setiap individu Islam dalam meningkatkan kualiti dan produktivitinya. Namun saban tahun berlalu, saban tahun umat Islam berpuasa dan berhari raya tetapi kualiti umat Islam umumnya tidak meningkat, malahan dalam beberapa keadaan, kualitinya semakin menurun dan merosot.
Kita merasa dukacita melihat anak-anak orang Islam ketinggalan dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Kita sedih melihat bahawa bidang pekerjaan sering dibolot oleh para pendatang, kerana tenaga tempatan lebih suka memilih pekerjaan, atau lebih suka menganggur. Kita juga sedih melihat tingkah laku orang Islam yang pecah amanah, tidak jujur dalam pekerjaan, sering memusuhi sesama sendiri, memfitnah dan meracuni pemikiran sesama Islam, menanamkan perasaan benci sesama umat dan berbagai-bagai tingkah laku yang menyimpang daripada ajaran agama kita.
Apakah dalam keadaan itu kita masih mengharapkan perubahan akan berlaku dalam masyarakat kita, atau kita hanya berdoa semoga kita menjadi umat yang terpilih dan terbilang? Mesej yang paling baik dalam menyambut Hari Raya ialah mengenali diri sendiri, siapakah kita sebenarnya, apakah tahap pelajaran yang telah kita capai, apakah sifat-sifat baik yang ada pada diri kita yang perlu dipertingkatkan, dan apakah sifat-sifat buruk yang wujud di dalam diri untuk kita perbaiki dan seterusnya menghapuskannya.
Pada tahap manakah kemajuan dan mutu diri kita dibandingkan dengan orang lain di sekeliling dan di luar daerah kita yang sempit? Malah banyak lagi persoalan yang perlu ditanyakan oleh diri sendiri untuk dijawab dengan ikhlas dan jujur seperti yang diajarkan oleh ibadat puasa. Maka jawapan yang jujur itu akan menjadi pengukur kejayaan atau kegagalan diri sendiri, dan seterusnya hal ini akan dapat dijadikan pengajaran untuk mempertingkatkan kualiti diri sendiri.
Andainya setiap individu mengetahui kualiti dirinya dan berusaha meningkatkannya, maka seluruh umat akan meningkat tahap kecemerlangannya sebagai satu umat yang tertinggi dan terbilang. Kita sering mendengar ungkapan yang mengatakan bahawa asas agama orang Islam ialah mengenali dirinya, sesiapa yang mengenali dirinya maka ia mengenali Tuhannya.
Hari Raya tahun ini akan menjelang tiba lagi, dan seperti biasa kita akan tetap mengucapkan selamat berjaya apabila menjelangnya Hari Raya nanti. Kita bersyukur, bermaaf-maafan, bersalaman dan membesarkan Tuhan kita. Biarlah Hari Raya tahun ini, yang disambut dalam keadaan dunia yang berbeza daripada tahun-tahun yang lalu, benar-benar memberi makna kepada kita semua, bukan disambut sebagai rutin biasa.