Hubungan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia hari ini berada pada tahap yang perlu dibimbangi. Defisit dalam kepercayaan sosial antara kaum berupaya menjadikan usaha-usaha perpaduan dan keharmonian yang telah lama disemai menjadi sia-sia. Persaingan kuasa menjadikan hubungan ini sebagai cagaran politik bagi pihak yang merasakan ia mampu menguntungkan mereka sedangkan yang akan terkesan akibat daripada perkara ini adalah masyarakat secara keseluruhan. Ia boleh menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan syak wasangka terhadap tindakan dan niat antara mereka dan ini sememangnya memerlukan satu langkah kolektif dan komprehensif antara pemimpin dan rakyat negara ini. Pemimpin tidak boleh membiarkan rakyat untuk memperbaiki hubungan antara mereka secara bersendirian dan rakyat pula tidak boleh hanya mengharapkan kerajaan atau pemimpin untuk memulihkan keadaan tanpa memainkan peranan yang sewajarnya agar perpaduan dan hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di Malaysia menjadi terus kukuh.
Muhibah perlu dicerminkan dalam masyarakat di negara ini. Muhibah seringkali dijelaskan sebagai satu keadaan iaitu masyarakat majmuk dalam sebuah negara seperti Malaysia dapat hidup dalam suasana penuh kasih sayang, harmoni dan tanpa konflik. Dalam konteks Malaysia, “muhibah” adalah satu istilah yang amat kaya dengan falsafah dan sejarahnya yang tersendiri. Ramai individu dalam kalangan masyarakat sekarang hanya mengaitkan istilah muhibah ini dengan perkataan Arab “hub” yang merupakan kata dasar kepada perkataan “mahabbah” yang bermaksud “cinta” atau “kasih sayang”. Namun begitu, penjelasan sebegini tidak cukup untuk menggambarkan kepentingan dan falsafahnya yang sebenar dalam konteks sejarah negara kita.
Muhibah dijelaskan dengan panjang lebar oleh Profesor Dr. Kamar Oniah Kamarul Zaman di dalam buku beliau Religion and Pluralistic Co-Existence: The Muhibah Perspective. Pada hemat beliau, muhibah adalah satu semangat kesatuan dan kekitaan yang tinggi disulami dengan satu bentuk budaya keikhlasan dan penerimaan terhadap kepelbagaian budaya, agama dan bangsa dalam satu masyarakat. Muhibah juga adalah asas kepada rasa hormat terhadap orang lain dan persaudaraan sesama manusia. Kefahaman yang mendalam tentang konsep muhibah adalah penting dan harus dijadikan asas interaksi masyarakat pelbagai agama dan budaya di Malaysia. Muhibah adalah berdasarkan kefahaman bahawa perlunya penerimaan yang ikhlas terhadap perbezaan yang wujud dalam masyarakat.
Kepimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri yang pertama dan juga merupakan Bapa Kemerdekaan Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah meninggalkan satu asas perpaduan yang sangat kukuh melalui muhibah. Melalui pendekatan ini, rakyat belajar untuk menjiwai kepentingan mempunyai rasa hormat antara satu sama lain, patuh kepada asas pembinaan negara seperti yang digariskan dalam perlembagaan dan undang-undang negara serta menerima perbezaan yang wujud antara mereka sama ada dari aspek budaya, kepercayaan atau agama. Namun begitu, apa yang dapat kita lihat pada hari ini, masyarakat semakin kurang faham tentang pentingnya untuk semangat muhibah kekal subur dalam kalangan kita. Generasi pasca merdeka hanya melihat muhibah sebagai satu keadaan di mana tiada konflik yang wujud dalam masyarakat. Semangat muhibah tidak dapat difahami dengan baik kerana sikap lesu generasi hari ini terhadap usaha-usaha pengukuhan negara dan keengganan untuk belajar daripada sejarah. Pendekatan yang penting seperti muhibah harus diteledani dari sudut pandang sejarah agar kita dapat belajar tentang kepentingannya. Ia juga berpotensi untuk dijadikan landasan kukuh kepada pembinaan negara kerana ia merupakan satu falsafah sosial dan konsep dinamik yang menekankan nilai-nilai keikhlasan, penerimaan, tanggungjawab dan persaudaraan antara umat manusia.
Melalui konsep muhibah, perbezaan yang wujud dan merupakan kepercayaan asas sesebuah agama dan budaya tidak seharusnya menjadi punca kepada sebarang konflik atau percanggahan dalam masyarakat. Tidak dinafikan bahawa terdapat perkara asas dalam agama dan budaya yang sememangnya berbeza namun rasa hormat adalah perlu dalam menyantuni perbezaan ini. Ia tidak seharusnya menghalang masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti yang ada di Malaysia untuk hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni.
Asas kepada konsep muhibah ini adalah keikhlasan dan juga kefahaman bahawa manusia adalah bersaudara berlandaskan kepada konsep kejadian manusia daripada nabi Adam ‘Alaihi Salam. Atas asas ini, umat manusia seharusnya menerima satu sama lain dengan semangat kesatuan dan mampu untuk hidup bersama. Dari perspektif Islam, kepelbagaian dan keragaman pada kejadian manusia adalah antara tanda kebesaran Allah SWT yang amat nyata dan perlunya manusia memahami tujuan kejadian diri agar menjadi hamba yang bersyukur.
Muhibah merupakan satu pendekatan yang amat relevan dan penting demi kelangsungan hidup bermasyarakat di Malaysia. Penekanan kepada semangat setiakawan, kemanusiaan, hormat dan tolak ansur menjadikan konsep muhibah ini harus diintegrasi ke dalam semua bentuk dasar negara, pelan tindakan dan juga program yang direncanakan untuk rakyat. Pemimpin juga perlu memahami konsep muhibah ini dengan lebih baik agar dapat menjadi contoh ikutan masyarakat yang dipimpin. Perlaksanaan konsep muhibah memerlukan persetujuan dan kerjasama semua pihak tanpa mengira kaum, agama, parti politik atau status sosial.
Sebagai kesimpulan, adalah penting untuk difahami bahawa agenda muhibah bukan hanya merupakan satu usaha penerapan bersifat sambil lewa sahaja. Sebaliknya kelangsungan pendekatan muhibah ini harus disuburkan dan diteruskan dalam kalangan generasi muda terutamanya kerana kehidupan bermasyarakat hari ini menjadi semakin mencabar. Sebarang bentuk wawasan dan kemajuan yang diinginkan untuk negara harus dilengkapi dengan kefahaman yang lebih jitu tentang konsep seperti muhibah yang akan menguatkan lagi ikatan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama di bumi Malaysia yang tercinta.